Begitulah luahan seorang pemilik akaun Facebook, Holmes Zhu terhadap Kor Ming berikutan tindakan Pengerusi DAP Perak itu yang didakwa memuat naik gambar serta karikatur menghina umat Islam sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan Utusan Malaysia di Facebook mendapati, rata-rata pengguna laman sosial itu meluahkan rasa kecewa, marah serta kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Taiping tersebut.
Pengguna Facebook, Herbert Wong turut menyifatkan tindakan Kor Ming itu merupakan contoh ‘terbaik’ dalam menyebarkan kebencian dan unsur negatif.

“Sebagai rakyat Malaysia dan berketurunan Cina, saya berasa malu dengan apa yang telah dilakukan oleh Nga Kor Ming,” jelasnya.

Baru-baru ini, selepas memuat naik gambar tertera bendera Amerika Syarikat dan rumah api untuk mengucapkan selamat hari raya kepada umat Islam di negara ini di laman Facebook miliknya, Kor Ming sekali lagi mencetuskan kontroversi dengan memuat naik karikatur umat Islam meminta derma dedak.

Bagi pemilik akaun, Jefry Musa pula, dia berasa hairan mengapa tiada rakan-rakannya daripada propakatan pembangkang menasihati Kor Ming supaya lebih berakal dan beradab dalam berpolitik.

Katanya, tindakan seperti itu menyebabkan mahasiswa hilang kepercayaan dan menjadi sema­kin muak.

“Jika orang sebegini terus diangkat, jangan mimpi untuk melihat peratus anak muda yang turun mengundi pada PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) nanti akan meningkat,” katanya.

Pemilik akaun Abe Yon Ibnu Hashim pula kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Seputeh dari DAP, Teresa Kok yang dilihat cuba mempertahankan Kor Ming apabila menyifatkan tindakan itu sebagai satu gurauan.

“Bergurau biar berpada dan jangan ‘gura bewok’. Jangan menyentuh sensitiviti jantina, kaum, apatah lagi agama. Kalau dah tersasul tu, lebih baik minta maaf sahaja bukannya mencipta seribu alasan.

“DAP dah terlalu banyak cipta kontroversi terhadap Islam. Isu bantah laungan azan, isu kalimah Allah, bantah hudud, bantah pindaan RUU (Rang Undang-Undang) Mahkamah Syariah dan lain-lain lagi.

“Cukup-cukuplah tu. Orang Islam dah makin muak dengan politik DAP,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang pengguna laman sosial berkenaan, Calvin Ohsey tidak faham dengan apa yang sedang berlaku dengan DAP yang kini disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Katanya, daripada sebuah gerakan demokratik sosialis, kini DAP lebih bersifat kapitalis.

“Saya mempunyai rasa hormat yang tinggi terhadap segelintir calon DAP yang berjuang untuk rakyat tetapi terdapat pemimpin mereka yang berfikiran semakin dungu.

“Jadi, bagaimana anda boleh katakan anda lebih baik daripada UMNO, Barisan Nasional (BN) tetapi berkelakuan seperti mereka. Saya berpendapat bahawa DAP yang sepatutnya perlu ubah,” katanya.