Header Ads

Header ADS

CEUPACS Minta Kerajaan Pertimbangkan Terma Perkhidmatan 17,000 Pekerja Kontrak Ditamatkan


KUALA LUMPUR - Kerajaan diminta mempertimbangkan terma perkhidmatan sebahagian daripada 17,000 pekerja kontrak dan tetap yang bakal ditamatkan, berkuat kuasa 16 Jun ini.
Presiden Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam, Datuk Azih Muda, ketika mengemukakan rayuan itu menyifatkan notis pemberhentian selama sebulan iaitu dari 16 Mei hingga 16 Jun terlalu suntuk, sekali gus menyukarkan pekerja berkenaan membuat perancangan kerjaya.
Selain itu, katanya, tarikh akhir notis perkhidmatan yang bersamaan dengan hari kedua Aidilfitri bakal mengundang pelbagai kesulitan dalam menyiapkan persiapan dan belanja seisi keluarga.
"Secara berperingkat, golongan pekerja kontrak dan tetap yang terkesan dengan penamatan perkhidmatan seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 23 Mei lalu hadir ke CUEPACS untuk menyuarakan rintihan mereka.
"Kebanyakan mereka meminta notis pemberhentian dilanjutkan supaya mempunyai tempoh secukupnya untuk menguruskan permohonan kerjaya di tempat lain tanpa menjejaskan punca pendapatan mereka.
"Jadi, CUEPACS merayu kepada kerajaan untuk mempertimbangkan lanjutan notis pemberhentian, khususnya golongan pekerja daripada kumpulan pelaksana satu, dua dan pengurusan serta profesional (P&P) yang langsung tidak terbabit dengan urusan dasar.
"Mereka ini hanya pekerja kumpulan pentadbir daripada gred satu hingga 40 yang hanya mengikut arahan agensi berkaitan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat CUEPACS, di sini, hari ini.
Susulan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS, Azih mencadangkan tempoh bersesuaian bagi notis pemberhentian kerja sewajarnya adalah antara tiga hingga enam bulan supaya tidak mencetuskan polemik dalam kalangan penjawat awam.
Katanya, kesatuan turut merancang mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat bagi membincangkan perkara berkaitan.
"Kita sudah utus surat berhubung hal ini (pertimbangan melanjutkan notis pemberhentian) kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, justeru saya merayu ia mendapat maklum balas sewajarnya.
"Kerajaan memang mempunyai berhak menamatkan sebarang kontrak perkhidmatan, tetapi dalam hal ini kita minta supaya beri sedikit keanjalan kerana ia berlaku menjelang Aidilfitri," katanya.
Mengulas pengumuman bonus sempena lebaran, Azih mengucapkan terima kasih kepada Dr Mahathir kerana memberikan pertimbangan sewajarnya meskipun negara diapit ketidaktentuan ekonomi dan pelbagai usaha memulihkan dasar fiskal.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.