KERANA TERDESAK SELAMATKAN PARTI RAFIZI RAMLI SERANG PROGRAM KERAJAAN BN


Insiden Pemilihan PKR 2014 banyak membuka ruang dan peluang kejatuhan imej PKR di kalangan rakyat dan ahli-ahli PKR.

Banyak insiden melibatkan pergaduhan, salah laku dan salah guna kuasa serta melibatkan politik wang.

Tidak cukup dengan itu penglibatan gengster dan kongsi gelap juga dilihat betapa PKR bukan parti pembela rakyat tetapi menyokong keganasan.

Disebabkan itu, sesuai dengan jawatannya Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dijangka akan menyerang beberapa program yang dibuat kerajaan biarpun ia sangat bermanfaat kepada rakyat.

Ini semua atas tujuan PKR sudah rasa kemaluan yang amat tidak dapat diterima pakai ahli-ahli PKR.

Pengarah Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Rafizi akan berbuat demikian untuk mengalih perhatian rakyat daripada kemelut pemilihan parti dan perbalahan di antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Selain perbalahan kedua-dua kepimpinan tertinggi PKR itu, difahamkan ada suatu rahsia besar akan terdedah ekoran kenapa Khalid Ibrahim bertindak untuk melawan Azmin Ali dalam jawatan Timbalan Presiden PKR?

Ramai ahli PKR di seluruh negara berkata punca Abdul Khalid bertindak untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang. Mastermind bagi PRK Kajang adalah Rafizi. Ramai ahli PKR menyalahkan Rafizi dalam perkara ini. Maka sekarang Rafizi dikatakan terdesak untuk menyelamatkan tengkuknya.


Inilah PKR parti yang tidak pernah tiada masalah biarpun ketika berkempen sibuk menuding jari kepada kepimpinan BN.
 

GARA-GARA HUDUD HUBUNGAN PAKATAN PEMBANGKANG AKAN BERAKHIR SEBELUM PRU-14


Gara-gara hudud menyebabkan mereka tidak sepakat dan banyak lagi perkara yang menyebabkan hubungan DAP, PKR dan PAS kini hanya menunggu saat untuk bercerai talak 3.

Selepas ditolak rakyat pada PRU-13 dan ditambah dengan pelbagai kontroversi yang melibatkan kepimpinan tertinggi setiap parti sehingga menyebabkan hubungan sesama parti dalam Pakatan Pembangkang kian renggang.

Pandangan diutarakan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam ucapannya semasa menghadiri majlis makan malam DAP Melaka bagi memberi penghormatan kepada mendiang Karpal Singh serta memperingati ulang tahun ke-30 ‘Kempen Selamatkan Bukit China’ pada Jumaat.

Kata Lim Kit Siang, selepas setahun berlalu sejak PRU-13 pada Mei tahun lepas, penyokong Pembangkang Pembangkang mula mempersoalkan mampukah mereka dapat terus berdiri kukuh untuk menghadapi PRU seterusnya.

“Rakyat Malaysia menantikan PRU seterusnya dengan penuh harapan dan mengharapkan akan ada perubahan pada kerajaan persekutuan tetapi dapatkah Pakatan Pembangkang bertahan sehingga PRU14?” tanya Lim dalam satu kenyataannya.

Kata Lim Kit Siang lagi pada penghujung 2011, Pakatan Pembangkang berdepan dengan krisis mengenai hudud di mana ia telah menimbulkan perdebatan di antara barisan kepimpinan DAP, PAS serta PKR tetapi mereka berjaya mencari penyelesaian iaitu dengan memberi keutamaan kepada kerangka kerjasama dan konsensus Pakatan Pembangkang.

Tetapi, kali ini isu hudud kembali menghantui apabila sekutu mereka PAS nekad mahu mengembalikan hudud selepas melihat rasionalnya hukum Islam itu diaplikasikan di Malaysia.

Seperti biasa DAP yang terkenal dengan anti-Islam akan menentang keras pelaksanaan hukum hudud biarpun terpaksa bercerai dengan PAS.


Namun, itu tidak akan menjejaskan DAP untuk terus membawa konsep Malaysia Malaysian dengan kesamarataan semua kaum dengan menghapuskan kuota Bumiputera seperti mana yang dilaungkan mereka sebelum ini.
 

APA SUDAH JADI BILA AHLI PKR SENDIRI SAMAN PKR


Apa yang boleh perkatakan Pemilihan PKR 2014 adalah yang terburuk dalam sejarah penubuhan PKR sejak Anwar Ibrahim dimasukkan di dalam penjara ekoran kesalahan menyalahgunakan kuasanya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1997.

Malah PKR yang berjuang bersama DAP dan PAS yang mahukan PRU-13 dilaksanakan secara adil dengan menunding jari kepada SPR sehingga diadakan Perhimpunan BERSIH yang diketuai S. Ambiga kini diibaratkan meludah ke langit terkena muka sendiri.

Sepatutnya S. Ambiga wajib mengadakan satu lagi Perhimpunan BERSIH bagi menuntut PKR mengadakan pemilihan dengan telus seperti mana yang dilakukan mereka sebelum ini.

Malah, kebiadapan ahli-ahli PKR semasa sesi pemilihan bukanlah yang pertama dilihat malah pada tahun-tahun sebelumnya pernah berlaku perkara yang sama sehingga menimbulkan perasaan takut kepada mereka yang turun bertanding dan mengundi.


Terbaru, seorang ahlinya hari ini memfailkan saman setelah mendakwa proses pemilihan parti itu di cabang Ampang pada 11 Mei lalu tidak telus selain wujudnya unsur-unsur penipuan.

Tuntutan saman itu dikemukakan oleh Nasharudin Md. Isa, 51, melalui firma guaman, Tetuan Partick Dass & Co. di Mahkamah Tinggi dengan menamakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Datuk Johari Abdul sebagai defendan pertama.

