KERAJAAN NEGERI SARAWAK SUMBANG BANTUAN BERJUMLAH RM2 JUTA KEPADA MANGSA BANJIR


KUCHING, 30 Dis – Kerajaan Negeri Sarawak telah menunaikan janjinya apabila telah menyalurkan bantuan sumbangan berjumlah RM2 juta kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

“Atas semangat 1Malaysia dan sifat bantu-membantu, Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM2 juta bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di Semenanjung Malaysia”, jelas Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika menyampaikan cek sumbangan kepada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak di sini sebentar tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Morshidi Ghani dan Setiausaha MKN Negeri Sarawak Encik Addyhanis Bin Ahamad.

Terdahulu, Adenan semasa sambutan perayaan Krismas lepas di Lundu telah memaklumkan Kerajaan Negeri Sarawak akan turut sama membantu mangsa-mangsa banjir di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Sarawak juga merakam penghargaan dan terima kasih kepada badan-badan sukarela, orang perseorangan dan badan korporat dari Sarawak yang turut sama menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Bagi memudahkan lagi penyaluran bantuan yang lebih kemas, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak telah membuka pusat pengumpulan barangan bantuan di Wisma Kebajikan Kuching”, katanya.

Disebabkan cuaca sekarang tidak menentu, semua Pejabat Residen dan agensi, dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana telah diminta meningkatkan tahap kesiagaan.

Beliau juga meminta penduduk yang tinggal di kawasan yang terdedah kepada banjir segera mengambil langkah-langkah keselamatan dan dinasihatkan agar mengikuti setiap arahan sekiranya diarahkan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan.

Adenan juga meminta rakyat Sarawak untuk tidak melakukan sebarang penyebaran maklumat-maklumat palsu atau tidak sahih di dalam media sosial.

“Sekiranya ini berlaku boleh menyebabkan berlakunya keadaan panik dan sekali gus menyukarkan kerajaan untuk menguruskan banjir dengan lebih efisien di negeri Sarawak.

Sementara itu, kerajaan negeri dan seluruh rakyat turut bersedih dengan insiden menimpa pesawat malang AirAsia Indonesia, QZ8501 yang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

"Ini tragedi yang mengejutkan, malah kita bersedih kerana satu-satunya warga Malaysia yang berada dalam pesawat itu adalah rakyat Sarawak.


Ahli perniagaan, Sii Chung Huei, 56, yang berasal dari Sibu dikenal pasti sebagai salah seorang penumpang pesawat berkenaan.
 

PIHAK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB SEBAR BERITA PALSU KINI DIPANTAU SKMM




Semenjak bencana banjir melanda di beberapa buah negeri di Pantai Timur dan Selatan Semenanjung Malaysia, banyak berita palsu telah diperoleh khususnya melibatkan gerak kerja pasukan dan agensi kerajaan dalam penyaluran bantuan.

Ketika mana semua rakyat Malaysia berasa simpati di atas kejadian bencana banjir yang terburuk pernah melanda Malaysia, ada segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyebarkan berita palsu sehingga menimbulkan kekeliruan kepada mangsa banjir.

Akibatnya, jabatan atau agensi kerajaan yang bertungkus-lumus menyalurkan bantuan menjadi sasaran mereka kononnya disebabkan mereka bantuan kepada mangsa banjir tergendala.

Sehubungan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengumpul segala maklumat berhubung individu yang menyebarkan berita palsu berkaitan banjir yang melanda Kelantan dan negeri-negeri lain, agar tindakan dapat diambil termasuk didakwa di mahkamah.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata hasil maklumat yang dikumpulkan itu akan diserah kepada pihak Peguam Negara bagi tujuan pendakwaan.

“Setiap mereka ini diperhatikan dan yang pentingnya apabila kita mendapat maklumat kita kena berhati-hati bukan sahaja untuk mempercayai tetapi berkongsi maklumat tersebut.

“Berkongsi bermakna, kita menolong menyebarkan maklumat yang salah, apatah lagi maklumat yang palsu, maklumat yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kekacauan dalam masyarakat,” katanya kepada pemberita.

Ahmad Shabery diminta mengulas pelbagai khabar angin yang disebarkan melalui media sosial termasuk aplikasi WhatsApp berkaitan banjir di negeri ini, yang menimbulkan keresahan kepada masyarakat kerana berita tersebut adalah palsu.


Semenjak beberapa hari ini banyak berita palsu timbul ekoran daripada ramai di kalangan pemimpin Pakatan Pembangkang tidak pernah menjenguk atau melawat mangsa banjir berbanding pemimpin BN yang ramai turun sehingga menyebabkan Pakatan Pembangkang semakin gelisah.


Sehingga ke hari ini masih belum nampak batang hidung Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP yang selama ini banyak bercakap di media sosial dengan mempertikaikan tugas dan peranan jabatan atau agensi kerajaan dalam menangani situasi banjir ini.
 

ANGKARA POLITIK JPAM JADI MANGSA FITNAH TERBARU PEMBANGKANG


Ketika mana mangsa banjir memerlukan bantuan, timbul berapa orang individu yang tidak bertanggungjawab terhadap penyebaran berita palsu angkara mahu mencipta imej yang buruk terhadap agensi kerajaan.

Perbuatan ini bukan yang pertama dan SKMM telah mengeluarkan arahan akan melakukan pemantauan terhadap pemilik media sosial sama ada Facebook, Twitter, Blog mahupun aplikasi WhatApps.

