GPS Kini Hanya Tunggu Kelulusan ROS
KUCHING - Pelancaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) ditangguhkan sehingga pendaftarannya mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Perikatan parti politik baharu dari Sarawak itu yang disasarkan pelancarannya pada 22 Julai 2018 setelah pembentukannya diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 12 Jun 2018.
Beliau berkata ketika ini pihaknya masih menunggu surat rasmi daripada ROS berhubung kelulusan pendaftaran GPS.
“Pendaftaran GPS dengan ROS boleh dikatakan sudah lulus. Sekarang kita hanya menunggu surat rasmi daripada ROS berhubung perkara ini.
“Kita akan melancarkan GPS, tunggu sahaja. Kita tunggu sahaja, masanya akan datang nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Korban Aidiladha dan Pengagihan Sumbangan Daging Korban anjuran Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di pekarangan Pusat Khidmat PBB Satok di sini, semalam.
GPS merupakan perikatan parti politik Sarawak dan dianggotai empat bekas parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Ia ditubuhkan berikutan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu dan kekal sebagai pembangkang di peringkat kerajaan persekutuan yang dibentuk Pakatan Harapan (PH), bagaimanapun menyatakan kesediaan bekerja sama.
Pada 23 Jun 2018, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal GPS Datuk Alexander Nanta Linggi pada sidang media berkata jawatankuasa yang turut dianggotai setiausaha agung keempat-empat parti terlibat mensasar perikatan baharu itu dilancarkan pada 22 Julai atau sebelum sambutan Hari Sarawak tahun ini. -Utusan Borneo Online
No comments