Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis menerima beberapa laporan polis terhadap entri Facebook Kor Ming.

"Kita sudah memulakan siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948.

"Kita juga akan menyiasat sama ada entri tersebut Kor Ming yang buat atau tidak," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Sri Satria di sini hari ini.

Pada Selasa lalu, Kor Ming memuat naik gambar yang berlatar belakangkan rumah api dan bendera Amerika Syarikat dalam ucapan Aidilfitri di akaun Facebooknya.

Khalid juga menyarankan orang ramai agar berhati-hati apabila membuat kenyataan atau memuat naik status sensitif di laman sosial.

"Tindakan Kor Ming merupakan satu tindakan yang mempermainkan agama Islam dan ini merupakan satu perkara yang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang yang bergelar Yang Berhormat di sebuah negara majmuk," katanya.