Header Ads

Header ADS

Baru Protem PPBM Sarawak Sudah Bergolak Ada 2 Penaja Berbeza


KUCHING - Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Sarawak Shariff Busrah enggan menerima jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penaja PPBM Sarawak yang dipengerusi Johan Mohamad.

Beliau menolak tawaran jawatan Timbalan Pengerusi kerana melihat jawatankuasa protem yang ditubuhkan itu lebih kepada kepentingan politik untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).

“Saya tidak melihat kepada jawatan, saya lebih kepada agenda dan pembangunan rakyat Sarawak dalam PPBM. Agenda mereka hanya untuk menjadi calon PRN12,” katanya ketika dihubungi semalam.

Malah, Shariff menjelaskan mesyuarat yang diadakan itu tidak sah mengikut perlembagaan parti.

Beliau berkata, sesuatu mesyuarat harus merujuk dan perlu kebenaran bertulis daripada Majlis Pemimpin Pusat.

Tambahnya, wakil parti daripada pusat juga perlu hadir sebagai pemerhati dan seterusnya mengesahkan mesyuarat.

“Untuk mesyuarat pemilihan Badan Perhubungan Negeri, harus dihadiri wakil-wakil dari setiap bahagian dan pemilihan jawatankuasa dilakukan secara sistem pengundian daripada wakil ahli bahagian,” tegasnya.

Difahamkan Shariff masih di Kuala Lumpur selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden PPBM pada 18 Julai lalu.

Sementara itu, Johan pada sidang media memberitahu bahawa pihaknya telah memaklumkan kepada Shariff mengenai mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Penaja PPBM Sarawak.

“Shariff juga telah dijemput dalam kumpulan ini untuk menubuhkan Jawatankuasa Penaja PPBM Sarawak kerana kita telah menerima arahan dan beliau termasuk dalam jawatankuasa protem ini sebagai Timbalan Pengerusi.

“Kami berkomunikasi dengan beliau dan beliau juga ada pasukannya yang akan kami gabung sekali dalam jawatankuasa ini,” jelasnya. Menurutnya, beliau telah diberi mandat oleh Ibu Pejabat PPBM Pusat untuk merealisasikan PPBM bertapak di negeri ini.

“Jawatankuasa penaja telah dibentuk dan kami telah diarahkan untuk segera bergerak bagi melantik jawatankuasa protem bahagian dan cawangan yang kami akan serahkan ke pusat untuk mendapatkan watikah pelantikan daripada presiden parti.

“Kami akan bergerak secepat mungkin kerana kami diberi tempoh dua bulan untuk bergerak, jadi kami akan berusaha secepat mungkin bergerak demi parti,” ujarnya.

Johan berkata pihaknya menyasarkan untuk merekrut ahli sebanyak 31,000 di 31 kerusi Parlimen sebelum menjelang September nanti untuk majlis pelancaran parti itu di negeri ini yang dijangka disempurnakan Dr Mahathir.

Jawatankuasa Penaja PPBM Sarawak dibarisi Johan sebagai pengerusi, Shariff dan Dr Bidin Chee Kifli dipilih sebagai Timbalan Pengerusi, Ikram Yan, Abang Ahmad Abang Suni dan Henry Simon dipilih sebagai Naib Pengerusi.

Setiausaha pula disandang Hussaini Bujang dan penolongnya Hasni Khlaik, Bendahari Darmadi Shahminan dan penolongnya Awang Kasumar Awang Salleh dan Ketua Penerangan disandang Zakaria Bujang.

No comments

Theme images by wibs24. Powered by Blogger.