Kerajaan Kaji Mansuhkan BTN - Tun Mahathir
PETALING JAYA - Kerajaan akan mengkaji cadangan memansuhkan Biro Tatanegara (BTN) yang dikemukakan beberapa pihak sebelum ini, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau, yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berkata ini kerana kerajaan mendapati BTN dan beberapa organisasi lain ditubuhkan untuk kepentingan Barisan Nasional (BN).
"Banyak badan kita dapati ditubuhkan bukan untuk kerajaan tapi untuk BN...tetapi menggunakan wang kerajaan untuk membayar gaji," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PPBM di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, mencadangkan supaya BTN ditutup kerana berpendapat ia 'sangat memihak dan bersifat toksik terhadap perpaduan sejati negara' dan masih beroperasi dalam 'kerangka Perang Dingin' sedangkan dunia sudah berubah. - BERNAMA
No comments