Header Ads

Header ADS

Tangga Menara Eiffel Dijual Pada Harga RM807,850.41


PARIS - Satu bahagian tangga Menara Eiffel di sini dijual dengan harga hampir 170,000 euro (RM807,850.41) kelmarin, umum pelelong, hampir tiga kali ganda berbanding anggaran sebelum jualan.
Lebih 12 tangga besi tempa daripada struktur asal tingkat dua dan tiga bangunan mercu tanda ibu kota ini dijual kepada seorang pengumpul dari Asia Barat dengan harga 169,000 euro (RM803,098.34) selepas perang bidaan di ibu kota Perancis itu.
Rumah lelongan, Artcurial pada mulanya menganggarkan harga jualan antara 40,000 hingga 60,000 euro (RM190,082.45 dan RM285,123.67).
Tangga itu, memiliki ketinggian 4.3 meter dan sebahagian daripada koleksi persendirian Kanada, bertarikh sejak 1889 apabila jurutera lagenda Perancis, Gustave Eiffel membina bangunan setinggi 324 meter itu sebagai pusat tumpuan Pameran Universal Paris.
Ia kemudian menjadi paparan paling ikonik bangunan mercu tanda ibu kota ini dan tugu paling banyak dikunjungi di Perancis walaupun gesaan supaya memusnahkannya beberapa tahun selepas pameran.
Ia masih menjadi struktur ketiga paling tinggi di Perancis dan bangunan tertinggi di dunia selama 41 tahun sehingga pembinaan Bangunan Chrysler di New York pada 1930-an.
Tangga itu ditanggalkan daripada menara terbabit pada 1983 untuk memberi laluan memasukkan lif dan dipotong kepada 24 bahagian, antara dua hingga sembilan meter tinggi. Beberapa daripadanya dibeli muzium atau berakhir dengan pemasangan di tapak berprestij seluruh dunia.
Artcurial menjual satu bahagian berasingan menara itu, hanya 14 anak tangga dengan harga 523,800 euro (RM2.49 juta) kepada seorang pembeli dari Asia pada 2016. -AFP

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.