Terbaru, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah difitnah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab kononnya agensi itu telah menyekat bantuan untuk mangsa banjir di Kuala Krai, Kelantan.

Akibatnya fitnah itu, Ketua Pengarah JPAM Datuk Zaitun Abdul Samad terpaksa membuat kenyataan akhbar bagi meredakan keadaan yang mana maklumat itu tidak benar.
 
"JPAM tidak pernah mengeluarkan apa-apa arahan untuk menyekat bekalan atau bantuan daripada mana-mana pihak.
  
"Malah kami (JPAM) sangat mengalu-alukan sumbangan dan bantuan daripada orang awam kerana ketika saat negara ditimpa bencana sebegini, keselamatan nyawa rakyat menjadi keutamaan kami," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
  
Zaitun menjelaskan, selain melaksanakan tugas mencari dan menyelamat, JPAM turut melakukan tugas memindahkan mangsa-mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara.
  
Di samping itu, katanya pihaknya juga melaksanakan tugas kemanusiaan seperti kes kecemasan, rawatan awal serta lain-lain perkhidmatan bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda orang awam terus terpelihara.
  
Setakat pagi ini, jumlah mangsa banjir di enam negeri yang terjejas adalah 225,731 orang.

Sehubungan itu, pihak yang berwajib yang menyebarkan berita palsu itu segera memberhentikan tindakan memfitnah itu atau akan dikenakan tindakan tegas berikutan maklumat yang disebarkan itu tidak benar.


Dalam keadaan yang genting ini, semua pihak digesa untuk melupakan perbezaan ideologi politik sebaliknya menumpukan kepada keperluan rakyat.
 

NAJIB RAZAK BUAT TINJAUAN BANJIR, PEMIMPIN PEMBANGKANG LAIN BERCUTI LUAR NEGARA


Jika sebelum ini kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Hawaii, Amerika Syarikat (AS) yang turut diselitkan dengan sesi permainan golf bersama Presiden AS, Barack Obama mendapat kritikan dan cercaan meluas daripada pemimpin dan  penyokong pembangkang.

Pada hari ini, apabila kehadiran Najib ke Kelantan bersama Menteri Besar Kelantan dalam meninjau situasi semasa banjir tiada pula rungutan atau publisiti murahan daripada penyokong mahupun pemimpin pembangkang.


Malah, timbul pula cerita baru apabila Kerajaan Pulau Pinang di bawah DAP tidak dapat menyalur sumbangan bantuan kepada mangsa banjir disebabkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sedang bercuti di luar negara, Paris.

Lebih menyayat hati, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang selama ini mengkritikan Najib juga masih tidak kelihatan biarpun dalam twitter miliknya menyatakan membuat kerja amal di dalam negara. Tetapi, di manakah beliau berada?

Sejurus selepas sesi taklimat, wartawan telah mengajukan pertanyaan kepada Najib berhubung pemergian beliau ke Hawai dan bermain golf bersama Presiden AS, Barack Obama.

Dalam jawapannya, beliau telah dijemput oleh Barack Obama untuk bercuti dan bermain golf sambil membincangkan isu keselamatan dalam pelbagai hala.
Bukan mudah melihat seorang Presiden AS menjemput ketua negara yang kecil seperti Malaysia untuk turut serta dalam percutian dan bermain golf.

Mungkin ramai di kalangan pembangkang yang menganggap pemergian beliau ke Hawaii dan bermain golf seolah-olah mahu melupakan penderitaan rakyat yang menghadapi banjir.

Sebelum berangkat ke luar negara, Najib telah mengadakan lawatan ke Kuantan Bagi meninjau keadaan banjir di sana.

Sementara berada di luar negara, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengambil alih peranan sebagai ketua jawatankuasa bencana alam dan sentiasa memaklumkan perkembangan terkini dengannya.

Namun, sehingga kini tiada pula nampak kelibat Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah serta pemimpin PKR yang lain termasuk pemimpin Pusat PAS.

Pemimpin DAP juah lagi nak nampak batang hidung. Apa yang diketahui hanyalah memarahi PAS sebab hukum hudud. Politik DAP tiada penghujungnya selagi tidak dapat menawan Malaysia.

 

KECEWA TERHADAP ANWAR IBRAHIM, NAJIB RAZAK DIFITNAH PEMBANGKANG


Sehari dua ini, penyokong dan pemimpin pembangkang galak mengecam Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang sedang melakukan pertemuan dengan Presiden AS, Barack Obama di Hawaii.

Ini semua gara-gara sebuah akhbar di Amerika Syarikat (AS), The Washington Post menyiarkan gambar Najib Razak dan Barack Obama dengan bermain golf.

Malah, turut disiarkan oleh beberapa portal berita seperti Malaysiakini, The Malaysia Insider, Astro Awani dan kebanyakannya portal milik pembangkang.

Seperti biasa, serangan peribadi Najib Razak menjadi agenda mereka dengan memainkan sentimen kesedihan yang melanda rakyat Malaysia yang ketika ini sedang menghadapi bencana banjir.

Tanpa mahu memeriksa terlebih dahulu apa sebenarnya berlaku, puak-puak yang dalam kepala mereka sudah ‘berulat’ dengan sentimen politik menyebarkan fitnah dan tohmahan. Paling ketara menuduh Najib tidak prihatin apabila bersantai bermain golf di luar negara ketika negara sedang bergelut dengan bencana banjir.

