Buat Aduan Kepada KPDNKK Jika Terdapat Penipuan Dan Kekeliruan Pada 0% GST
KUCHING - Pengguna diminta membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak sekiranya terdapat sebarang penipuan atau kekeliruan berhubung penetapan kadar sifar peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak Md Nawawi Abdul Rahman berkata, aduan boleh dilakukan dengan menghubungi KPDNKK menerusi talian bebas tol 1- 800-886-800 atau e-mel ke alamat e-aduan.kpdnkk.gov.my.
“Selain itu, pengguna juga boleh menyalurkan aduan atau laporan ke mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh Sarawak atau menghubungi Bilik Gerakan KPDNKK Kuching di talian 082-466052, jika didapati peniaga tidak mematuhi peraturan tersebut.
“Aduan hendaklah disertakan dengan keterangan atau bukti seperti resit dan sebagainya bagi memudahkan kita mengambil tindakan segera terhadap peniaga terbabit,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan orang ramai yang mendakwa harga barang naik meskipun GST sifar peratus sudah dikuat kuasa pada 1 Jun lalu.
Md Nawawi mengingatkan semua peniaga supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak tidak mengambil kesempatan membuat keuntungan berlebihan susulan pelaksanaan sifar peratus GSTtersebut.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan dipertingkat dan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang mengeksploitasi keadaan untuk menaikkan harga secara tidak munasabah.
“Kita memberi perhatian serius dan sentiasa mengambil langkah wajar akan perkara ini demi kesejahteraan pengguna.
“Meskipun khidmat nasihat (tempoh peralihan GST daripada enam kepada sifar peratus) kita bagi selama satu bulan (bulan Jun) kepada peniaga, namun jika mereka masih memanipulasikan harga dengan pernyataan yang mengelirukan sebagai harga selepas GST sifar peratus menjadi semakin tinggi, kita akan ambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya.
Md Nawawi berkata, kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011 ialah kegagalan peniaga memberi maklumat ke atas notis yang diminta pegawai KPDNKK dan boleh dikenakan denda RM50,000 untuk individu dan RM100,000 untuk syarikat.
“Denda RM50,000 (individu) dan RM100,000 (syarikat) juga akan dikenakan jika peniaga memebri maklumat atau keterangan palsu.
“Bagi kesalahan yang boleh dikenakan tindakan di bawah APD 2011, peniaga akan dikenakan RM250,000 (individu) dan RM500,000 (syarikat) jika mereka memberi petunjuk palsu atau mengelirukan mengenai haraga barang-barang.
“Hukuman sama juga dikenakan kepada peniaga yang membuat kenyataan palsu atau iklan yang mengelirukan,” jelasnya.
Sementara itu, KPDNKK Sarawak pada hari pertama pelaksanaan GST sifar peratus telah membuat pemeriksaan dan pemantauan pelaksanaan Operasi Catut 4.0 terhadap premis perniagaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di sebuah pasar raya di Tabuan Jaya di sini.
Md Nawawi yang juga Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNKK Sarawak mengetuai operasi itu berkata operasi pemeriksaan dan pemantauan itu dijalankan untuk memastikan premis perniagaan yang berdaftar dengan JKDM mematuhi dan memenuhi keperluan dengan pelaksanaan sifar peratus GST yang telah ditetapkan bagi mengelakkan sebarang manipulasi harga.
“Hari ini (1 Jun) kita bersama JKDM serta pihak berkuasa tempatan membuat pemeriksaan dan pemantauan pelaksanaan Operasi Catut 4.0 di sebuah pasar raya di sini.
“Hasil pemeriksaan itu, kita dapati pasar raya terbabit mematuhi dari segi sistem dan juga, penandaan harga dan maka itu, kita berpuas hati,” katanya semasa sidang media selepas membuat pemeriksaan bersepadu di sebuah pasar raya di Tabuan Jaya di sini pada 1 Jun lalu.
Md Nawawi berkata, untuk makluman semua pihak, KPDNKK akan menumpukan skop pemeriksaan dan kutipan harga kepada empat kategori utama barangan iaitu barang basah, kering, makanan dan minumam dan barangan isi rumah.
“Sehingga 31 Mei lalu, kita telah melakukan pemeriksaaan di 543 premis perniagaan dengan melibatkan 16,290 jenis barangan di negeri ini.
“Manakala sebanyak sembilan aduan diterima daripada pengguna di mana ia melibatkan tiga aduan Antipencatutan/GST dan enam aduan harga,” katanya.
Beliau menambah, kementeriannya akan meningkatkan tindakan susulan mulai hari ini hingga seterusnya di seluruh Sarawak untuk melihat pematuhan langkah sifar GST tersebut.
“Ini adalah supaya kesannya dapat dinikmati rakyat dan sebagaimana diputuskan kerajaan. Jadi, kita dengan JKDM akan membuat pemantauan setiap hari sehinggalah kita puas hati bahawa pelaksanaan sifar GST ini dipatuhi 100 peratus oleh semua peniaga terlibat,” katanya. -Utusan Borneo Online
No comments