Header Ads

Header ADS

GPS Terus Berkhidmat Kepada Rakyat Luar Bandar - Dr Hazland


KUCHING - Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memberi perkhidmatan kepada rakyat di luar bandar walaupun pembangkang mempolitikkan setiap usaha pemimpin GPS.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata kerajaan GPS menyediakan kemudahan infrastruktur di luar bandar menerusi projek transformasi luar bandar (RTP).

“Hari ini (semalam), saya menyaksikan penyerahan tapak projek pembinaan gelanggang futsal antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor-kontraktor yang dilantik.

“Gelanggang futsal ini akan dilengkapi kemudahan seperti tandas, lampu dan pagar. Setiap padang futsal ini dibina dengan kos antara RM180,000 hingga RM200,000.

“Projek ini merupakan sebahagian daripada RTP 2018 kawasan DUN Demak Laut yang merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar.

“Projek RTP seperti ini tidak ada dilaksanakan di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.

Menurutnya kerajaan GPS tidak akan termakan dengan umpan dan mainan politik pemimpin pembangkang malah akan terus memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Ujarnya pembangkang yang cuba meracuni pemikiran rakyat dengan menafikan sumbangan dan perkhiamatan yang telah diberikan pemimpin GPS kepada rakyat selama ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan tapak gelanggang futsal di Kampung Pinggan Jaya dan Kampung Muhibbah Pending antara JKR dan kontraktor di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Kaum Kampung Pinggan Jaya Abang Merawi, Ketua Kaum Kampung Muhibbah Pending Yusuf Ahmad, Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pinggan Jaya Ahmad Yahya dan Ketua Ranting PBB Muhibbah Pending Salam Sabehi.

Beliau percaya rakyat kini sudah muak dengan mainan politik yang tiada kebenarannya dan mahu pemimpin atau wakil rakyat memfokuskan kepada perkhidmatan.

“Inilah yang saya lakukan sekarang. Turun padang dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang memerlukan bantuan dan sokongan.

“Saya percaya, rakyat kini sudah matang dapat menilai pemimpin yang dapat menjalankan kerja atau mereka yang berpolitik tanpa ada haluan yang jelas,” tambahnya.

Dr Hazland sementara itu memberitahu bahawa pembinaan gelanggang futsal berkenaan akan mengambil masa selama empat bulan bermula dari sekarang. 

“Tempoh pembinaan gelanggang futsal itu telah dipersetujui antara JKR sebagai penyelia projek dan kontraktor yang dilantik.

“Seperti yang terkandung dalam perjanjian, kontraktor akan menyiapkan pembinaan gelanggang futsal ini dalam tempoh empat bulan bermula dari sekarang,” katanya.

Mengenai tiga lagi gelanggang futsal yang akan dibina, Dr Hazland berkata penyerahan tapak gelanggang futsal tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat ini. 

“Hari ini kita menyerahkan tapak gelanggang futsal kepada dua kampung iaitu Kampung Pinggan Jaya dan Kampung Muhibbah Pending.

“Selepas ini, kita akan menyerahkan tiga lagi tapak gelanggang futsal kepada kontraktor iaitu di Kampung Hijrah Bako, Kampung Semilang dan Kampung Bako Hulu,” tambahnya.

Menurutnya dengan adanya gelanggang futsal itu, penduduk kampung khususnya para belia dapat menjalankan aktiviti sukan dan riadah dalam keadaan selesa. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.