Tiada Istilah 'Tangguh Sementara' Dalam Pemberian Bantuan Kebajikan Bulanan
MUKAH - Tiada istilah ‘tangguh sementara’ dalam pemberian bantuan kebajikan bulanan kepada penerima yang layak biarpun berlaku berikutan pertukaran kerajaan pusat baru-baru ini.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) turut diingatkan untuk memberikan bantuan yang telah dikenal pasti sebelum ini dan menerima permohonan baharu sekiranya ada.
“Semua skim bantuan kebajikan masih diberikan dan tiada istilah tangguh sementara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sejambak Kasih Gawai dan Raya di Dewan Masyarakat Dalat di sini, pagi semalam.
Dalam pada itu, JKMNS turut diminta memberikan perhatian kepada pemohon yang sangat memerlukan dan boleh menyalurkan bantuan awal melalui Skim Bantuan Am yang diperuntukkan kerajaan negeri sehingga dasar baharu ditetapkan.
Menurut Fatimah lagi, bantuan ini adalah untuk membantu masyarakat supaya tidak hidup dalam keadaan terlalu daif.
Fatimah turut menjelaskan bantuan kebajikan ini diberikan menerusi garis panduan kemiskinan iaitu isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM990 sebulan.
Bercakap mengenai Program Sejambak Kasih ini, ia adalah acara tahunan anjuran JKMNS setiap kali sambutan perayaan utama di Sarawak.
Selain bagi persediaan menyambut perayaan bagi penerima bantuan, ia turut untuk membantu meningkatkan kualiti hidup keluarga khususnya yang kurang berkemampuan.
Seramai 207 klien JKMNS dari daerah Mukah menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM100 setiap seorang dan hamper bernilai RM50.
Hadir sama Pegawai Daerah Dalat Kueh Lei Poh serta ketua-ketua masyarakat Dalat.
No comments