Header Ads

Header ADS

Jangan Jadikan Hutang Negara Didakwa RM1 Trilion Punca Tidak Bayar Bonus


KUALA LUMPUR - UMNO berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menggunakan isu hutang negara yang didakwa mencecah RM1 trilion sebagai alasan tidak membayar bonus kepada penjawat awam dan peneroka FELDA.
Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO dalam kenyataan hari ini mengulangi kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini bahawa ekonomi negara berada dalam keadaan kukuh dan kuat.
Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut, Guan Eng kemudiannya memberikan alasan ekonomi negara lemah dan hanya akan mempertimbangkan pembayaran bonus hari raya untuk penjawat awam yang bergaji rendah saja.
Sehubungan itu, UMNO meminta kerajaan untuk meneruskan pemberian bonus sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan kerja keras penjawat awam dan peneroka FELDA.
Menurut kenyataan itu, di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini, penjawat awam akan dibayar bonus raya sebanyak RM500 setiap tahun.
"UMNO memandang berat terhadap kenyataan kerajaan PH yang masih belum mengesahkan pembayaran bonus ataupun menyatakan jumlah bonus hari raya untuk penjawat awam.
"Kami berharap kerajaan tidak menggunakan hutang negara yang diuar-uarkan angkanya RM1 trilion sebagai alasan untuk tidak membayar peneroka FELDA sekali gus mengkhianati kepercayaan sesetengah peneroka ini yang mengundi PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu," katanya.
Kenyataan itu menyebut, sepanjang sembilan tahun lalu, kerajaan BN di bawah kepemimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, memberi perhatian khusus untuk memperbetulkan kedudukan tangga gaji penjawat awam yang bergaji rendah.
Ia juga menegaskan, sekiranya kerajaan berkeras dan enggan memberi bonus maka ia akan menjadi tamparan berganda kepada pekerja sektor awam.
"Sebelum ini kerajaan PH juga sudah mengumumkan mereka akan mengkaji semula kenaikan gaji penjawat awam yang dirancang tahun ini.
"Kami berharap kerajaan mengiktiraf keadaan sektor perkhidmatan awam dan jurang gaji yang besar berbanding sektor swasta.
"Selain itu, isi rumah peneroka FELDA sebelum ini juga turut dibayar bonus sebanyak RM500, namun belum ada lagi pengumuman buat mereka," katanya.
Dalam pada itu, UMNO berterima kasih kepada kerajaan PH kerana bersedia melunaskan pembayaran kedua Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sebelum ini dijadualkan bulan depan sebelum sambutan Aidilfitri.
"Pemberian ini akan memeriahkan Hari Raya Aidilfitri kepada berjuta-juta penerima, yang akan menyambutnya dalam dua minggu lagi," katanya.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.