ADENAN MASIH BELUM BERI BAYANGAN TARIKH SESUAI ADAKAN PILIHAN RAYA SARAWAK


Desakan wartawan yang mahukan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan tarikh sesuai bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 tidak kesampaian apabila tiada tarikh tertentu yang dinyatakan.

Sebaliknya, secara berseloroh Adenan menjawab PRN Sarawak yang baharu itu mungkin berlangsung sebelum Jun tahun depan.

“Berilah saya peluang untuk menjadi Ketua Menteri Sarawak dengan lebih lama.

“Pilihan raya mungkin diadakan sebelum Jun tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) di sini.

Hadir sama Presiden KDJA Sulok Tawie dan ahli jawatankuasa yang lain.

Tempoh tamat penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ialah pada April 2016.

Kali terakhir PRN diadakan adalah pada 2011 dengan menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 55 kerusi, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 12 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tiga kerusi dan satu kerusi milik calon bebas.

Daripada 55 kerusi dimenangi BN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menang 35 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) enam kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) enam kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) enam kerusi.

PRN Ke-11 dijangka lebih menarik dengan penambahan 11 kerusi direalisasikan dengan menjadikan keseluruhannya 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sebelas kerusi baharu itu merangkumi Batu Kitang, Stakan, Serumbu, Triboh, Gedong, Kabong, Tellian, Selirik, Murum, Samalaju dan Long Lama.

Cadangan 11 kerusi itu melibatkan 12 konstituensi Parlimen iaitu Stampin, Kota Samarahan, Serian, Batang Sadong, Saratok, Mukah, Kapit, Hulu Rajang, Bintulu, Baram dan Mambong.

Menerusi cadangan itu juga, Parlimen Mambong akan ditukar kepada Puncak Borneo manakala Mambong akan diguna menggantikan DUN Bengoh.


Manakala tiga kerusi DUN ditukar nama merangkumi Batang Air, Belawai dan Kidurong yang masing-masing dicadang ditukar kepada Batang Ai, Kuala Rajang dan Tanjong Batu.
Share this article :
 

+ comments + 1 comments

Anonymous
February 5, 2015 at 9:47 AM

Katak di bawah tempurung. Selagi manusia boleh dikawal supaya berada di bawah tempurung, selagi itulah manusia terus ditindas.

Dalam erti kata tidak di beri keadilan.

Dalam erti kata orang sarawak trus ketinggalan. Orang dah naik ke bulan, kita masih berbanga dengan bangunan tinggi yang tak berapa banyak tu.

Itupun kalau ramai bumiputera di dalamnya.

Orang naik highway 3 -4 tingkat punya tinggi. Kita masih naik bot.

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger