Header Ads

Header ADS

Pemuda PBB Parlimen Santubong Buat Laporan Polis Terhadap Kenyataan FB Pemantau Yang Memantau Berbaur Hasutan Dan Perkauman


KUCHING - Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Parlimen Santubong membuat laporan polis semalam, terhadap seorang pemilik akaun Facebook bernama Pemantau Yang Memantau yang telah membuat kenyataan berbaur hasutan dan perkauman pada 19 Ogos lepas, sekitar jam 10.30 malam.

Diketuai Exco Pergerakan Pemuda PBB merangkap Ketua Pergerakan Pemuda PBB Tanjung Datu Azizul Anuar Adenan, laporan tersebut telah dibuat di Balai Polis Gita pada jam 11.45 pagi.

Menurut Azizul dalam laporan polis tersebut, pemilik akaun Facebook itu juga telah menokok tambah dan memutar belit kenyataan yang disampaikan oleh Ahli Parlimen Santubong Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di sebuah majlis pada Sabtu (18 Ogos) lalu.

Katanya, kenyataan sedemikian boleh menyebabkan pertelingkahan antara kaum dan memecahbelahkan keharmonian serta perpaduan rakyat Sarawak.

“Laporan ini dibuat untuk menafikan kenyataan yang dibuat pemilik akaun Facebook tersebut dan supaya polis dapat membuat siasatan serta mengambil tindakan ke atas pemilik akaun Facebook berkenaan sekali gus menghentikan penyebaran maklumat seperti ini daripada berlaku lagi,” katanya.

Antara kandungan kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemantau Yang Memantau itu adalah dengan memetik Wan Junaidi sebagai berkata: “Jika anda (rakyat) mengundi PKR, Amanah atau PAS, mereka akan balik ke Semenanjung Malaysia.

Tetapi agenda sebenar dalam fikirannya (pemilik akaun Facebook): “Jika rakyat tidak mengundi GPS, Dayak akan mengambil alih dan merampas kepimpinan tertinggi Kerajaan Sarawak. Kita tidak akan menyerahkan kuasa kepada orang Dayak. Mereka mesti tunduk kepada kita, Melayu dan Melanau, dan kita harus melindungi kepentingan kita dulu. Apabila Dayak menjadi Ketua Menteri, kita akan hilang segala yang telah kita bina dan hilang kekuasaan yang luas di tanah Sarawak. Kita harus memastikan Dayak menyokong GPS, dengan cara itu kita dapat mengawal mereka.” -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.