Jika mahu mereka berfikir secara jernih dan matang sudah pasti mereka akan melihat apa yang dilakukan oleh Najib bukan terbang beribu-ribu kilometer semata-mata mahu bermaif golf dengan Obama. Sebaliknya beliau menjejak kaki di bumi AS itu atas jemputan Obama bagi membincangkan isu keselamatan serantau dan pelbagai isu lain.

Jemputan Obama itu sepatutnya dianggap satu pengiktirafan, apatah lagi bukanlah satu perkara biasa bagi Obama mencampuradukkan urusan kerja dengan ‘bersantai’ malah jemputan itu sendiri menunjukkan penghormatan AS terhadap kepemimpinan Najib.

Tidak harus dilupakan pertemuan itu sangat penting bagi meningkatkan lagi hubungan diplomatik yang akan memberi manfaat besar kepada negara.

Tambahan pula bukanlah mudah untuk mendapatkan pengiktirafan dan keyakinan kuasa besar seperti AS terhadap kepimpinan negara ini ketika segelintir pemimpin pembangkang bersedia memburuk-burukkan Malaysia kepada pihak di Washington.

Oleh itu, janganlah berfikiran sempit. Jangan terlalu taksub mencari modal politik sehinggakan tujuan sebenar sesuatu perkara yang dilakukan oleh pemimpin negara mahu diputarbelitkan.

Dalam keghairahan untuk menyindir dan memperkecilkan usaha Perdana Menteri, puak-puak pembangkang terlupa jemputan oleh Obama itu sudah pastilah dilakukan ketika negara belum lagi dilanda bencana banjir yang serius.
Namun begitu dalam kesibukan beliau sebelum berlepas ke AS, Najib meluangkan mangsa menjenguk mangsa banjir di Kuantan pada Sabtu lalu, tetapi soalnya adakah perkara ini diuar-uarkan oleh musuh-musuh politik beliau. Sudah pasti tidak!

Namun perbuatan mengkritik dan membuat tuduhan membuta tuli hanya berdasarkan sekeping gambar bukanlah satu tindakan yang bijak, sebaliknya hanya menunjukkan betapa jahilnya cara berpolitik sesetengah pemimpin pembangkang biarpun ada antara mereka sering sahaja membaca surah Al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.’’

Inilah kerja pembangkang yang langsung tidak menunjukkan kesopanan sebaliknya rakus menyerang seseorang tanpa usul periksa.


Semoga mereka ini mendapat balasan yang setimpal dengan perlakuan yang mereka lakukan.
 

SELANGOR AGIH RM1JUTA KEPADA KELANTAN MANAKALA HANYA RM100 RIBU UNTUK NEGERI TERENGGANU, PAHANG DAN PERAK.


Terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali yang bersetuju memberikan bantuan kepada negeri-negeri yang sedang mengalami banjir di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.


Kenapa hanya RM100 ribu untuk untuk negeri-negeri Terengganu, Pahang, dan Perak? Apakah disebabkan diperintah BN maka nilai hanya RM100 ribu sahaja.

Apa pun terima kasih Azmin Ali yang telah sudi menghulurkan bantuan kepada negeri-negeri yang mengalami banjir dalam usaha meringankan beban mereka khususnya dalam keperluan makanan dan ubat-ubatan.

Selain itu, Selangor turut memutuskan membatalkan sambutan Tahun Baru 2015 serta Te‎masya Selangor 15 sebagai tanda simpati kepada rakyat di negeri-negeri pantai timur yang menderita bencana banjir.


"Kerajaan negeri Selangor mengarahkan Majlis Bandaraya Shah ‎Alam (MBSA) untuk membatalkan program Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Disember di I-City, Shah Alam atas prinsip sama," katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK), di Shah Alam.
 

SARAWAK TAWAR BANTUAN KEPADA NEGERI-NEGERI DILANDA BANJIR


Sebagai sebuah negeri dalam Malaysia, Sarawak tidak hanya memandang ringan keadaan banjir yang berlaku di negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Sarawak telah membuat keputusan menawarkan bantuan kepada negeri-negeri yang dilanda banjir akibat gelombang kedua.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini menawarkan bantuan dalam pelbagai bentuk kepada negeri di Semenanjung yang sedang dilanda banjir.
   
"Kami sedia membantu jika diperlukan... bila-bila masa, tambahan pula kita semua rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Hari Krismas 2014 daerah Lundu, di sini hari ini.
   
Ditanya sama ada Sarawak sudah menerima permohonan untuk menghulurkan bantuan kepada negeri yang dilanda banjir, Adenan berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang bentuk permohonan tersebut.
   
"Setakat yang saya tahu, belum ada (permohonan) tetapi jika dikehendaki, kami akan sentiasa membantu," katanya.
   
Dalam pada itu, Adenan berkata Sarawak juga sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di negeri berkenaan.
   
Beliau berkata Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang sudah menyediakan pelan lengkap untuk menghadapi bencana itu. 

 

SAMBUTAN HARI KRISMAS DI SARAWAK MERIAH

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkesempatan meluangkan masa bersama rakyat di Daerah Lundu dalam "Majlis Pemimpin Bersama Rakyat" bersempena Perayaan Krismas 2014.

Dalam ucapannya Adenan mengingatkan kembali bahawa tiada ruang golongan ekstremis di Sarawak.

"We Sarawak live in peace! Kita hidup dalam aman dan sentosa oleh kerana kita menghormati satu sama lain" katanya tegas di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Perayaan Krismas 2014 di Lundu.

Dianggarkan kira-kira lebih 5,000 lapisan masyarakat pelbagai kaum di Daerah Lundu dan sekitarnya hadir bagi memeriahkan majlis bersama Ketua Menteri Sarawak.