Nasharudin turut menamakan JPP PKR sebagai defendan kedua manakala calon Ketua Cabang PKR Ampang, Zuraida Kamaruddin yang telah diisytiharkan memenangi jawatan tersebut oleh jawatankuasa berkenaan pada 11 Jun lalu sebagai defendan ketiga.

Dalam writ saman itu, Nasharudin mendakwa proses pemilihan PKR Cabang Ampang yang berlangsung di Dewan Nusa Bakti, Bandar Baru Ampang pada 11 Mei lalu adalah cacat, tidak teratur serta wujudnya pelbagai kepincangan.

Berdasarkan dakwaan tersebut, Nasharuddin menyatakan pemilihan PKR Cabang Ampang telah diumumkan pembatalannya oleh Ketua Pengawas JPP PKR setelah dua wakil calon ketua cabang membuat aduan bahawa bilangan kertas undi yang terdapat dalam peti undi tidak sama jumlahnya dengan bilangan ahli cabang itu yang hadir mengundi pada hari berkenaan.

Aduan dua wakil calon itu dakwanya dibuat selepas proses pengundian cabang berkenaan ditutup pada pukul 5 petang setelah mendapati jumlah kertas undi yang dikira dari cabang berkenaan adalah sebanyak 1,151 berbanding jumlah pengundi seramai 1,115 orang.

Bagaimanapun, beliau mendakwa defendan pertama masih meneruskan pengiraan undi bagi PKR Cabang Ampang di Pejabat PKR Pusat di Petaling Jaya sehingga keputusan rasmi dikeluarkan JPP PKR pada 11 Jun lalu yang menetapkan Zuraida memenangi jawatan Ketua PKR Cabang Ampang dengan memperoleh 672 undi.

Biarpun bantahan telah dibuat tetapi tiada tindakan diambil (oleh JPP PKR). Malah, pengiraan undi yang dibuat tanpa kehadiran wakil-wakil calon yang bertanding, pemilihan dibuat berat sebelah.


Pada masa sama, beliau turut menuntut supaya proses pemilihan PKR Cabang Ampang yang diadakan 11 Mei lalu dan keputusan pemilihan yang diumumkan pada 11 Jun lalu dibatalkan.
 

KEKALAHAN KHALID IBRAHIM GARA-GARA BEKALAN ELEKTRIK TERPUTUS


Sejak Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mengumumkan mahu bertanding dalam jawatan Timbalan Presiden PKR telah timbul desas-desus ada pihak yang mahu ‘menamatkan’ politiknya yang tidak senang dengan keputusan mahu mencabar Azmin Ali.

Untuk menamatkan karier politik Khalid Ibrahim, maka beliau harus ditewaskan dalam Pemilihan PKR di peringkat Cabang dahulu.

Atas sebab itu, maka wujud pertandingan dua penjuru antara penyandang, Abdul Khalid Ibrahim dan bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam.

Selepas beberapa kontroversi akhirnya S. Manickavasagam berjaya menewaskan Khalid Ibrahim yang diadakan Sabtu lepas.

Manickavasagam memperoleh 701 undi, menewaskan Abdul Khalid yang mendapat 515 undi.

Keputusan tidak rasmi itu diperoleh selepas proses pengiraan undi yang dimulakan kira-kira pukul 1.00 pagi dan tamat kira-kira pukul 5.00 pagi ini di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, iaitu suatu rekod dalam pengundian biarpun undinya tidak sampai 2,000 undi.

Bagaimanapun, bagi jawatan Timbalan Presiden, Abdul Khalid mendapat 517 undi, (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali mendapat 440 undi manakala Datuk Saifuddin Nasution Ismail 50 undi.

Difahamkan, undi untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dikira terlebih dahulu diikuti dengan jawatan ketua cabang.

Bagaimanapun, selepas Abdul Khalid 'menang' bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, berlaku insiden bekalan elektrik terputus menyebabkan pengiraan undi bagi ketua cabang terpaksa ditangguhkan.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.30 malam dan bekalan elektrik hanya pulih dua jam kemudian sebelum proses pengiraan undi diteruskan.

Dalam pada itu, sumber berkata, kekalahan Abdul Khalid itu dirancang oleh pihak tertentu bagi mengelak Menteri Besar itu memenangi kedua-dua jawatan.

Menurut sumber, ini dapat dilihat apabila berlakunya perkara-perkara yang meragukan semasa proses pengiraan undi malam tadi terutama kejadian terputus bekalan elektrik.


Difahamkan, Abdul Khalid akan membuat bantahan terhadap keputusan pemilihan yang belum diumumkan secara rasmi itu ekoran pelbagai insiden 'mencurigakan' itu.
 

DAP LEMPARKAN FITNAH MENJELANG PERMULAAN RAMADHAN


Kisah Pembantu Khas kepada Chong Chieng Jen yang bernama Abdul Aziz Isa yang ‘bermusuhan’ dengan Pemuda PBB Satok menjelang Ramadhan telah mendapat perhatian umum daripada rakyat Sarawak khususnya mereka yang beragama Islam.

Abdul Aziz yang sebelum ini dikhabarkan mengamuk dalam laman facebooknya apabila cadangan DAP Sarawak yang diwakilinya dalam menganjurkan program bersempena dengan kehadiran Ramadhan di Masjid Darul Ibadah, Kampung Kudei telah ditolak biarpun sebelum ini ‘mereka’ bersetuju.

Dalam facebooknya Abdul Aziz telah menunding jari kepada Pusat Khidmat Parlimen P.194 Petra Jaya yang didakwanya telah menghubungi AJK Masjid Darul Ibadah, Kampung Kudei bagi membatalkan program DAP yang dicadangkannya.

Lebih dahsyat lagi Abdul Aziz cuba untuk melaga-lagakan Pemuda PBB DUN N.8 Satok dengan pihak pengurusan Masjid Darul Ibadah Kampung Kudei dalam usaha untuk membatalkan program anjuran DAP.

