Header Ads

Header ADS

Kerajaan Sarawak Sasar Capai Elektrik Sepenuhnya Di Sarawak Menjelang 2020


LIMBANG - Kerajaan Sarawak menyasarkan untuk mencapai elektrifikasi sepenuhnya di seluruh kawasan di Sarawak menjelang 2020.

Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mahu bekalan elektrik disalurkan ke seluruh kawasan terutama di kawasan luar bandar pada 2020, berbanding sasaran awal pada 2025.

“Liputan bekalan elektrik yang disalurkan di Sarawak pada masa ini adalah sekitar 91 peratus penduduk luar bandar.

“Oleh itu Ketua Menteri (Abang Johari) mahu kemudahan ini dipercepatkan untuk memastikan penduduk di Sarawak mencapai elektrifikasi pada 2020,” katanya ketika merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar di Rumah Taijing, Sungai Puru, Lubai di sini semalam.

Turut hadir isterinya Siti Shorgayah Ahmad Zaidin, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan isteri Mary Sindang, Pengarah Bekalan Elektrik Sarawak Syed Mohd Fauzi Shahab dan Tuai Rumah Taijing Tamin.

ADUN Pantai Damai itu berkata, kebanyakan kawasan luar bandar menggunakan sumber tenaga elektrik alternatif seperti hibrid dan SARES untuk kawasan pedalaman terpencil.

“Bagi kawasan Batu Danau, sejumlah RM9.4 juta diperuntukkan bagi membiayai projek SARES yang memberi manfaat kepada 163 isi rumah di enam kampung. 

“Kampung-kampung itu termasuk Long Napir, Long Sulong, Long Rayeh, Long Tegaan dan Long Kartadam,” ujarnya.

Beliau memberitahu, projek BELB di Rumah Taijing Kampung Puru dilaksanakan kerajaan dengan peruntukan RM75,000 bagi membolehkan 12 isi rumah menikmati bekalan elektrik sepenuhnya.

Manakala kerja penyambungan bekalan elektrik ke Rumah Agan dan Lawai bernilai RM4.5 juta yang akan memberi manfaat kepada 49 isi rumah dijangka siap penghujung tahun ini.

Pada majlis itu, Dr Abdul Rahman mengumumkan peruntukan geran kerajaan RM5,000 manakala Paulus mengumumkan geran kerajaan sebanyak RM30,000 kepada Rumah Tajing. -Utusan Borneo Online

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.