Di majlis itu, Adenan turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada anak-anak yatim dan golongan tua memerlukan bantuan.

Menurut Adenan lagi, Sarawak tidak memerlukan golongan yang hanya mementingkan diri sendiri.

Sepanjang Sarawak merdeka, tiada sebarang insiden yang melibatkan kaum di Sarawak bahkan konsep 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Mohd Najib Razak sudah lama bertapak di Sarawak.

Justeru, tiada tempat bagi golongan yang mengamalkan ekstremis di Sarawak kerana penduduknya mengamalkan kehidupan bermasyarakat majmuk dan bersatu padu.

Rata-rata mereka yang hadir menyatakan perasaan gembira kerana bukan sahaja dapat melihat secara dekat bahkan beramah mesra dengan Adenan yang kali pertama menyambut Hari Krismas sebagai Ketua Menteri Sarawak.


 

KENAPA DAP TAKUT SANGAT KEPADA HUKUM HUDUD DI KELANTAN?


Permasalahan dalaman Pakatan Rakyat yang melibatkan PAS dan DAP masih belum menemui titik noktah apabila kedua-dua parti politik yang berasaskan kaum itu masih menuding jari antara satu sama lain.

Ketika mana rakyat di beberapa negeri di Pantai Timur termasuk Kelantan menghadapi banjir, PAS dan DAP masih sibuk berbalah dalam menegakkan polisi parti masing-masing.

Mereka ini lebih mengutamakan kepentingan politik masing-masing berbanding membantu rakyat yang sedang dilanda musibah banjir gelombang kedua yang disifatkan terburuk dalam sejarah Malaysia.

Ketika Kelantan teruk dilanda banjir, masalah dalam Pakatan Rakyat (PR) pula semakin meruncing apabila DAP memberi amaran akan memboikot mesyuarat gabungan tersebut yang dijadualkan Januari depan.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tetap bersidang untuk membolehkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 yang mengandungi hukum hudud dilakukan, beliau tidak akan hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

“Jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan bersidang untuk membolehkan pelaksanaan hudud, yang anggota jawatankuasa pusat PAS sendiri tidak mengetahuinya, saya tidak nampak apa tujuannya hadir ke mesyuarat Majlis Presiden Pakatan akan datang.

“Dan saya serahkan pada parti untuk memutuskan tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menjangkakan PAS bakal kehilangan sokongan dalam pilihan raya umum akan datang jika mereka mengkhianati permuafakatan dalam PR sendiri.

"Saya tidak lihat persidangan khas DUN Kelantan pada 29 Disember boleh menjamin PAS akan terus berkuasa selepas pilihan raya umum akan datang, tetapi yang menjadi korban adalah hilang negeri Kelantan dan Putrajaya kerana memungkiri janji kepada pengundi PR dan rakyat Malaysia.

"Kita perlu menunggu Pilihan Raya Umum ke-14 untuk melihat akibatnya," kata Lim.

Pengumuman kerajaan Kelantan untuk mengemukakan pindaan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 mencetuskan pelbagai reaksi, dengan DAP antara paling lantang membidas langkah tersebut.

DAP berkata tindakan PAS itu seperti melanggar tahaluf siyasi yang dipersetujui Pakatan Rakyat.

Tindakan kerajaan Kelantan itu menyebabkan hubungan antara parti dalam Pakatan Rakyat retak khususnya ketika berlaku krisis menteri besar Selangor.

PAS Kelantan dikatakan tidak merujuk Jawatankuasa PAS Pusat sebelum memutuskan untuk memanggil sidang khas pada 29 Disember ini.

DAP khuatir jika hudud dilaksanakan maka sokongan pengundi Cina terhadap PAS akan berkurangan dan ini sekali gus membuatkan PR akan menghadapi kesulitan untuk ‘menawan’ Malaysia,


Berbeza dengan PAS Kelantan yang melihat perkara mewujudkan hudud itu wajar dilaksanakan kerana ia tuntutan agama Islam yang diperjuangkan mereka selama ini. 
 

TAHNIAH AZMIN ANDA BERJAYA IKTIRAF SELANGOR SEBAGAI PUSAT TERNAKAN BABI SECARA BESAR-BESARAN


Meskipun mendapat tentangan pelbagai pihak, kerajaan negeri nekad untuk melaksanakan projek penternakan khinzir moden di Kuala Langat, demikian menurut Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

“Dalam mana-mana isu pembangunan mesti akan ada bantahan daripada pelbagai pihak. Tetapi dasar kerajaan negeri, kita akan mendengar dan mendekati pihak-pihak berkuasa, penduduk setempat, NGO dan sebagainya sebelum sebarang keputusan diambil.

“Pada saya ini bukan masalah luar biasa bagi sebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi dan kita menghormati pandangan rakyat,” katanya yang ditemui di Majlis Penyampaian Hak Milik Pemilik Bangunan Perniagaan Lestari dan Penyerahan Notis 5A di Taman Subang Permai, pagi ini.

Sambil menyifatkan projek penternakan ini bukan satu masalah yang besar, Azmin berkata kerajaan negeri akan menyediakan teknologi-teknologi khusus bagi mengatasi masalah pencemaran di kawasan itu.

“Di dalam isu ini, kita ada teknologi-teknologi baru untuk diselesaikan dan sudah tentu ia melibatkan kos. Kita akan bincang dengan pihak-pihak yang mengusahakan ternakan babi bagi kepentingan rakyat di kawasan tersebut dan menjaga kebersihan.

