40 Buah Sekolah Kehabisan Bekalan Api Perlu Perhatian Segera
MIRI - Lebih 40 buah sekolah menengah dan rendah di pedalaman bahagian Miri dan Limbang berdepan dengan krisis kekurangan bekalan bahan api.
Lebih memburukkan keadaan terdapat beberapa buah sekolah sudah bergelap kerana kehabisan bekalan bahan api sejak lebih 10 hari lalu, ekoran pihak kontraktor gagal untuk menghantar bekalan bagi mengisi keperluan bahan api di sekolah-sekolah tersebut.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, dari Telang Usan, bekalan bahan api sudah kehabisan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tutoh Apoh dan SMK Temengong Lawai Jau di luar bandar Baram sejak lebih 10 hari lalu.
"Sementara 28 buah sekolah rendah di Baram semakin kehabisan sumber," ujar beliau.
Sementara di Lawas, Sekolah Kebangsaan (SK) Long Tengoa, SK Long Luping, SK Ba'Kelalan, SK Long Semadoh serta SK Long Sukang turut dilaporkan berdepan krisis kehabisan bekalan bahan api.
Meskipun murid-murid kini sedang bercuti sempena cuti pertengahan penggal dari 8 hingga 23 Jun, namun pejabat pentadbiran sekolah beroperasi seperti biasa, dengan kakitangan bukan guru masih bertugas pada waktu pejabat dan memerlukan bekalan bahan api dan air untuk menghidupkan janakuasa.
“Tanpa bahan api, anda tidak dapat menghidupkan janakuasa untuk bekalan elektrik dan sistem pam air sekolah," ujar beliau lagi.
Secara purata sebuah sekolah memerlukan kira-kira 5,000 liter minyak diesel sebulan, bagaimanapun terdapat sebanyak 10 buah sekolah yang lebih besar kapasitinya dan memerlukan sehingga 15,000 liter bahan api diesel tersebut setiap bulan dengan dua kali penghantaran diperlukan dalam sebulan.
SMK Temengong Datuk Lawai Jau di Long San, Ulu Baram yang mempunyai 800 pelajar dan lebih besar daripada SMK Tutoh Apoh di Long Panai, yang terletak di Baram Tengah, dengan kedua-duanya dalam konstituensi Telang Usan, antara sekolah yang memerlukan banyak bahan api.
Sementara itu, pegawai pendidikan daerah tidak dapat dihubungi untuk mengulas isu berkenaan, namun difahamkan bahawa laporan polis sudahpun dibuat oleh Kementerian Pendidikan di Putrajaya dua hari lalu berhubung isu tersebut, bagi membolehkan siasatan dijalankan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau, ketika dihubungi memberitahu beliau sudah dimaklumkan mengenai isu berkenaan sekolah- sekolah yang sudah dan mula kehabisan bekalan bahan api untuk beroperasi, namun beliau enggan mengulas lanjut. -Utusan Borneo Online
No comments