Header Ads

Header ADS

PRS Selangau Kakus Keluar Parti Hilang Kepercayaan Terhadap James Masing



SELANGAU - Ahli-ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Kakus hari ini mengumumkan keluar parti beramai-ramai setelah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan presiden parti itu, Tan Sri Dr James Jemut Masing. 
Timbalan Pengerusi PRS Bahagian Kakus Tuai Rumah Kinseng Jelian menjelaskan keputusan mereka keluar parti disebabkan tidak puas hati dengan tindakan Masing dalam pemilihan calon parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 baru-baru ini. 
“Kami ahli-ahli PRS Bahagian Kakus hari ini sebulat suara untuk keluar parti kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti, Tan Sri Dr James Masing,” katanya kepada Utusan Borneo di Rumah Nuari, Arip, Selangau. 
Kinseng berkata formula yang digunakan oleh Masing pada PRU ke-14 iaitu seseorang calon Parlimen perlu mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ternyata gagal dan tidak relevan. 
“Formula Masing ini bermotif kepentingan peribadi dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana parti politik. 
“Kekalahan calon BN Rita Insol yang merupakan pilihan Masing telah membuktikan kelemahan dan kurang sokongan rakyat di Parlimen Selangau kepada ADUN Tamin Christopher Gira Sambang dan ADUN Kakus Datuk John Sikie Tayai. 
“Ini juga menunjukkan kedua-dua ADUN tersebut tidak berpengaruh di Parlimen Selangau,” ujarnya. 
Pada masa yang sama, Kinseng memberitahu PRS Bahagian Kakus mahu Masing meletak jawatan sebagai presiden parti dan bertanggungjawab di atas kekalahan calon BN yang diwakili PRS. 
“Sekali lagi saya menyatakan kami keluar parti PRS kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan Masing dan kroninya yang telah menyebabkan BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Selangau. 
“Kami juga hilang keyakinan terhadap John Sikie kerana telah menyokong Masing menyebabkan Datuk Joseph Entulu Belaun tidak bertanding pada PRU lepas,” jelasnya. 
Justeru, Kinseng mewakili PRS Bahagian Kakus berterima kasih kepada bekas Ahli Parlimen Selangau Datuk Joseph Entulu Belaun yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas sumbangan dan khidmat cemerlang beliau sejak 2004 hingga 2018 berkhidmat di Parlimen Selangau. 

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Wanita PRS Bahagian Kakus Tuai Rumah Dora Lani dan Timbalan Ketua Pemuda PRS Bahagian Kakus Pajih Mawang. -Utusan Borneo

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.