“Pada saya ini bukan masalah besar dan ia boleh diselesaikan antara kerajaan negeri dan pengusaha ladang babi ini,” katanya

Projek penternakan khinzir moden memasuki fasa baharu apabila ia telah dibentangkan di Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) baru-baru ini.

Ia dijangka dibina di Ladang Tumbok di Mukim Baru Laut, Kuala Langat.

Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dalam satu kenyataan berkata akan akur dengan segala keputusan kerajaan negeri untuk menjalankan projek berkenaan.

Bagaimanapun kerajaan negeri sehingga kini masih belum menetapkan mana-mana syarikat untuk dilantik menguruskan penternakan ladang khinzir moden itu.

Sebelum ini tersebar sepucuk surat jemputan Pembentangan Kertas Cadangan Pelaksanaan ‘ModernPig Farming’ di kawasan tersebut yang dijadualkan pada Selasa lalu.

Projek penternakan khinzir moden ini bagaimanapun mendapat tentangan pelbagai pihak,termasuk penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Perkasa.

Ini kerana kawasan berkenaan didiami ramai masyarakat Melayu, selain menjejaskan kebersihan apabila pengusaha ladang haiwan itu melepaskan sisa-sisa ternakan ke sungai dan laut berhampiran


Sumber: mymassa.blogspot.com
 

PEMIMPIN PAKATAN RAKYAT CALON TANGKAP MUAT HANYA UNTUK MENANG PILIHAN RAYA


Biarpun pemimpin Pakatan Pembangkang menang dalam pilihan raya namun keikhlasan dan jiwa mereka sebagai wakil rakyat tidak ada.

Sebaliknya yang ada cuma mereka mahukan ‘jawatan’ dan ‘kuasa’ dalam parti politik mereka sahaja.

Akibatnya, rakyat menjadi mangsa kepada keghairahan pemimpin Pakatan Pembangkang yang gilakan kuasa ini.

Inilah yang berlaku di beberapa Pilihan Raya Kecil yang pernah diadakan termasuklah DUN Kajang dan terbaru DUN Inanam, Sabah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, isu perletakan jawatan seorang lagi Ahli Undangan Negeri Inanam PKR Sabah, Ronald Chia memperlihatkan calon-calon pakatan pembangkang adalah terdiri daripada calon-calon yang tangkap muat dan bukannya yang benar-benar mahu berkhidmat untuk rakyat.

Menurut beliau, isu berhubung peletakan jawatan ahli parlimen dan ADUN pakatan pembangkang, khususnya dari PKR jelas membuktikan bahawa calon-calon yang dipilih oleh parti tersebut tidak memenuhi kriteria sebagai seorang wakil rakyat.

"Sebelum ini kita lihat bagaimana dalam langkah Kajang, PKR meminta ADUNnya meletakkan jawatan demi kepentingan politik peribadi mereka. Tindakan ini jelas memperlihatkan bahawa PKR tidak langsung mempedulikan tentang pembaziran duit rakyat serta amanah yang diberikan oleh rakyat kepada mereka demi untuk mencapai kehendak politik peribadi mereka.

"Apabila berlakunya sesuatu konflik di dalam parti mereka, atau pun hasrat dan kehendak peribadi mereka tidak dipenuhi oleh kepimpinan parti, maka mereka bertindak untuk meletakkan jawatan di mana tindakan mereka itu jelas merupakan satu pengkhianatan kepada amanah rakyat dan satu pembaziran wang, tenaga dan masa," tegas beliau lagi.

Katanya lagi, perkara ini berlaku adalah kerana sikap kepimpinan pakatan pembangkang yang telah mempergunakan sistem demokrasi ini untuk kepentingan politik peribadi mereka.

"Kepimpinan pakatan pembangkang telah memanipulasikan sistem demokrasi di negara ini untuk mencapai cita-cita dan kehendak politik kepartian atau peribadi mereka. Sebab itu, mereka tidak peduli tentang soal amanah rakyat atau pun pembaziran wang rakyat.

"Dan secara tidak langsung, rakyat di negara ini juga turut dipergunakan oleh kepimpinan pakatan pembangkang ini demi kepentingan politik peribadi mereka. Namun mereka bijak menyembunyikan perkara ini dengan mengalihkan perhatian rakyat kepada BN dengan persepsi negatif yang mereka cipta untuk melindungi niat jahat mereka itu," tegasnya.


Apa yang pasti tindakan Roland Chia yang meletak jawatan mempunyai kaitannya dengan ketidakpuasan hati beliau terhadap pelantikan Lajim Ukim sebagai Pengerusi PKR Sabah yang disifatkannya sebagai tidak wajar.
 

RAFIZI RAMLI TIDAK BELAJAR DARIPADA KESILAPAN ‘LANGKAH KAJANG’


Isu kegagalan ‘Langkah Kajang’ yang dicetuskan Rafizi Ramli tidak pernah dijadikan iktibar oleh Setiausaha Agong PKR dan pemimpin PKR yang lain.

Malah, sikap PKR yang sinonim dengan DAP dalam menderhaka kepada Kesultanan Melayu kian meningkat sehingga sewenang-wenangnya penyokong mereka memuat status dalam media sosial.

Lihat sahaja dalam krisis Menteri Besar Selangor yang memperlihatkan bagaimana PKR dan DAP menderhaka kepada titah Sultan Selangor, satu sikap kurang ajar PKR dan DAP terhadap kedudukan raja-raja.

