Header Ads

Header ADS

Wakil Sarawak Dan Sabah Perlu Ada Dalam Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan


MIRI - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu melantik wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak dalam barisan penuh kabinet bagi melicinkan pentadbiran.

Pemerhati Politik Datuk Wan Zain Syed Mohdzar berkata, adalah perlu kerajaan Pakatan Harapan (PH) mempertimbang wakil rakyat Sarawak menjadi menteri atau timbalan menteri. 

“Parti campuran PH di Sarawak juga telah menyumbang kepada kemenangan PH di Putrajaya, maka seeloknya wakil rakyat ini dilantik dalam barisan kabinet,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan Utusan Borneo semalam.

Wan Zain berkata, amat perlu wakil rakyat Sarawak berada dalam barisan penuh kabinet supaya Sabah dan Sarawak juga tidak ketinggalan dari segi kemajuan. 

“Pengumuman peringkat pertama barisan kabinet tidak menyaksikan mana-mana wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak.

“Namun, kita berharap dalam tempoh dua minggu lagi barisan penuh kabinet menyaksikan dua atau tiga wakil rakyat dari Sarawak dilantik jadi menteri dan timbalan menteri,” jelasnya.



Beliau menegaskan bahawa pelantikan itu perlu kerana banyak urusan melibatkan pentadbiran kerajaan persekutuan dan negeri perlu diselesaikan bersama. 


“Banyak perkara yang harus diketengahkan dengan melihat masalah rakyat Sarawak yang masih banyak ketinggalan dari segi infrastruktur luar bandar,” tegasnya.

Sementara itu, Barisan Nasional (BN) Sarawak perlu membentuk perikatan baharu bagi mewujudkan kerjasama erat dengan PH di peringkat pusat. 


“Perikatan Sarawak contohnya, boleh dilakukan berikutan keadaan politik semasa dan ia memberi manfaat kepada hubungan dua hala antara persekutuan dan negeri,” jelasnya.

PH juga perlu menunaikan kesemua manifesto yang dijanjikan kepada rakyat termasuk menyerahkan semula hak-hak dalam Perjanjian Malaysia 1963 yang kian terhakis.



Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan bahawa senarai penuh anggota kabinet lain akan diumumkan dalam tempoh dua minggu ini.


Ia kerana terdapat beberapa kementerian lain yang sangat penting seperti Kementerian Luar. 

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.