GAYA KEPIMPINAN ADENAN SATEM DIPUJI DAN DIKAGUMI RAKYAT SARAWAK


Beliau berkopiah putih dan kelihatan tenang duduk sambil ditemani isterinya, Puan Sri Jamilah Anu. Tidak kelihatan pula pengawal peribadi atau juak-juak politik yang mengiringinya. Pakaiannya kasual dan penampilannya sederhana, menyebabkan ramai tidak perasan kehadirannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Yang lebih penting, keberangkatan beliau mengerjakan umrah baru-baru ini ala Jokowi kerana menggunakan wang poket sendiri.

Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem ditemui orang ramai dan berpenampilan sedemikian. Di Mukah, beliau sempat dirakam gambar oleh wartawan apabila awal-awal pagi pergi membeli ikan di pasar basah sambil menemui rakyat. Di Kuching, Miri dan Petra Jaya, beliau sering dilihat makan di tempat-tempat awam tanpa menghiraukan protokol. Banyak orang memerhati dan ramai juga mengambil kesempatan bergambar bersama beliau.

Sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak kelima, terdapat beberapa keraguan tentang kemampuan beliau. Ada yang tidak memahami perlembagaan parti dalam sistem kaukus Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) hingga mentafsir beliau tanpa landasan parti. Ada pula kurang mengenali Adenan secara dekat dan memandang rendah kemampuan beliau yang mempunyai karakter kurang bercakap dan banyak mendengar. Mereka ketika itu, tidak tahu diam Adenan umpama diam-diam ubi, iaitu diam orang berilmu yang banyak berfikir, merendah diri, berpengetahuan dan tegas.

Ketika pertama kali diumumkan sebagai Ketua Menteri Sarawak, Adenan menyatakan bahawa beliau merupakan ketua menteri untuk semua rakyat termasuk di pihak pembangkang, bukannya ketua menteri untuk satu-satu etnik, atau sebuah parti politik kerajaan. Kenyataan tersebut merupakan tiang asas dan melonjakkan keyakinan rakyat Sarawak yang berbilang kaum untuk memberikan sokongan padu kepada beliau yang dikenali sebagai pejuang suara hak rakyat Sarawak.

Berita gembira bagi 1.6 juta rakyat Sarawak apabila buat pertama kali di bawah kepimpinan baharu, royalti minyak yang selama ini sebanyak lima peratus setahun, disemak semula dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri Sarawak, meminta agar pihak Kerajaan Persekutuan menilai semula dan menaikan kepada 20 peratus.

Sarawak juga terkenal sebagai negeri pengeluar balak yang terbesar. Kebanyakan taikun di Sarawak pada asalnya berorientasikan industri balak sebelum mempelbagaikan aktiviti perniagaan kepada industri perladangan kelapa sawit, perhotelan, perkapalan dan sebagainya. Golongan ini sangat berkuasa dalam bidang perekonomian Sarawak. Namun pada tahun lepas, Adenan menegur taikun balak agar lebih berhati-hati dan memantau para kontraktor, subkontraktor, pengurus dan pembekal kerana dibimbangi isu pembalakan haram berkaitan ketirisan aspek pelaksanaan. Oleh itu, beliau dengan tegas menyatakan akan "tanamkan rasa takut kepada Tuhan untuk sesiapa yang tidak jujur".

Isu Intergriti

‘Jangan main-main dengan saya’, tegasnya dalam isu pembalakan haram. Pada masa yang sama, beliau juga memberi amaran keras kepada penjawat awam terutama penguat kuasa supaya mengambil tindakan dan tidak akan bertolak ansur terhadap segelintir pegawai yang menurut beliau “ada mata tetapi buta, ada telinga tetapi pekak, ada mulut tetapi bisu…sebabnya mudah, sama ada mereka bodoh, pengecut atau rasuah". Kenyataan yang keras ini mencerminkan ketegasan beliau dalam menangani isu pembalakan haram yang sudah lama wujud di Sarawak.
Ketegasan lulusan undang-undang ini menjadikan beliau lebih dihormati rakyat kerana selama ini, isu pembalakan haram belum ada tindakan yang lebih tegas sehingga bermaharajalela. Kesan daripada itu, rampasan pembalakan haram oleh Jabatan Perhutanan Sarawak meningkat lebih seratus peratus, iaitu bernilai RM41.16 juta pada tahun lepas, berbanding hanya RM5.6 juta pada tahun 2013. Pembasmian perjudian haram dan siber turut menjadi agenda bagi memastikan keharmonian negeri Sarawak.