Akibatnya, gelaran ‘Datuk’ yang diterima Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim ditarik balik gara-gara sikap derhakanya.

Kegagalan ‘Langkah Kajang’ yang disebabkan Rafizi Ramli sehingga kini masih lagi dinafikan pencetusnya, Rafizi Ramli.

Rafizi bukannya mahu mengundur diri dari politik kerana kegagalan 'Langkah Kajang' tetapi membuat kenyataan yang kurang cerdik dan bakal memalukan diri beliau sekali lagi.

Kali ini ialah kenyataan beliau mengenai kenyataan Tun Dr Mahathir tentang UMNO, PKR dan PAS yang terpaksa 'mengemis' untuk mendapatkan sokongan politik daripada golongan Cina.

"Tiada satu tawaran Pakatan Rakyat pun yang bertentangan dengan Perlembagaan atau menyentuh isu kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu atau kedudukan raja-raja.

Apakah benar tiada langsung tawaran Pakatan Rakyat tersebut?

DAP di dalam Pakatan Rakyat. Bagaimana dengan dasar parti itu yang didakwa menyeleweng dan menghina Perlembagaan Malaysia?

Isu ini telah hangat diperkatakan dalam media sosial tetapi pihak DAP buat bodoh dan tidak menjawab isu besar ini. Anda baca print screen di bawah :



Dasar parti DAP terang-terangan telah menggariskan:

Penghapusan pembahagian antara "bumiputera" dan "bukan bumiputera" dan perlaksanaan kesaksamaan etnik.

dan

Penggantian sistem kuota etnik dengan dasar 'merit dan keperluan'

Kepada Rafizi, bukankah terdapat beberapa perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia dan kedudukan istimewa orang Melayu yang dipertikai oleh dasar DAP ini?

Dan, sehingga ke hari ini, kepimpinan DAP diam membisu tentang dasar melampau parti itu.


Sebaliknya, mereka berterusan menuding jari ke pihak lain termasuk menghina parti PAS dan Presidennya supaya rakyat tidak memperkatakan keburukan dan DAP.

Ini bukan yang pertama bahkan banyak lagi perkara yang terkandung dalam Perlembagaan yang memelihara keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera telah dipertikaikan DAP, parti yang bersengkongkol dengan PKR. 

 

PERLANTIKAN LAJIM UKIM SEBAGAI PENGERUSI MPN SABAH PUNCA DR ROLAND CHIA LETAK JAWATAN


Masalah dalaman PKR Sabah semakin meruncing sehingga menyebabkan ADUN Inanam, Dr Roland Chia mengambil keputusan meletak jawatan sekali gus membuka cerita baharu pergolakan PKR Sabah.

Biarpun peletakan jawatan ADUN Inanam itu dikatakan atas faktor kesihatan seperti mana yang dinyatakannya dalam entri di Facebook dan Twitter miliknya, namun pendedahan Pengerusi SAMM, Cheg Bard telah membuatkan masalah dalaman PKR Sabah yang berkait rapat dengan Azmin Ali dan Anwar Ibrahim didedahkan.

Persoalannya sekarang, kenapa sekarang dan bukan selepas Pemilihan PKR 2014? Apakah ini ada kaitan dengan selepas Laporan RCI Sabah di mana sekarang ini semakin meruncing di Sabah angkara ketidakpuasan hati pembangkang Sabah terutama PKR Sabah dan DAP Sabah?

Bercakap mengenai peletakan jawatan Roland, seperti yang diperkatakan Chegu Bard, ia berpunca daripada rasa tidak puas hati kerana tidak terpilih di dalam barisan kepimpinan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.

Menurut sumber dalaman PKR, Dr Roland juga dilihat marah dengan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah, Datuk Seri Lajim Ukin yang tidak menyenaraikannya sebagai 'orang kuat' parti bagi negeri itu sendiri.

"Roland bengang dengan Lajim kerana tidak senaraikannya dalam 'line up' MPN Sabah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Begitu pun, Lajim menafikan perkara ini sebaliknya menyatakan Roland masih lagi ADUN Inanam dan anggota PKR.

Dalam pada itu, Lajim ketika dipetik sebuah portal menjelaskan Dr Roland masih lagi ADUN Inanam.

Lajim juga tidak menolak kemungkinan akaun Facebook ADUN Inanam berkenaan digodam.

Sementara itu, sebuah portal melaporkan kenyataan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang menyatakan kedudukan Dr Roland hanya akan diketahui sebaik sahaja dia pulang ke Malaysia setelah mendapatkan rawatan di luar negara.

Rafizi turut mengakui menerima surat daripada pihak Dr Roland yang menyatakan keadaan kesihatannya sekali gus memberitahu hasrat untuk meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, seorang lagi sumber dalaman parti menyifatkan Dr Roland masih muda dan faktor kesihatan hanyalah alasan untuk meletakkan jawatan.

"Dr Roland masih muda dan sihat, doktor perubatan buat pengumuman letak jawatan kerana kecewa tidak dilantik sebagai Ketua Perhubungan PKR Sabah.


"Sebaliknya Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim melantik Lajim. Ini kes kurang kasih sayang," jelas sumber itu.
 

KERAJAAN BERTEGAS ISU KEHADIRAN PENDATANG ASING DI SABAH DISEBABKAN KETAMAKAN INDIVIDU


Kerajaan bertegas tidak akan berkompromi ke atas mana-mana individu termasuk penjawat awam dalam menangani isu kehadiran pendatang asing di Sabah.