Dengan pembatalan itu, Abdul Aziz menuduh Pemuda PBB N.8 Satok cuba untuk tidak membenarkan pihak lain termasuk DAP untuk mengadakan program di masjid dan surau di kawasan mereka.

Berasaskan kepada dakwaan Abdul Aziz ini jelas menunjukkan ‘Melayu DAP’ ini cuba untuk menyembunyikan perkara sebenar.


Hakikatnya, persetujuan yang dinyatakan Abdul Aziz itu sebenarnya tidak melibatkan majoriti pihak pengurusan Masjid Darul Ibadah Kampung Kudei sebaliknya hanya melibatkan seorang sahaja individu yang juga merupakan penyokong Pakatan Pembangkang khasnya PKR.

Malah, apabila ditanya kepada pihak pengurusan Masjid Darul Ibadah Kampung Kudei semuanya tidak tahu menahu dan hanya tahu apabila Abdul Aziz ini mengamuk dalam facebooknya dan menjadi perbualan ramai pihak.

Tetapi, apabila ditanya apakah pihak Masjid Darul Ibadah Kampung Kudei bersetuju untuk membenarkan DAP Sarawak yang diterajui oleh Abdul Aziz Isa ini bagi mengadakan program di situ, jawapannya TIDAK SETUJU.

Malah, tiada siapa mahupun Pemuda PBB DUN N.8 Satok yang mempengaruhi keputusan mereka untuk TIDAK membenarkan DAP mengadakan program di masjid itu sebaliknya mereka menolak disebabkan tidak mahu bulan Ramadhan dicemari dengan agenda politik fitnah.


Jelas di sini dakwaan DAP bahawa Pemuda PBB DUN N.8 Satok ‘menghasut’ pihak pengurusan Masjid Darul Ibdah Kampung Kudei adalah tidak benar dan disifatkan sebagai cubaan untuk mencemar nama Pengurusan Masjid Darul Ibadah Kampung Kudei dan PBB DUN N.8 Satok.
 

KERANA KEKESALAN PAS JAWATAN KHALID IBRAHIM SEBAGAI MENTERI BESAR SELANGOR DI HUJUNG TANDUK


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, "saya tidak boleh menyenangkan semua orang" susulan daripada desakan beberapa pemimpin PAS yang mahu beliau meletak jawatan dan digantikan kepada pemimpin PAS.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Sulaiman dilaporkan memberitahu beberapa pemimpin parti itu kini tidak lagi menyokong Abdul Khalid untuk terus menjadi menteri besar.

Menurut Jaafar, sikap Abdul Khalid yang sering membuat keputusan bersendirian serta membelakangkan rakan kompenan Pakatan Pembangkang membuatkan mereka menolak kepimpinannya kali ini.

Bahkan corak pentadbiran Abdul Khalid pada penggal kedua ini juga dikatakan tidak berubah selepas ditegur beberapa pimpinan parti sebelum ini. 

Demikian juga kenyataan Ahli Parlimen PAS, Khalid Abdul Samad dan AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad yang secara terbuka menyatakan barisan pimpinan PR wajar bertemu bagi mencari pengganti Abdul Khalid.

Desakn kepimpinan PAS itu sudah sampai ke telinga Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Sama ada perlu kekal atau tidak sebagai menteri besar, perkara itu perlu dibincangkan secara menyeluruh dalam Pakatan Rakyat, ujar Ketua Pembangkang itu.

"Pandangan dan luahan yang diutarakan terhadap Abdul Khalid mungkin berdasarkan kepada keadaan dan prestasi semasa.

"Kita akan mendengar idea dan cadangan yang diajukan. Kemudian kita akan berbincang dan keputusan akan dibuat selepas perbincangan menyeluruh dilakukan bersama.


Kekesalan beberapa pemimpin PAS termasuk pemimpin DAP ke atas Khalid Ibrahim ekoran beberapa keputusannya yang banyak memihak kepada BN dalam usaha menangani permasalahan rakyat Selangor khususnya isu Langat dan isu air serta beberapa isu yang tidak dapat diselesaikan Pakatan Pembangkang Selangor.
 

DI SEBALIK POTONGAN RAMBUT ZIG-ZAG CHRISTIANO RONALDO


Biarpun pasukannya bergelut untuk mencari tempat ke pusingan kedua Piala Dunia, namun pemain bola sepak terbaik dunia, Chirstiano Ronaldo yang bermain dengan pasukan Portugal tetap menjadi perhatian masyarakat dunia ketika kejohanan Piala Dunia.

Walaupun belum lagi menjaringkan gol, tetapi segala gerak geri Ronaldo menjadi perhatian dunia dengan terbaru gaya potongan rambutnya ala zig-zag.

Apabila diselidik, potongan rambut zig-zag ini membuat cerita dan maksudnya tersendiri yang pasti suatu berita yang sedih.

Difahamkan gaya ‘zig-zag’  bukan hanya menjadi fesyen terbaru penggayaan rambut pemain bola sepak tersebut tetapi ianya sebenarnya melambangkan tanda penghormatan kepada seorang kanak-kanak di Sepanyol yang terpaksa menjalani pembedahan otak akibat menghidap kanser.

Dikhabarkan,  bekas pemain bola sepak tersebut telah membiayai keseluruhan kos pembedahan kanak-kanak berkenaan, dikenali Erik Ortiz Cruz.

Pada Februari lalu, Ronaldo menyumbang sebanyak 83,000 pound sterling (RM454,844) kepada Erik bagi tujuan itu.

Terdahulu, dia juga pernah membiayai rawatan kanser yang dialami seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun pada 2012.

Di sebalik glamor dan jutawan, Ronaldo tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang insan bernama manusia yang membantu golongan yang susah dan memerlukan.


Semoga dengan perlakuan Ronaldo ini akan memberikan hidupnya lebih baik.
 