Tanah Adat Bumiputera

Adenan bersikap terbuka dan memberikan fokus pembangunan luar bandar. Beliau mendengar pelbagai pandangan mengenai isu tanah NCR Sarawak daripada pelbagai sumber untuk menyelesaikan isu yang sudah lama membelenggu peribumi di Sarawak. Adenan mengalu-alukan cadangan penubuhan tribunal atau mahkamah khas untuk menyelesaikan kes-kes tanah sebagaimana dicadangkan oleh Ketua Hakim Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum. Begitu juga konsep tanah NCR ‘temuda’ atau tanah yang telah dibersihkan dan diusahakan diteliti teliti semula. Begitu juga penggunaan tanah dekat rumah panjang, iaitu ‘Pemakai Menua’ atau ‘Pulau Galau’ dalam isu perebutan tanah diteliti secara lebih menyeluruh untuk mencari jalan penyelesaian.

Daripada pendekatan satu hala dan kini pelbagai pendekatan dan perspektif menjadikan isu Tanah Adat Bumiputera reda dan tidak sepanas zaman sebelum ini. Di sinilah keyakinan rakyat Sarawak terhadap stail kepimpinan Adenan semakin melonjak. Pada masa yang sama, pejabat Ketua Menteri yang pernah dianggap sebagai eksklusif, kini terpaksa dibesarkan kerana dasar pintu terbuka menerima kunjungan pelbagai lapisan rakyat biasa.

Di bawah kepimpinan Adenan, Sarawak menjadi kerajaan negeri pertama meletakkan isu integriti sebagai asas kerajaan yang kukuh dan menandatangani Ikrar Integriti bagi memerangi rasuah. Langkah ini akan membawa ke satu tahap lagi, iaitu pengisytiharan pendapatan dan harta oleh setiap barisan ahli kabinetnya dan pentadbirannya. Langkah ini sebagai usaha ketelusan dan kepimpinan melalui teladan kepada rakyat atau negeri-negeri lain. Langkah ini merupakan satu kekuatan politik yang ampuh dan komitmen tinggi dalam kepimpinan Adenan yang bertindak tegas terhadap unsur-unsur yang mengugat integriti bagi memastikan pembentukan kerajaan yang bertanggungjawab. Sesuai dengan demografi Sarawak yang dihuni penduduk pelbagai etnik, Adenan memastikan unsur ekstremis tidak berlaku dalam mana-mana agama dan 40 suku etnik di negeri itu.

Ketika kos hidup semakin semakin tinggi dan ketidaktentuan ekonomi dunia, Adenan mengambil langkah yang menunjukkan beliau memahami denyut nadi rakyat dengan menurunkan tarif elektrik sebanyak 20 hingga 47 peratus di Sarawak. Tindakan ini bukanlah tindakan populis, sebaliknya sesuai dengan kos tenaga murah dari Empangan Hidro Murum dan kejayaan Sarawak Energy Berhad mengurangkan aktiviti kecurian tenaga sejak tahun 2010.

Era Adenan membawa satu peralihan politik baharu yang lebih matang. Beliau mewujudkan dasar terbuka dengan parti pembangkang demi perpaduan negeri. Di bawah kepimpinannya, beliau meluluskan bantuan sebanyak RM1 juta untuk perbelanjaan perubatan bekas Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng - langkah yang tidak pernah dibuat ketika era sebelum Adenan selama ini. Masyarakat Cina bandaran mulai terkedu dengan keikhlasan Adenan. Kesan daripada itu, pihak pembangkang mulai menyedari kejujuran dan wawasan politik Adenan. Pertemuan di antara parti pembangkang khususnya DAP dan PKR di pejabat Adenan dianggap satu titik baharu dalam lembaran politik Sarawak.

Adakah ini akan membawa ke arah parti pembangkang menyertai kerajaan sebagaimana pernah dialami parti SUPP pada awal 1970-an dalam bentuk dan mekanisme baharu? Adakah keterbalikan keadaan seperti Parti Bangsa Dayak Sarawak (PBDS) suatu ketika dahulu akan berlaku di Sarawak? Bersediakah Adenan sekiranya ditakdirkan Ming Court kedua tercetus? Yang pasti, pilihan raya akan datang bakal memberikan peluang kepada Adenan menentukan sendiri pasukan pilihannya kerana sememangnya Adenan pintar dalam percaturan politik bagi menghasilkan yang terbaik untuk rakyat Sarawak, selain mengekalkan hubungan baik Petra Jaya-Putrajaya.


AWANG AZMAN AWANG PAWI,  25 Januari 2015 
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger