RSSWK Bekerjasama RSS Anjur Kejohanan Pencak Silat 5x5 Piala Presiden RSS 2018 Dan Malam Warisan Pendekar 2018
KUCHING: Rumpun Silat Sarawak Wilayah Kuching (RSSWK) dengan kerjasama Rumpun Silat Sarawak (RSS) menganjurkan Kejohanan Pencak Silat 5x5 Piala Presiden RSS 2018 dan Malam Warisan Pendekar 2018 berlangsung di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini.
Timbalan Presiden RSS, Fazzrudin Abdul Rahman berkata Kejohanan Pencak Silat 5x5 Piala Presiden RSS 2018 akan berlangsung pada 27 hingga 29 Disember ini.
Manakala Malam Warisan Pendekar 2018 akan diadakan pada 4 Januari depan.
“Sebanyak 22 pasukan dari 11 buah perguruan silat di wilayah Kuching mengesahkan menghantar atlet-atlet pada kejohanan ini.
“Penyertaan juga dari luar wilayah Kuching terdiri Rumpun Silat Sarawak Cawangan Sibu dan Kapit serta Rumpun Silat Sarawak Cawangan Miri.
“Manakala untuk Malam Warisan Pendekar, seramai 350 peserta silat dari 13 perguruan di bawah Rumpun Silat Sarawak Wilayah Kuching mengambil bahagian,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, Malam Warisan Pendekar menampilkan persembahan peringkat kanak-kanak, remaja lelaki dan wanita, guru-guru muda RSS dan persembahan istimewa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg dijangka hadir dan merasmikan kedua-dua kejohanan tersebut.
Selain sebagai pendedahan, kejohanan itu juga sebagai landasan mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi untuk diserapkan mewakili Sarawak bagi menghadapi pelbagai kejohanan kebangsaan akan datang terutamanya temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 di Johor. -Utusan Borneo Online
No comments