Stephen Mundaw Anak Dayak Pertama Sarawak Pegang Jawatan Panglime Medan Timur
KOTA SAMARAHAN - Leftenan Jeneral Datuk Stephen Mundaw yang sebelum ini memegang jawatan Panglima Satu Divisyen menjadi anak Dayak pertama di Sarawak memegang jawatan Panglima Medan Timur.
Majlis serah tugas Panglima Medan Timur antara Leftenan Jeneral Datuk Wira Mohd Zaki Mokhtar dan Stephen telah disaksikan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim di Padang Kawad Kem Muara Tuang, di sini, semalam.
"Satu kebanggaan kepada saya sebagai anak Sarawak dan saya menyeru kepada anak-anak muda di kampung di negeri ini tampil ke hadapan untuk menyertai tentera dan bersama-sama berkorban untuk negara," katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Stephen, 60, yang berasal dari Sri Aman, turut mengucapkan terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk memimpin Pemerintahan Medan Timur.
"Saya selaku Penglima Medan Timur baharu mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada (Datuk Wira) Zaki kerana telah menyerahkan tugas kepada saya.
"Seperti mana yang kita tahu Pemerintahan Medan Timur ini merupakan sebuah organisasi cemerlang dan inilah tugas saya untuk memastikan dan meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai ini," tambahnya.
Sementara itu, Zaki berharap Panglima Medan Timur baharu akan terus berusaha keras memastikan dua negeri itu selamat dan terpelihara dari sebarang bentuk ancaman dari anasir yang cuba mengganggu gugat keselamatan negara.
Justeru, beliau menyeru golongan muda di Sabah dan Sarawak agar tampil untuk menjaga keamanan dan keselamatan di negara tercinta ini.
"Sebab kalau bukan kita yang berusaha menjaganya siapa lagi yang akan menjaganya.
"Dan dengan ini pihak luar akan sentiasa cemburu dengan keamanan kita ada ini dan mereka sentiasa cuba memporak porandakan supaya kita ini tidak stabil,” ujarnya.
Pada majlis itu juga, Stephen turut menyempurnakan majlis serah tugas Panglima Satu Divisyen kepada Mejar Jeneral Toh Choong Siang yang disaksikan oleh Zaki. -Utusan Borneo-
No comments