Header Ads

Header ADS

SST Tidak Bebankan Rakyat - Chong


KUCHING - Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1 September depan tidak akan membebankan pengguna seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sebelum ini.

Demikian jaminan diberi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen pada sidang akhbar selepas mengadakan Majlis Dialog Bersama Peniaga Kedai Kopi Negeri Sarawak di sini, semalam.

Chong berkata, perkara itu dapat dilihat melalui jumlah kutipan SST nanti di mana ia hanya akan melibatkan separuh daripada kutipan GST.

“Kita akan cuba mengekalkan harga apabila SST dilaksanakan, bagaimanapun sekiranya ada kenaikan ia adalah pada kadar minimum,” katanya.

Menurut Chong, KPDNHEP sekarang ini sedang mengadakan perjumpaan dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan tiada yang mencatut.

“Kita akan cuba sebaik mungkin untuk mengimbangi kepentingan pengguna dan peniaga,” katanya sambil memberitahu, isu sedemikian timbul seperti apabila terdapat pengguna mengadu harga minuman mahal di segelintir kedai, lebih-lebih lagi apabila GST kadar sifar peratus dilaksanakan.

“Pada umumnya, kita tidak mengawal harga minuman namun dapat memberi garis panduan am untuk diikuti.

“Apa yang ingin kita lakukan adalah kita mahu membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul dan memahami isu utama disebabkan kenaikan kos sara hidup,” ujarnya.

Sehubungan itu, Chong berkata pihaknya akan mencari mekanisme terbaik dan mengkaji semula cadangan yang dibuat pengusaha peniaga kopi di negeri ini dan kebolehlaksanaannya.

“Saya fikir mungkin dalam seminggu atau dua minggu ini atau sekurang-kurangnya sebelum 1 September depan, kita akan dapat menghasilkan mekanisme terbaik untuk menyelaras harga minuman bagi membantu mereka,” katanya.

Beliau berkata dialog semalam berjalan dengan baik dan antara isu-isu yang dibincangkan termasuk perkara berkaitan harga minuman, kos operasi, gaji minimum, royalti hak cipta dan pembekal.

Turut hadir Pengarah KPDNHEP Sarawak Datuk Stanley Tan dan Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Md Nawawi Abdul Rahman. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.