Sarawak Tidak Terlalu Bergantung Kepada Dana Pembangunan Dari Kerajaan Persekutuan Selepas Pelaksanaan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO)
DEBAK - Kerajaan Negeri Sarawak tidak akan terlalu bergantung kepada dana pembangunan yang diberikan Kerajaan Persekutuan sebaik sahaja pelaksanaan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) yang dikuatkuasa 1 Julai ini (semalam).
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata Sarawak mempunyai peruntukkan yang mencukupi bagi melaksanakan pembangunan di kawasan luar bandar hasil daripada industri minyak dan gas.
"Kerajaan Sarawak tidak akan terlalu bergantung kepada dana pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan sebaik Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) berkuat kuasa hari ini (semalam).
"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Sarawak terpaksa dalam keadaan bersiap sedia sekiranya ada cubaan oleh mana-mana pihak yang menghalang Sarawak dalam menguatkuasakan undang-undang negeri yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 1958," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Rumah Terbuka Gawai Raya di Pusat Sukan Riveria di sini, semalam.
Sebelum ini, Syarikat Petrolium Nasional (PETRONAS) telah membawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan, tetapi tidak berjaya selepas pasukan peguam Negeri Sarawak berjaya dalam sesi prosiding itu.
"Mereka cuba menyekat kita dengan membawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan tetapi dengan sokongan dan doa semua rakyat Sarawak, OMO berkuat kuasa hari ini, 1 Julai," katanya.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, Razi Sitam dan Penasihat Penyelidikan Sains Negeri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Semua ini atas doa dan sokongan daripada rakyat Sarawak yang selama ini tidak putus-putus menyokong sebarang tindakan yang dibuat Kerajaan Negeri Sarawak dalam mendapatkan kembali hak-hak negeri Sarawak yang terhakis sebelum ini.
Abang Zohari turut percaya bahawa kejayaan pasukan Peguam Negeri Sarawak turut mendapat bantuan daripada Tuhan kerana perjuangan untuk menguatkuasakan OMO atas niat yang baik, iaitu menjana pendapatan lebih baik Sarawak bagi membantu golongan memerlukan, tanpa perlu memohon peruntukan yang mengambil masa lama diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.
"Saya percaya kepada falsafah, jika kita membantu orang memerlukan, Allah akan membantu kita.
"Dengan doa semua rakyat Sarawak, dalam tempat setahun lagi, kita dapat meningkatkan lagi pendapatan Sarawak, insya-Allah ada cara baharu," ujarnya.
"Jadi, bermula hari ini (semalam), 1 Julai, kita akan menggunakan sepenuhnya kuasa kita di bawah OMO untuk meningkatkan pendapatan negeri dan ini akan digunakan bagi membangunkan penduduk luar bandar, untuk jalan, bekalan air bersih dan elektrik.
"Jika Kerajaan Persekutuan memberi kita dana, kita akan menerima. Jika mereka tidak memberi, kita akan guna dana kita sendiri," tegasnya.
No comments