HANYA HAKIM DATUK ZAINUN ALI SOKONG GEREJA GUNA KALI KALIMAH ALLAH


Di sebalik berita gembira kepada seluruh umat Islam di Malaysia, terdapat berita kurang enak didengar khususnya mengenai seorang hakim beragama Islam yang ‘menyokong’ penggunaan kalimah Allah oleh gereja.

Daripada seramai 7 orang hakim Mahkamah Persekutuan yang membicarakan mengenai kalimah Allah  dengan keputusan 4 orang menolak penggunaan kalimah Allah manakala 3 lagi menyokong.

Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria dalam penghakimannya berkata Mahkamah Rayuan telah melakukan ujian yang betul iaitu terhadap tujuannya dan oleh itu keputusan Mahkamah Rayuan adalah juga betul untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Terdapat empat penghakiman, satu daripadanya disampaikan oleh Arifin dan dipersetujui oleh Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar menolak permohonan kebenaran merayu gereja itu.

Sementara Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha memberikan hujah bertentangan yang memihak kepada gereja berkenaan.


“Alhamdulillah panel yang dianggotai tujuh hakim dan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria itu membuat keputusan dengan majoriti 4-3 menolak permohonan gereja itu,” kata Datuk Zainul Rijal Abu Bakar,  Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) kepada pemberita di perkarangan Istana Kehakiman di sini semalam.

Isu penggunaan kalimah Allah dalam menggantikan perkataan Tuhan oleh penulis The Herald versi Bahasa Malaysia telah membangkitkan kemarahan masyarakat Islam di Malaysia.

Justeru, dengan keputusan semalam yang dibuat Mahkamah Persekutuan isu ini telah menemui jalan penyelesaian dan semua pihak harus mematuhi undang-undang negara.


Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata masyarakat di negara ini tidak kira apa jua agama yang dianuti perlu menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.
 

MANIKAVASAGAM MASIH TETAP PERCAYA PEMILIHAN PKR 2014 MASIH DICEMARI POLITIK WANG


Biarpun pernah digantung keahlian PKR sebelum ini sebelum ditarik balik pada awal Jun lalu, calon Ketua Cabang Kuala Selangor masih percaya politik wang masih berlangsung dalam PKR semasa Pemilihan PKR 2014.

Terbaru, Manikavasagam yang merupakan calon ketua cabang yang berhadapan dengan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dalam Pemilihan PKR 2014 bagi Cabang Kuala Selangor telah bertikam lidah dengan seorang individu dipercayai penyokong kem Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim.

Ketika proses pemilihan berlangsung kira-kira pukul 1.35 petang ini, calon ketua cabang berkenaan, S.Manikavasagam difahamkan menegur tindakan individu berkenaan yang didakwa cuba berkempen di pintu masuk pusat pendaftaran undi di perkarangan Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Bagaimanapun, teguran Manivasagam itu dibalas oleh individu terbabit sehingga tercetus perang mulut sehingga terpaksa dileraikan oleh para penyokong serta anggota jawatankuasa pemilihan parti.


Manikavasagam ketika ditanya mengenai kejadian tersebut menyifatkan ia cuma salah faham yang dikatakan berpunca daripada orang luar yang cuba berkempen.

"Tidak ada (gaduh), cuma salah salah faham sikit-sikit sahaja. Ada orang tukar-tukar chai (risalah nombor calon)...orang luar. Saya akan buat aduan kepada PKR Pusat," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses mengundi kira-kira pukul 3.20 petang ini.

Sebelum itu, Manikavasagam enggan memberikan ulasan mengenai kejadian tersebut atas alasan tidak mahu dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Disiplin PKR memandangkan beliau pada 15 Mei lalu pernah digantung keahlian sebelum ditarik balik oleh jawatankuasa berkenaan pada 11 Jun lalu.

Tindakan ke atas Manikavasagam dibuat susulan kenyataan bekas Ahli Parlimen Kapar itu menerusi media yang mendakwa pencabarnya, Abdul Khalid terbabit dalam politik wang dalam pemilihan pertama PKR Cabang Kuala Selangor pada 11 Mei lalu.

Bagaimanapun, Manikavasagam masih berpegang kepada kenyataannya sebelum ini yang mendakwa masih wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam Pemilihan PKR 2014.

Ini susulan daripada terdapat satu acara keramaian diadakan di Kolej Inpens bagi menjamu ahli-ahli parti sebelum mereka dibawa ke tempat mengundi di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

"Dari awal saya dah cakap saya bantah rasuah, tapi hari ini saya kecewa kerana masih ada lagi berlaku rasuah tetapi apa pun saya akan laporkan kepada biro politik dan kita akan serah kepada JPP (Jawatankuasa Pemilihan Pusat) atau jawatankuasa disiplin parti," kata Manikavasagam.


Jelas bahawa biarpun sebelum ini beliau pernah digantung keahlian tetapi disebabkan beliau berada di pihak yang benar dan mempunyai bukti akan penglibatan mereka dalam politik wang maka beliau tetap berpendirian politik wang dalam PKR masih berlangsung.
 

DEMOKRASI DALAM PKR BERMANDIKAN DARAH


Apa lagi PKR mahukan daripada Pemilihan PKR 2014 selain dari bermandikan darah!

Terkini, kejadian berdarah telah mewarnai Pemilihan PKR 2014 bagi Cabang Kuala Langat.

Dalam pemilihan PKR Cabang Kuala Langat di Dewan Orang Ramai Taman Sri Putra, Banting menyaksikan pergaduhan dua kumpulan dipercayai penyokong calon ketua cabang dengan penyokong penyandang jawatan itu yang menarik diri daripada pencalonan sebelum ini.

Pergaduhan itu berlaku ketika hampir proses pemilihan cabang berkenaan ditutup pada pukul 7.00 malam semalam.


Difahamkan pergaduhan tercetus setelah salah satu pihak tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang didakwa tidak telus.

Pemilihan semula PKR Cabang Sabak Bernam di Dewan Sungai Air Tawar, Sabak Bernam pula turut kecoh apabila terdapat ahli parti itu didakwa cuba melakukan provokasi untuk meraih undi sehingga berlaku pertengkaran kecil.

Seorang ahli PKR cabang berkenaan yang enggan dikenali mendakwa, pengedaran terlalu banyak risalah nama calon telah menimbulkan kerumitan kepada pengundi.

"Ada juga beberapa individu yang sudah dilucutkan keahlian daripada PKR, dilihat membantu memancing undi dan menimbulkan kekecohan dengan mengoyakkan gambar calon bertanding.





"Apabila ada penyokong calon berkenaan ternampak kertas itu dikoyakkan, mulalah kecoh kerana mereka tidak puas hati," dakwanya.

Sememangnya pemilihan PKR kali ini mencatat sejarah paling banyak pergaduhan hingga menyebabkan kebanyakan ahli-ahli PKR sudah berasa muak dengan perjuangan parti yang diasaskan bagi membebaskan Anwar Ibrahim.


Dan, kini ‘politik’ telah mempengaruhi perjuangan PKR hingga menidakkan perjuangan rakyat yang sepatutnya diutamakan.


Dengan situasi terbaru ini rakyat boleh melihat kewajaran PKR dalam kancah politik Malaysia yang hanya mempermainkan rakyat.
 

PAS KINI MULA IKUT TELUNJUK DAP MAHU HAPUSKAN KUASA SULTAN


Tiada apa yang menghairankan apabila PAS kini mula ikut telunjuk DAP apabila dalam mahu menghapuskan kuasa Majlis Agama Islam dan Jabatan Agama Islam Selangor selepas insiden isu rampasan Bible.

PAS mendesak MAIS dan JAIS dihapuskan kuasanya dalam menjaga kedaulatan agama Islam di Selangor dengan meminda enakmen yang selama ini memberi tanggungjawab kepada badan agama berkenaan.

Seperti biasa pemimpin PAS, Khalid Samad berkata kajian semula enakmen itu adalah perlu berikutan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjatuhkan imej Islam apabila merampas 300 Bible milik Persatuan Bible Malaysia (BSM), Januari lalu.

Tegas beliau, penghapusan kuasa MAIS itu boleh dilakukan kerana Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mempunyai suara majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memberi sokongan terhadap sebarang pindaan pada enakmen berkaitan.

"Kami sebagai Ahli Parlimen PAS meminta kerajaan negeri mengkaji enakmen yang memberikan kuasa eksekutif kepada MAIS untuk mengarahkan JAIS dan sekiranya perlu, membuat pindaan kepada enakmen berkenaan.

Khalid yang juga Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor berkata, JAIS telah gagal dalam peranannya apabila banyak tindakan badan agama itu menimbulkan persoalan dan kontroversi.

"Jadi kita minta kerajaan kaji dan Exco agama mengetuai jawatankuasa ini demi menjaga masalah dalam negeri Selangor dan hubungan antara bukan Islam dan orang Islam.

"Dalam mesyuarat PAS negeri, kita akan timbulkan perkara sama kerana banyak sangat kes yang kita tengok Exco agama tidak tahu apa-apa dan akhirnya kerajaan negeri juga kena menangani salah faham yang timbul," tegas beliau.

Lihatlah bagaimana pengaruh DAP dalam PAS kini mula kelihatan.

 

CHEGU BARD: MANA PENJELASAN PKR PASAL POLITIK WANG?


Atas prinsip ketelusan, ahli PKR Cabang Rembau yang digantung keahliannya, Badrul Hisham Shahrin mengecam Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sehingga kini masih belum memberikan penjelasan berhubung amalan politik wang yang didakwa berlaku dalam pemilihan parti itu baru-baru ini.

Sehingga kini masih beberapa cabang PKR khususnya yang bermasalah dalam politik wang masih belum menyelesaikan masalah kepimpinan mereka.

Penjelasan ini gara-gara desas-desus berhubung tindakan Ahli JPP parti, Abdul Malek Hussin `membaling' sejumlah wang kepada seorang pemimpin PKR mula tersebar di internet sejak dua minggu lalu.

Sehingga kini, ahli PKR dan penyokong parti masih tertanya-tanya sama ada kejadian tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya.

"Kenapa susah sangat untuk muncul dengan penjelasan tersebut sehingga membiarkan ahli dan penyokong termangu-mangu diasak dengan persoalan dan ejekan.

Pada 12 Jun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas dari PKR, Dr. Xavier Jayakumar menegaskan, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap portal berita propembangkang, Malaysiakini kerana didakwa menyiarkan laporan berunsur fitnah terhadap beliau.

Selain Malaysiakini, Xavier turut mengemukakan notis tuntutan maaf kepada Badrul Hisham dan akhbar Tamil Malar berhubung penyiaran artikel yang menuduh beliau terlibat dalam kegiatan rasuah bersama Abdul Malek.

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai `Chegu Bard' meminta Lembaga Disiplin PKR menyiasat dakwaan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya jika ia didapati benar.

Beliau menambah, Xavier sepatutnya menjawab serta memberi penjelasan dan bukannya bertindak sombong serta angkuh dengan mengugut untuk memfailkan saman.

"Untuk muncul mendesak segera bertindak membetulkan persepsi salah setelah begitu lembap menghadapi isu sebesar ini maka saya akan disaman, saya sedia," ujarnya.

Badrul Hisham turut menyatakan kehairanannya apabila Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali mencabar beliau membuktikan dakwaan pembabitannya dalam memberi rasuah kepada ahli JPP parti.

"Saya meminta Azmin merujuk surat saya dan fahami, isu telah muncul dari pelbagai sumber dan pelbagai versi tanpa ada pihak menjelaskan," katanya.


Ternyata, isu dalaman yang melibatkan pembabitan politik wang dalam PKR sudah semakin parah.
 

