KERAJAAN NEGERI SARAWAK SUMBANG BANTUAN BERJUMLAH RM2 JUTA KEPADA MANGSA BANJIR


KUCHING, 30 Dis – Kerajaan Negeri Sarawak telah menunaikan janjinya apabila telah menyalurkan bantuan sumbangan berjumlah RM2 juta kepada mangsa-mangsa banjir di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia.

“Atas semangat 1Malaysia dan sifat bantu-membantu, Kerajaan Negeri Sarawak bersetuju menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM2 juta bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di Semenanjung Malaysia”, jelas Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem ketika menyampaikan cek sumbangan kepada Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak di sini sebentar tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Morshidi Ghani dan Setiausaha MKN Negeri Sarawak Encik Addyhanis Bin Ahamad.

Terdahulu, Adenan semasa sambutan perayaan Krismas lepas di Lundu telah memaklumkan Kerajaan Negeri Sarawak akan turut sama membantu mangsa-mangsa banjir di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Sarawak juga merakam penghargaan dan terima kasih kepada badan-badan sukarela, orang perseorangan dan badan korporat dari Sarawak yang turut sama menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Bagi memudahkan lagi penyaluran bantuan yang lebih kemas, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak telah membuka pusat pengumpulan barangan bantuan di Wisma Kebajikan Kuching”, katanya.

Disebabkan cuaca sekarang tidak menentu, semua Pejabat Residen dan agensi, dan jabatan kerajaan yang terlibat dalam pengurusan bencana telah diminta meningkatkan tahap kesiagaan.

Beliau juga meminta penduduk yang tinggal di kawasan yang terdedah kepada banjir segera mengambil langkah-langkah keselamatan dan dinasihatkan agar mengikuti setiap arahan sekiranya diarahkan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan.

Adenan juga meminta rakyat Sarawak untuk tidak melakukan sebarang penyebaran maklumat-maklumat palsu atau tidak sahih di dalam media sosial.

“Sekiranya ini berlaku boleh menyebabkan berlakunya keadaan panik dan sekali gus menyukarkan kerajaan untuk menguruskan banjir dengan lebih efisien di negeri Sarawak.

Sementara itu, kerajaan negeri dan seluruh rakyat turut bersedih dengan insiden menimpa pesawat malang AirAsia Indonesia, QZ8501 yang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.

"Ini tragedi yang mengejutkan, malah kita bersedih kerana satu-satunya warga Malaysia yang berada dalam pesawat itu adalah rakyat Sarawak.


Ahli perniagaan, Sii Chung Huei, 56, yang berasal dari Sibu dikenal pasti sebagai salah seorang penumpang pesawat berkenaan.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger