Header Ads

Header ADS

Rakyat Sarawak Harus Pelihara Gaya Hidup Aman Dan Harmoni - Taib


KUCHING: Sarawak telah mencapai tahap interaksi yang dapat membina masyarakat bagi mencapai keamanan, kemakmuran dan keharmonian lebih baik.
Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) berkata tahap interaksi itu juga membolehkan rakyat negeri ini mengekalkan kehidupan yang aman damai.
Beliau berkata, rakyat Sarawak walaupun terdiri daripada kira-kira 30 kumpulan etnik dan pelbagai kepercayaan agama, latar belakang pelbagai dan tradisi masing-masing hidup aman serta harmoni dengan satu sama lain.
Katanya, rakyat negeri ini menghormati agama satu sama lain termasuk agama Kristain dengan nilai keamanan sejagat kepada dunia dan keamanan serta muhibah dalam kalangan manusia.
"Oleh itu, bukanlah satu kejutan apabila kita sering dirujuk sebagai model masyarakat yang mesra dan harmoni. Rakyat tanpa mengira asal usul dan atau kepercayaan agama berinteraksi sangat baik bermula di bangku sekolah hingga ke tempat kerja.
"Apabila kita (Sarawak) memasuki fasa kerajaan lebih mencabar, berlakunya transformasi ekonomi negeri ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, adalah penting rakyat mesti mengikuti perkembangan cabaran mendatang," katanya dalam perutusannya sempena Hari Krismas 2018 dan Tahun Baharu 2019, hari ini.
Menurut Taib, Sarawak 'beroperasi' dalam dunia yang sangat dinamik dan tidak menentu, menuntut negeri ini terus meluaskan lagi asas ekonominya, meningkatkan pengetahuan, menambah baik kemahiran, lebih efisyen, produktif dan inovatif untuk kekal berdaya saing.
Oleh itu ujarnya, Sarawak mesti mempertahankan tadbir urus yang baik dan menegakkan integriti pada tahap tertinggi.
Pada masa sama katanya, Sarawak mesti tangkas dan berwaspada menghadapi cabaran luar yang wujud daripada persaingan global dan serantau serta meningkatkan volatiliti dalam ekonomi dunia.
"Dalam persaingan ini, rakyat mesti terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan bagi memastikan semua projek di bawah Inisiatif Transformasi Luar Bandar, Projek Lebuhraya Pan Borneo dan yang lain menerusi SCORE (Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui) dilaksana dan disiapkan mengikut jadual," katanya.
Taib berkata usaha berterusan membangunkan luar bandar seharusnya dapat membuka peluang-peluang lebih baik untuk memakmurkan lagi ekonomi komuniti luar bandar.
 "Ia juga seharusnya menyediakan lebih banyak fasiliti dan kemudahan untuk orang muda mengembangkan lagi bakat mereka.
"Pada masa sama mempromosi inovasi serta keusahawanan dalam kalangan mereka dalam era ekonomi digital," katanya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.