LIM GUAN ENG BANTAH SEKERAS-KERASNYA KEDAH BINA LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA BARU


Hasrat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir mengemukakan cadangan mengenai pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kulim telah mendapat respons yang tidak menyenangkan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Kedah sudah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Persekutuan dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri ini dan negeri-negeri di utara tanah air.

Menurut beliau, cadangan pembinaan lapangan terbang tersebut yang bakal beroperasi untuk kargo dan penumpang telah dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Katanya, lokasi lapangan terbang tersebut dikenal pasti berdekatan dengan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Kulim membabitkan tanah seluas 6,000 hektar.

Bagaimanapun, cadangan Menteri Besar Kedah itu dilihat kurang senang oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng selepas mempersoalkan cadangan tersebut dari sudut keperluan ekonomi dan justifikasinya.

Guan Eng turut mempersoalkan kewajaran lokasi lapangan terbang baharu itu di Kulim yang disifatkan beliau begitu hampir dengan Pulau Pinang.

Malah, Guan Eng berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang akan meminta sekurang-kurangnya dua lapangan terbang baharu dibina di negeri itu sekiranya permintaan Kerajaan Negeri Kedah itu diluluskan.

"Perlu diingat bahawa Pulau Pinang adalah penerima terbesar pelaburan langsung asing (FDI) di Malaysia. Kedudukan Kedah begitu jauh dari segi FDI," tegas Lim Kit Siang lagi.

Persoalannya, di manakah Lim Guan Eng mahu membina 2 lagi lapangan terbang baru di Pulau Pinang?


Apakah Ketua Menteri mahu lapangan terbang dibina di Pulau Jerejak dan Pulau Aman?
 

BILA SETUJU KATA KETERBUKAAN TAPI BILA TIDAK SETUJU SALAHKAN UMNO


Keputusan DUN Selangor membenarkan usul cadangan perlaksanaan hudud dibahaskan di persidangan itu bukan perkara yang pelik seperti mana yang dimaklumkan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.

Menurut Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin, sifat keterbukaan yang ditunjukkan oleh Speaker DUN Selangor, Hannah Yeoh menunjukkan bahawa beliau tidak berat sebelah.

“Penerimaan Speaker Selangor berkaitan dengan soal hudud harus dihormati oleh semua pihak, saya puji keputusan beliau,” katanya.

Speaker berperanan sama ada bersetuju atau tidak dalam membawa usul untuk dibahaskan.

Persetujuan Speaker Selangor itu telah diuar-uarkan sangat baik dan keterbukaan oleh Zuraida Kamaruddin biarpun DAP dan PKR menentang keras pelaksanaannya.

Hakikatnya, itu baru sahaja usul dibentangkan dalam DUN Selangor, yang pasti usul itu nanti pasti akan ditolak oleh Kerajaan Negeri Selangor seperti mana yang telah dimaktubkan oleh PKR dan DAP di peringkat pusat.

Seperti biasa, mulut pemimpin Pakatan Pembangkang sentiasa bercabang apabila sentiasa menyalahkan pemimpin UMNO dan BN yang dikatakan bersandiwara dalam membawa isu hudud ini.

“UMNO itu hanya acah-acah sahaja, mereka berpura-pura bahawa mereka adalah antara parti yang mempertahankan hukum Islam tapi sebenarnya mereka hanya mengambil langkah sedemikian untuk mendapatkan sokongan dan undi Melayu.

“Jika mereka betul-betul mahu laksanakan hukum hudud pasti mereka akan bawakan usul cadangan ini hingga ke peringkat Parlimen kerana cadangan perlaksanaan hudud ini perlu dikaji di Parlimen,” katanya lagi.


Namun, Zuraida lupa bahawa pihak yang sepatutnya membawa itu hudud itu ke Parlimen bukan UMNO, tetapi PAS yang mahu membahaskannya bagi mendapat persetujuan dalam melaksanakan hudud di Kelantan.
 

APABILA NIK AZIZ BERSUARA PASAL DYANA SOFYA


Ramai pihak khususnya penyokong Pakatan Pembangkang beranggapan bahawa perjumpaan Penasihat DAP,  Lim Kit Siang bersama calon DAP Dyana Sofya dengan Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat berjaya mencapai matlamatnya untuk memperbetulkan keadaan bahawa kekalahan DAP dalam PRK Teluk Intan berpunca daripada PAS yang memperkenalkan hukum hudud.

Bekas calon DAP bagi PRK Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd. Daud sepatutnya lebih mengutamakan agama Islam berbanding pendirian parti politik yang disertainya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, agama yang wujud sejak beribu-ribu tahun lalu lebih penting berbanding sesebuah parti politik kerana telah menjadi pegangan hidup manusia sejak sekian lama.

Sehubungan itu katanya, tiada sebab kenapa Dyana Sofya perlu mengutamakan DAP lebih daripada agama yang dianutinya sehingga terpaksa menolak pelaksanaan hukum hudud.

"Dalam pertemuan pagi semalam, baru saya dengar penjelasan Dyana (Sofya) yang dia tidak kata tolak hudud sebagaimana dilaporkan wartawan, cuma dia ikut pendirian parti.

"Jadi saya kata pula, agama dengan parti mana lebih utama. Parti baru lagi, 40 hingga 50 tahun sedangkan agama sudah beribu-ribu tahun. Patut agama lebih utama. Dia terus senyap," katanya lagi.

Nik Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan beliau dengan Dyana Sofya serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim semalam.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau turut meluahkan perasaan kecewanya terhadap tindakan Dyana Sofya yang disifatkan mengeluarkan kenyataan secara terburu-buru.

"Saya luah isi hati, bahawa saya kecewa kerana teknik (memberi kenyataan) itu tidak betul, sebab seolah-olah terus tolak hudud di peringkat pertama lagi," katanya.

Nik Abdul Aziz bagaimanapun enggan mengulas dakwaan DAP yang mengaitkan Pas dan hudud sebagai punca kekalahan dalam pilihan raya kecil tersebut sehingga Kit Siang terpaksa tampil bertemunya untuk memberi penjelasan.

