Header Ads

Header ADS

Jangan Sisih Bumiputera Melayu, Melanau Dalam Hak Tuntutan Tanah



KUCHING - Kerajaan Sarawak diminta tidak menyisihkan Bumiputera Melayu dan Melanau dalam hak tuntutan tanah.

Perkara ini disuarakan Setiausaha Agung Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Hamzah Brahim menerusi satu kenyataan akhbar di sini semalam.


“Di sini saya ingin merujuk mengenai pindaan Kanun Tanah Negeri yang akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula esok (hari ini) yang dijangka mampu menyelesaikan masalah tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) berkaitan Pemakai Menoa dan Pulau Galau, seperti diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Saya menyokong usaha ke arah itu namun pada masa sama saya menyarankan supaya selain hak kaum Dayak, memandangkan kes Pulau Galau dan Pemakai Menoa ini bermula daripada tuntutan tanah atau hak kaum Dayak, hak kaum lain seperti Melayu dan Melanau turut diperjuangkan dan kaum peribumi serta Bumiputera lain juga diberikan hak sewajarnya,” tegasnya.

Hamzah berkata Kerajaan Sarawak yang dipilih menerajui Sarawak diberikan mandat oleh semua kaum, termasuk Melayu dan Melanau. Justeru katanya, kaum ini juga berhak diberi hak berkaitan seperti kaum Dayak.

“Kita perlu bertindak dari sekarang supaya keyakinan kaum Melayu dan Melanau terhadap pemimpin yang mereka angkat untuk menjaga kepentingan mereka tidak terhakis,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sewajarnya kaum Melayu dan Melanau turut menuntut hak untuk kaum mereka seperti kaum Dayak.

“Kita tidak menyalahkan kaum Dayak atas tuntutan yang dibuat kerana ia adalah hak mereka yang sewajarnya diperjuangkan.

“Tetapi kenapa kita (Melayu dan Melanau) tidak melakukan tindakan sama? Kaum Melayu dan Melanau juga ada hak ke atas sungai dan muara laut,” jelasnya.

Malah, beliau berkata adalah wajar untuk kaum Melayu dan Melanau menuntut hasil dari laut, minyak dan sebagainya.

Menurutnya, banyak kampung Melayu yang sudah wujud sejak sekian lama terutama di kawasan pedalaman.

“Saya sehubungan itu menyeru dan mencabar para pemimpin Melayu dan Melanau serta kaum lain supaya bangun dari ‘tidur’.

“Bangkit dan bertindaklah sekarang juga bagi menjaga kepentingan serta hak yang mungkin akan hilang sehingga tiada apa yang akan diwarisi anak cucu kita pada masa akan datang.

“Jangan sampai kita dihambat dan kuasa yang kini di tangan kita ditarik balik oleh penyokong kita sendiri apabila mereka sudah hilang kepercayaan kepada kita,” ujarnya.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.