"Tindakan diambil lebih awal sebelum wujudnya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) apabila 94 orang pelaku kesalahan ditahan pada ketika itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Maknanya tindakan proaktif dilakukan oleh pihak kerajaan.

"Kami di Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan persekutuan dan negeri secara ikhlas bagi membantu menyelesaikan permasalahan yang wujud," kata Zahid Hamidi semasa lawatannya di Kimanis.

Zahid juga menjelaskan penduduk warganegara Malaysia di Sabah adalah lebih rendah berbanding penduduk warganegara Malaysia di Sarawak.

Katanya, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan 2010, jumlah keseluruhan penduduk di Sabah, termasuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia yang memiliki dokumen sah dan PATI ialah 3.2 juta orang.

Bagaimanapun daripada jumlah 3.2 juta orang itu, penduduk warganegara Malaysia di Sabah cuma 2.511 juta orang, berbanding Sarawak 2.6 juta orang.

Berdasarkan jumlah 3.2 juta orang penduduk di Sabah itu, jumlah rakyat asing di Sabah, termasuk yang memiliki dokumen dan dibenarkan bekerja di negeri itu dan Pati ialah kira-kira 700,000 orang.

Bagaimanapun Zahid berkata, pihaknya sukar menganggarkan bilangan sebenar Pati di Sabah kerana kehadiran mereka tidak didaftarkan namun jumlahnya di anggarkan sekitar 250,000 orang.

Sementara itu, Zahid juga menjelaskan sejak 1990, jumlah rakyat asing, kebanyakannya dari  Filipina dan Indonesia, yang dihantar balik ke negara asal ialah kira-kira 401,000 orang dan untuk tahun 2014 sahaja, sehingga Oktober, jumlah yang dihantar balik ialah 17,434 orang.


Katanya usaha mengesan dan menangkap PATI di Sabah akan dilakukan secara berterusan dan bukan bermusim selain terus menambah baik sebarang kelemahan bagi memastikan usaha menangani isu berkenaan dapat dijayakan.
 

TIADA PROJEK IC SEPERTI YANG DIBAWA PEMBANGKANG


Biarpun Laporan Siasatan Di Raja (RCI) Sabah tidak menyebut adanya Projek IC, tetapi pembangkang masih memainkan isu ini.

Motifnya hanya untuk memberikan gambaran buruk kepada kerajaan kononnya kehadiran pendatang asing di Sabah atas kesalahan kerajaan.

Kementerian Dalam Negeri sekali lagi menegaskan, tidak wujud sindiket atau ‘Projek IC’ sebagai satu perancangan sama ada oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atau mana-mana jabatan serta agensi di bawah kerajaan negeri Sabah secara langsung dan tidak langsung.

Malah, Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang telah memutarbelitkan dapatan laporan suruhanjaya siasatan pendatang asing di Sabah dengan mengangkat kenyataan saksi bahawa wujud Projek IC di negeri ini.

Tegas beliau, kenyataan yang dibuat itu dilakukan tanpa memberi gambaran sebenar bahawa keterangan saksi-saksi berkenaan tidak tertakluk kepada pemeriksaan balas dan kredibilitinya boleh dipertikai kerana mereka merupakan bekas tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Saya ingin menyatakan bahawa apa yang penting tiada ‘Projek IC’ wujud di Sabah. Namun, terdapat perbuatan yang dilakukan individu luar atau dalam JPN ketika itu berhubung isu ini.

“Bagaimanapun, kita telah mengambil tindakan awal dengan menahan dan membicarakan 94 pelaku atas isu ini di bawah ISA,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Pusat Tahanan Sementara di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut menjelaskan jumlah penduduk warganegara Malaysia di negeri ini adalah lebih rendah berbanding penduduk warganegara Malaysia di Sarawak.

Kata beliau, berdasarkan bancian Jabatan Perangkaan 2010, jumlah keseluruhan penduduk di Sabah, termasuk warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia yang memiliki dokumen sah serta pendatang asing tanpa izin (PATI) ialah 3.2 juta orang.

Ujarnya, daripada jumlah 3.2 juta orang itu, penduduk warganegara Malaysia di Sabah cuma 2.5 juta berbanding Sarawak 2.6 juta orang.

“Berdasarkan jumlah 3.2 juta orang penduduk di Sabah, jumlah rakyat asing termasuk yang memiliki dokumen dan dibenarkan bekerja di negeri ini serta PATI ialah kira-kira 700,000 orang.

“Kita turut mempunyai kesukaran menganggarkan bilangan sebenar PATI di Sabah kerana kehadiran mereka tidak didaftarkan, namun jumlahnya dianggarkan sekitar 250,000 orang,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya dengan kerjasama semua agensi penguatkuasaan akan melakukan operasi bagi membanteras jumlah PATI yang berada di negeri ini.

Katanya, perkara itu merupakan komitmen kerajaan melalui kementeriannya dalam memastikan masalah kebanjiran PATI dapat diatasi.

Beliau memberitahu, seramai 17,434 PATI telah dihantar pulang dari negeri ini sehingga November 2014.

Sumber: Utusan

Hakikatnya, tidak ada mana-mana kerajaan di dunia ini yang mahukan keselamatan rakyatnya terancam berikutan kemasukan pendatang asing secara haram.


Malah, kerajaan sentiasa menguatkuasakan undang-undang bagi memastikan rakyatnya sentiasa selamat. 
 

NASRUDDIN HASSAN AKHIRNYA MENGAKUI TAHALUF SIYASI BERSAMA DAP TERBATAL


Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nasruddin Hassan menegaskan penolakan hukum hudud oleh DAP akan menyebabkan tahaluf siyasi dalam Pakatan Pembangkang terbatal kerana jika PAS mengabaikan dasar itu, hukumnya adalah haram.

Menurut beliau, tahaluf siyasi bukanlah sebuah parti yang mempunyai satu ideologi sebaliknya kerjasama itu adalah berkait dengan tindakan politik yang dipersetujui bersama tanpa mengganggu hak dan dasar perjuangan masing-masing.

Katanya, kerjasama tersebut hanyalah dalam urusan kepentingan bersama membabitkan aspek politik untuk menolak kezaliman, penindasan, rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pelbagai lagi tanpa melepasi dasar perjuangan parti.

“Jika DAP buat syarat pakatan pembangkang mestilah tanpa pelaksanaan Islam dan syariatnya, dan menegaskan bahawa Pas tidak boleh melaksanakan syariat Islam termasuk hudud, maka pada saya, syarat dan penegasan yang DAP buat itu membatalkan syarat tahaluf, tiada ertinya lagi tahaluf siyasi ini.

“Jika dasar parti terhalang untuk ditunai dan dilaksana dengan kerjasama ini, maka tahaluf ini batal. Malah tidak keterlaluan kalau saya nyatakan hukumnya adalah haram,” katanya dalam wawancara yang dipetik daripada portal Malaysia Transform di sini hari ini.

Beliau yang berada di Mekah mengulas perkembangan terkini dalam Pakatan Pembangkang berikutan beberapa siri serangan terbuka oleh pemimpin DAP termasuk daripada Lim Guan Eng sendiri, khususnya berhubung isu hudud dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2014 kelmarin.

Guan Eng dalam nada kerasnya mendesak pakatan agar memuktamadkan pendirian untuk tidak melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berjaya memenangi pilihan raya umum akan datang, kononnya perkara itu adalah aspirasi daripada penyokong pembangkang.

Persidangan tersebut yang dihadiri 938 perwakilan juga sebulat suara meluluskan resolusi menolak pelaksanaan hudud sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan sekiranya pakatan pembangkang berjaya mentadbir Putrajaya.

Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, PAS tidak akan sama sekali mengabaikan dasar perjuangan demi pakatan pembangkang, justeru DAP tidak sepatutnya menghalang pelaksanaan hukum hudud jika tidak mahu gabungan tersebut berpecah.

Dalam wawancara itu, Nasruddin turut mengakui bahawa kedudukan pakatan pembangkang kini semakin sukar kerana kesemua pihak belum ‘menemui lantai untuk sama-sama bersila menyelesaikan masalah yang dihadapi’.

Meskipun begitu tegasnya, PAS akan tetap mempertahankan dasar tersebut dalam apa juga cara dan menyifatkan pihak yang menolak hukum hudud sebagai penghalang kepada perjuangan Islam.

“Pas akan tetap berjuang untuk melaksanakan Islam dan syariatnya. Hudud adalah sebahagian daripadanya. Ia adalah kewajipan agama yang ditetapkan syarak, tiada siapa yang boleh halang, kalau mereka halang bererti mereka menjadi penghalang kepada perjuangan Islam.


“Kepada mereka yang menghalang kerana dendam, benci, angkuh dan semangat menentang Islam, maka akan didepani dengan sebijaknya dan sesuai dengan penentangan yang dihadapi. Hujah dengan hujah, saraf dengan saraf, senjata dengan senjata,” tegas beliau.
 

ISU KALIMAH ALLAH: AZMIN ALI SOKONG ANWAR IBRAHIM DALAM PERTAHANKAN KENYATAAN LIM GUAN ENG


Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali hari ini mempertahankan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa kalimah Allah boleh digunakan oleh semua kaum kerana itu adalah pendirian rasmi Pakatan Rakyat (PR).

Azmin berkata, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut bersetuju bahawa tiada sekatan untuk bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

“Ini adalah pendirian PR. Presiden PAS sendiri pun pernah kata, sepatutnya tiada sekatan yang perlu dibuat ke atas bukan Islam untuk menggunakan kalimah ALLAH,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Cek Saguhati kepada Pembeli Projek Terbengkalai Taman Bukit Impian (U10), di Hotel de Palma.

Kelmarin, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mempertahankan kenyataan Guan Eng dan mendakwa bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah di Pulau Pinang.

Anwar dilaporkan sebagai berkata, sarjana terkemuka Islam, termasuk Dr Sheikh Yusof Qardawi sudah menyatakan keterbukaan mereka terhadap penggunaan kalimah itu di kalangan bukan Islam.

Sementara itu Azmin berkata, apa yang Guan Eng kata itu benar dan ia selaras dengan pendirian yang dibuat oleh Majlis Pimpinan PR.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan mengapa ketetapan sedemikian tidak diguna pakai di Selangor, sebagaimana yang dilakukan Guan Eng di Pulau Pinang.

Dalam konteks ini jelas bahawa umat Islam di Malaysia terutama pemimpin dan penyokong PR lebih mengambil kira keputusan kepimpinan PR dalam isu-isu melibatkan Islam berbanding mengambil kira pendekatan Mufti Malaysia yang terdiri daripada golongan bijak pandai agama Islam di Malaysia.


Jelas, sekarang ini suara-suara pemimpin PR seperti Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Lim Guan Eng menjadi rujukan yang secara jelas telah mempolitikan agama di Malaysia. 
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger