Aaron Aziz Sekat Pengikut Laman Sosial Yang Tinggalkan Komen Negatif
KUALA LUMPUR - Pelakon Datuk Aaron Aziz, 42, mengambil pendekatan menyekat pengikut di laman sosial yang sering meninggalkan komen negatif bagi mengelaknya daripada menjadi platform perdebatan.
Menyeru artis supaya bijak menilai setiap pengisian yang ingin dimuat naik dan dikongsi dengan umum, Aaron berkata, segelintir pengikut sengaja mencetuskan perbalahan kerana mahukan perhatian.
"Saya akan sekat mereka yang meninggalkan komen negatif di laman sosial saya. Sebelum berbuat demikian, saya akan dahulu balas komen mereka dengan ayat sarkastik. Mereka sengaja berbuat begitu kerana mahukan perhatian.
"Ada ketika, saya sengaja buat tidak tahu kerana tidak mahu ia menjadi virus. Disebabkan itu, artis sepatutnya menilai dan mempertimbangkan dengan mendalam sebelum memuat naik sesuatu bagi mengelak perdebatan," katanya.
Kesal dengan sikap segelintir netizen yang keterlaluan dalam menyuarakan pandangan mereka tanpa mengambil kira hati dan perasaan orang lain, Aaron berkata, dia bimbang lama-kelamaan ia akan menghapuskan perasaan hormat antara satu sama lain.
Aaron berkata, lebih membuatnya terkilan apabila insan kecil yang tidak berdosa turut menjadi mangsa ketidakpuasan hati netizen seperti yang berlaku kepada anak pelakon terkenal, Nora Danish, Mohamed Neqayl Nedim atau Ney Ney.
"Ada pihak yang sengaja menjadikan laman sosial sebagai platform untuk orang ramai bertelagah. Mereka seolah-olah bangga menyediakan ruang untuk melaga-lagakan orang. Untuk apa semua itu? Mahu mengumpul jumlah pengikut?
"Saya lihat jika kita memuat naik sesuatu yang buruk, ramai yang suka. Tetapi, apabila berkongsi perkara yang baik, tidak ramai yang memberi perhatian. Boleh sahaja saya melakukan perkara bodoh untuk mencari perhatian.
"Tetapi, itu bukan cara saya. Tidak dinafikan, sesekali saya akan buat juga, tetapi hanya untuk suka-suka dan tidak sehingga memudaratkan," katanya.
Tidak menolak ada yang berani menghantar mesej peribadi ke akaun laman sosialnya, bintang KL Gangster ini bagaimanapun, memilih untuk tidak melayan kecuali jika membabitkan urusan kerjaya atau usaha murni.
"Kita perlu tahu batasan. Memang ada yang menghantar mesej untuk bertanya khabar dan saya tiada masalah. Cuma apabila terlupa balas, ada segelintir yang marah dan menuduh saya sombong sedangkan saya ada banyak urusan harian yang perlu diselesaikan," katanya. -BH Online
No comments