"Isu itu orang yang kata, dia nak kata apa, saya tak ganggu," katanya.

Akhirnya apabila Nik Aziz bersuara baharulah penyokong PAS tahu bahawa tindakan Dyana Sofya yang mengutamakan parti DAP berbanding agama adalah salah dan keterlaluan liberal.

 

BBC NEWS PERLEKEHKAN WAWANCARA BERSAMA ANWAR IBRAHIM


Melihat kepada video wawancara BBC News bersama Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim jelas dapat digambarkan sebagai mula mencari simpati dunia apabila jawapan Anwar itu menyimpang daripada soalan yang diberikan.

Wartawan BBC News, Stephen Sackur mempertikaikan jawapan yang diberikan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam sesi temu bual yang dikendalikannya di stesen penyiaran tersebut di London, United Kingdom (UK), baru-baru ini.

Sebaik sahaja temu bual dimulakan, Anwar cuba meraih simpati dengan menjaja kisahnya berdepan dengan kerajaan Malaysia yang didakwa bersifat autoritarian.

Bersikap autoritarian? Jika benar, Anwar mungkin tidak akan berada pada tahap ketika ini sekarang! Bahkan Anwar yang banyak menjadi dalang dalam beberapa demontrasi tidak pernah didakwa ataupun disabitkan kesalahan dalam menghuru-harakan jalanan di Malaysia.

Walau bagaimanapun, Sackur mengingatkan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu bahawa mahkamah merupakan institusi yang mengadili kes liwatnya.

Sackur seterusnya mempersoalkan kenyataan Anwar yang mendakwa mahkamah dan media di Malaysia tidak bebas.

Anwar bersikap begitu disebabkan kes liwatnya itu tidak menyebelahinya sebaliknya memperlihatkan dirinya bersalah kerana meliwat Saiful Bukhari Azlan.

Anda telah menyampaikan mesej itu kepada rakyat Malaysia sejak bertahun-tahun lalu tetapi nampaknya mereka tidak menerimanya. Maksud saya, pihak pembangkang telah melakukan segala-galanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) namun anda masih tidak boleh menang," katanya.

Sackur kelihatan hairan apabila Anwar menyatakan pihak pembangkang mengatasi Barisan Nasional (BN) dari segi undi popular sambil mengingatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu BN memenangi lebih banyak kerusi Parlimen.

Seperti kelaziman Anwar dan Pakatan Pembangkang yang masih berpegang kepada undi popular sedangkan Malaysia yang mengamalkan demokrasi berpandukan kepada undi majoriti.

Beliau turut berpandangan, tiada tanda yang menunjukkan rakyat Malaysia akan berdemonstrasi di jalanan sekiranya Anwar gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu yang menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Dalam nada sinis, Sackur menyifatkan tindakan Anwar mengalihkan topik perbincangan dari isu politik Malaysia kepada insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai menarik.

Dengan ketiadaan isu yang boleh dipolitikkan, Anwar cuba memesongkan pertanyaan wartawan BBC News itu kehilangan MH370 tetapi tidak boleh diterima kerana kerajaan Malaysia telah melakukan banyak sidang media dalam memaklumkan perkembangan semasa.

Kerajaan Malaysia mendakwa anda mempolitikkan isu tersebut yang secara jelas mengecewakan keluarga para penumpang dan anak kapal yang masih hilang.

Juga sangat sensitif dan anda berterusan mempolemikkannya serta menimbulkan masalah dalam satu isu yang agak serius untuk dipolitikkan," ujarnya.

Beliau sekali lagi terpaksa menegur Anwar apabila Ketua Pembangkang itu menuduh kerajaan tidak mendedahkan maklumat tentang kargo yang dibawa pesawat MH370.

Mereka (kerajaan Malaysia) telah mendedahkan dokumen yang mengandungi maklumat kargo," jelasnya.

Sedutan rakaman rancangan temu bual tersebut dimuat naik ke YouTube minggu lalu dan boleh diakses di https://www.youtube.com/watch?v=V88dj0njYT8.

 

DAP SOKONG MURTAD TOLAK HUDUD


Di sebalik DAP menentang keras hukum hudud yang dibawa PAS, sebenarnya mereka sangat menyokong murtad.

Kebenaran ini terbukti apabila seorang wakil rakyat DAP meminta umat Islam di Malaysia menghormati hak saudara seagama mereka yang murtad untuk mengamalkan agama baharu.

Erti kata lain meminta umat Islam tidak mengapa-apakan mereka yang keluar Islam dan menganut agama lain.

Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas) berkata, perkara itu berdasarkan peruntukan Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak mutlak untuk mengamalkan sesuatu agama.

"Saya berharap orang Islam boleh terima peruntukan 11(1) yang memberi hak mutlak untuk mengamalkan sesuatu agama itu oleh orang perseorangan.

"Kalau seseorang itu hendak meninggalkan agama dan dia berusia lebih 18 tahun, kita mesti menghormati hak yang sudah diberikan kepada mereka, yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya pada sidang Dewan Rakyat

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2014) 2014.

Sementara itu, Khoo Ham yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, sebagaimana orang bukan Islam perlu menerima hakikat bahawa undang-undang boleh digubal untuk menyekat mereka yang menyebar agama, orang Islam juga wajar menerima peruntukan Perkara 11(1) yang memberi hak mutlak untuk mengamalkan sesuatu agama.

Melihat kepada alasan  Ngeh Koo Ham isu jelas hanya mengambil aspek undang-undang buatan manusia dan bukannya undang-undang agama Islam yang digunapakai masyarakat Islam di Malaysia.

Beliau juga meminta supaya penjaga yang mendapat hak jagaan diberi kebebasan mendidik kanak-kanak berusia 18 tahun mengikut agama yang dianutinya berdasarkan peruntukan Perkara 12(3) dan 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara ini jelas supaya tidak ada perbalahan, jika sudah capai usia 18 tahun, kanak-kanak itu bebas menganut agama seperti yang dijamin oleh Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Dalam pada itu, Khoo Ham turut mempertikaikan tindakan undang-undang yang dikenakan terhadap pengikut Syiah.

