Header Ads

Header ADS

Fadillah Perlukan Kepastian Berhubung Laporan Kelewatan Pelaksanaan Projek Sekolah Daif Guna IBS


KUCHING - Datuk Seri Fadillah Yusof perlukan kepastian berhubung laporan mengenai kelewatan pelaksanaan projek sekolah daif menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS) di negeri ini.

Menurut bekas Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya ini, projek-projek ini tidak hanya dilaksanakan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia tetapi juga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 
Justeru katanya, bila dilaporkan berlaku kelewatan dalam pelaksanaan projek menggunakan IBS beliau perlukan kepastian sama ada kelewatan tersebut melibatkan projek di bawah JKR atau KPM. 
“Keseluruhannya adalah lebih 100 sekolah daif yang perlu dilaksanakan di negeri ini di mana sebahagiannya dikendalikan oleh JKR dan selebihnya dikendalikan oleh KPM.
“Jadi bila dikatakan projek ini di belakang jadual, ia melibatkan projek di bawah JKR atau KPM,” katanya. 
Fadillah berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen yang mendakwa 85 peratus daripada projek ini mengalami kelewatan. 
Malah Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong juga berkata beliau dan kementerian tiada kaitan dengan perkara ini dan meminta Fadillah menjelaskannya. 
Bagi mengelak kekeliruan rakyat berhubung isu ini, Fadillah semalam turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai perkembangan pelaksanaan projek sekolah daif di negeri ini setakat ini. 
Menurut Fadillah ketika beliau menjadi Menteri Kerja Raya, Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima bagi Pembinaan Semula dan Manaik Taraf Sekolah Daif Menggunakan Kaedah IBS di Sarawak telah diadakan pada 23 Februari 2018. 
Fasa pertama kerja naik taraf dan pembinaan semula sekolah daif di Sarawak me-libatkan 116 sekolah dan 50 daripada projek berkenaan dilaksanakan oleh JKR Malaysia manakala 66 lagi oleh KPM. 
JKR Malaysia katanya, juga telah melantik JKR Sarawak sebagai agensi pelaksana dengan menggunakan reka bentuk yang disediakan JKR Malaysia dan kontraktor dipilih sendiri oleh JKR Sarawak. 
Bagi 50 sekolah di bawah fasa pertama yang dilaksanakan oleh JKR, sebanyak 13 kontraktor telah dipilih oleh JKR Sarawak untuk melaksanakannya dalam 13 pakej. 
Kaedah pembinaan projek yang menggunakan teknologi Sistem IBS mampu disiapkan dalam tempoh yang lebih singkat berbanding kaedah konvensional. 

Sehubungan itu, kerajaan sebelum ini telah memutuskan supaya kaedah IBS digunakan sepenuhnya dalam pembinaan sekolah-sekolah daif ini.
Kesemua 50 projek yang dilaksanakan JKR di Sarawak itu sepatutnya siap pada 27 Jun 2018.

“Saya difahamkan oleh pihak JKR setakat ini 21 daripada 50 projek di Sarawak kini mendahului jadual. 

“Saya juga dimaklumkan oleh pihak JKR bahawa 29 lagi projek kini mengalami kelewatan antara 0.43 peratus hingga 30.76 peratus berpunca daripada masalah tapak tanah yang di luar jangkaan dan memberi kesan kepada kerja ‘piling’. 

“Kerja ‘piling’ tertunggak sejak 17 Mac 2018 dan hanya dapat diteruskan semula pada 4 Mei 2018 selepas masalah berkaitan dapat ditangani,” katanya sambil menambah, punca lain kelewatan ialah masalah kontraktor, pembekalan dan masalah cuaca. 

Dalam pada itu sekolah yang mendahului jadual kerja masing-masing ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Rentap di Sarikei, SK Pujut Corner di Miri, SK Sungai Petai di Sarikei, SK Kampung Pangtray di Daro, SK Sungai Sugai di Julau, SK Ulu Sungai Salim di Sibu, SK Limpaki di Limbang, SK Sebangki di Lubok Antu, SK Sungai Pinang di Puncak Borneo, SJK Hua Kwong di Miri dan SK Melaban di Lubok Antu. 
Turut mendahului jadual projek SK Sekarok di Lubok Antu, SK Kampung Teh di Mukah, SK Sungai Semerah di Puncak Borneo, SK Ridan di Lubok Antu, SK Tengin/ Sedarat di Lubok Antu, SK Ulu Daro, SK Nanga Kumpang di Lubok Antu, SK Tanah Putih di Sarikei, SK Kuala Mendalam di Limbang, SK Ulu Strass di Sarikei, SK Ng Lipus di Kanowit, SK Rantau Kemiding di Kanowit serta SK Assun di Sarikei. - Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.