Header Ads

Header ADS

Pengembalian Hak Sabah, Sarawak Harus Dipermudah - Dr Hazland


KUCHING - Perbincangan meja bulat sudah memadai jika kerajaan persekutuan serius ingin mengembalikan hak Sabah dan Sarawak, kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni.

Menurutnya, pengembalian hak Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak perlu melalui proses Dewan Rakyat seperti dikemukakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Adalah tidak perlu mengambil ketetapan mengenai keperluan majoriti dua pertiga di Parlimen untuk melaksanakan MA63.

“Sebaliknya, pendekatan meja bulat boleh diambil dengan penyertaan ketiga-tiga pihak iaitu Sabah, Sarawak dan kerajaan persekutuan bagi merungkai permasalahan sekali gus mengembalikan hak Sarawak dan Sabah,” jelasnya menerusi kenyataan media semalam.

Memperolehi semula hak Sarawak merupakan amanah bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan kini diteruskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Perjanjian Malaysia adalah satu perjanjian antarabangsa yang berdaftar dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 21 September 1970 dengan nombor pendaftaran 10760.

Parlimen Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk meminda MA63 disebabkan ia merupakan satu perjanjian antarabangsa. 

Sebaliknya, Parlimen Malaysia hanya boleh meluluskan undang-undang baharu sahaja, jelasnya.

Pakatan Harapan (PH) sebelum PRU14 menerusi manifesto 100 hari pemerintahannya berjanji akan menubuhkan pasukan bertindak bagi mengkaji memulangkan autonomi yang dijanjikan kepada Sabah dan Sarawak seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Dalam memastikan janji ini dapat ditunaikan, kerajaan PH memerlukan keazaman politik yang kuat dengan memerlukan sokongan daripada Kerajaan Sarawak dan Sabah.

“Kerajaan PH perlu mendengar dan membawa bersama kedua-dua kerajaan negeri di Borneo ini untuk duduk berbincang mengenai kandungan MA63,” katanya.

Tuntutan warga Sabah dan Sarawak selama ini bukan sekadar berkisar hak sebagai wilayah yang bersama membentuk Persekutuan Malaysia, tetapi merangkumi hak untuk menikmati kemajuan setaraf dengan Semenanjung Malaysia.

Justeru, Sabah dan Sarawak menuntut agar royalti minyak dinaikkan kepada 20 peratus daripada lima peratus.

“Sudah lebih 55 tahun Sabah dan Sarawak dinafikan hak untuk menerima royalti atau peruntukan daripada hasil minyak bagi pembangunan kedua-dua negeri tersebut,” katanya.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata lagi jika dapat dilaksanakan ia merupakan peluang terbaik bagi kerajaan persekutuan menamatkan ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan yang dihadapi Sabah dan Sarawak.

Kedua-dua negeri ini menurutnya, sangat memerlukan peruntukan yang besar bagi membolehkan kemajuan dapat dibawa ke kawasan luar bandar dan pedalaman. 

Begitu juga hak pentadbiran, kerana ia merupakan jalan penyelesaian terbaik bagi menamatkan permasalahan dasar pembangunan yang dihadapi rakyat ketika ini.

“Menerusinya, pentadbiran kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri akan dapat dilaksanakan mengikut keperluan dan tidak akan berlaku pertindihan kuasa sehingga boleh mengakibatkan kecelaruan pentadbiran,” ujarnya. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.