"Saya berasa tidak selesa apabila Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah tidak bersependapat dan saya tidak setuju tindakan undang-undang terhadap pengikut-pengikut Syiah ini," katanya.

Inilah pemimpin DAP yang cuba mengambil isu-isu sensatif umat Islam yang bertujuan untuk memecahbelahkan masyarakat Islam keseluruhannya.

 

PERCAYAKAH NIK AZIZ TERHADAP PUTAR BELIT LIM KIT SIANG?

Gambar: Sinar Harian Online

Kononnya bagi meredakan ketegangan yang berlaku antara DAP dan PAS, Penasihat DAP, Lim Kit Siang terpaksa berjumpa dengan Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat bagi menjelaskan kekeliruan punca kekalahan DAP dalam PRK Teluk Intan.

Selepas keputusan kekalahan DAP dalam PRK Teluk Intan, Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo secara terang membuat kenyataan bahawa kesungguhan PAS memperkenalkan hudud merupakan punca utama kekalahan DAP ketika PRK Teluk Intan, hujung Mei lalu.

Malah, dalam kempen DAP di PRK Teluk Intan, penyokong DAP dan Pakatan Pembangkang membawa penolakan hudud yang diperkenalkan PAS.

Gobind juga ada menyatakan hudud adalah antara salah satu isu (kekalahan), tapi beliau tidak mengatakan ia merupakan isu utama, tidak dinafikan ia merupakan isu besar di masa hadapan, tetapi ia bukanlah isu utama kekalahan kita.

Seperti biasa lidah bercabang Lim Kit Siang yang menyatakan Nik Aziz telah menerima penjelasan mereka kerana berpendapat sebelum ini Nik Aziz percaya apa yang disiarkan dalam akhbar sebelum ini adalah benar.

Sementara itu, calon PRK Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud masih tetap dengan pendiriannya bahawa beliau tetap menolak pelaksanaan hudud seperti mana yang digariskan DAP parti yang diwakilinya.

Menurutnya, beliau mengakui sebagai umat Islam hukum tersebut tidak boleh ditolak namun dari segi pelaksanaannya, beliau masih lagi berpegang teguh dengan pendirian parti.


“Sebagaimana telah saya nyatakan sebelum ini, sebagai umat Islam, saya tidak boleh menolak hudud, tetapi saya punya pendirian adalah sama dengan parti,” katanya.
 

NAJIB TERUSKAN SAMAN SEBAB MAHU AJAR MALAYSIAKINI


Walau apa pun yang perkatakan Malaysiakini dan Majlis Peguam termasuk juga pemimpin serta penyokong pembangkang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetap dengan pendiriannya untuk meneruskan saman ke atas Malaysiakini dan dua editor kanannya.

Najib tidak pernah menolak kebebasan akhbar di Malaysia seperti mana yang telah dipersetujui sebelum ini dan mengalu-alukan kritikan yang bermaklumat dan membina.

Dalam ucapan Najib sebagai menjawab kepada beberapa tohmahan yang dibuat Presiden Majlis Peguam Malaysia berkata:

"Dalam sebuah demokrasi, akan sentiasa ada orang yang tidak akan bersetuju dengan dasar-dasar anda atau tidak menyukai kerajaan anda. Saya mengalu-alukan kritikan yang bermaklumat dan membina.

"Terdapat perbezaan antara kritikan yang membina dan fitnah. Pasukan peguam saya berpendapat bahawa tuduhan baru-baru ini oleh sebuah portal berita dalam talian telah melampaui batas. Mereka telah pun mengeluarkan notis perundangan. Saya ingin jelaskan bahawa ini tidak membayangkan sebarang agenda lebih besar.

"Ini bukan sebahagian bagi mana-mana tindakan keras; ia bukan satu cubaan untuk menutup mulut pengkritik. Ia adalah tindakan terhadap tuduhan spesifik yang melampaui batas, daripada komen adil kepada fitnah."

Dalam ucapan sama, Najib berkata, pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang di negara ini telah mengambil tindakan undang-undang terhadap organisasi yang mereka percaya telah melanggar undang-undang dan bukan sesuatu yang luar biasa dalam demokrasi, tindakan undang-undang terhadap dakwaan memfitnah dalam media adalah tindakan sesuai.

"Ia merupakan sebahagian tindakan keseimbangan. Keseimbangan terbuka kepada kritikan membina daripada orang ramai semasa memegang jawatan awam dan hak asasi untuk melindungi maruah dan nama baik anda daripada serangan sewenang-wenangnya akibat daripada kepercayaan politik," katanya.

Pada 30 Mei, Najib memfailkan saman fitnah berhubung penerbitan dua artikel bertajuk A case of the PM reaping what he sows dan How much will Najib spend to keep Terengganu?.

Menurut kenyataan itu, artikel berkenaan, yang berdasarkan komen para pembaca, dipilih dan kemudian diterbitkan semula oleh Malaysiakini dengan membuat banyak tuduhan palsu dan memfitnah terhadap Perdana Menteri, termasuk membayangkan seolah-olah beliau terlibat dalam jenayah serius.

Selepas artikel itu diterbitkan, pasukan Perdana Menteri telah menulis kepada Malaysiakini dan meminta artikel itu dikeluarkan dan mengeluarkan permohonan maaf tetapi Malaysiakini enggan dan sebaliknya menerbitkan surat perundangan persendirian itu dan beberapa artikel selanjutnya.

Justeru, kenyataan Presiden Majlis Peguam bahawa Najib tidak mengaplikasikan kebebasan akhbar di Malaysia tidak memberikan gambaran sebenar sebaliknya hanya pandangan tidak berasas yang mempunyai tujuan tidak baik.

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger