CHEGUBARD: AZMIN ALI SENDIRI SETUJU ISTANA TARIK BALIK GELARAN ANWAR IBRAHIM


Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali antara individu yang terlibat menyokong gelaran Datuk Seri ditarik balik daripada Anwar Ibrahim.

Ahli PKR Cabang Rembau yang digantung, CheGuBard mendakwa, sebagai Menteri Besar (MB), Mohamed Azmin salah seorang ahli mesyuarat Ahli Dewan Diraja Selangor dan mengetahui perkara itu sejak awal lagi.

"Dalam kejadian itu, ia mendapat kelulusan seluruh ahli-ahli Dewan Diraja dan maknanya termasuk Azmin pada sekitar bulan November.

"Tapi bila ia diumumkan, Anwar mengetahuinya daripada laporan media sahaja dan ini bermakna Azmin tidak memaklumkan kepada Anwar terlebih dahulu," ujarnya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut CheGuBard, Mohamed Azmin akan 'berlakon' seolah-olah apa yang berlaku adalah kehendak istana dan beliau mendapat kelebihan daripada situasi itu terutama mengukuhkan diri dalam parti walaupun memberi kesan negatif kepada Ketua Umum PKR.

Ia, menurut CheGuBard, rentetan daripada 'permainan' ADUN Bukit Antarabangsa dan Ahli Parlimen Gombak itu 'mematikan' awal Anwar daripada persada politik negara.

Sebelum itu, dalam krisis melibatkan Langkah Kajang dan MB Selangor, kelicikan Mohamed Azmin melobi untuk menjadi MB kepada istana sehingga sanggup membelakangkan arahan parti yang hanya mahu nama Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail (Kak Wan) sahaja dihantar ke istana.

CheGuBard hari ini juga mengedarkan kepada media salinan perjanjian bersumpah (SD) lima ADUN Selangor yang menarik balik sokongan kepada Azizah menjadi MB dan kelima-limanya ialah Dr.  A. Xavier, Amirudin Shari,  Mat Shuahaimi Shafiei, Ng Sze Han dan R. Rajiv sebagai membuktikan dakwaannya dulu mengenai peranan Mohamed Azmin menjadi dalang penarikan balik SD sokongan kepada Wan Azizah semata-mata melobi mahu menjadi MB.

"Aduan demi aduan dibuat namun beliau yang 'kebal' daripada tindakan disiplin..parti kerana tidak mematuhi arahan seolah-olah PKR mempunyai dua set undang-undang.

"Satu set kepada golongan biasa dalam parti yang akan dikenakan tindakan dan kedua kepada golongan anak emas yang kebal daripada tindakan disiplin terutama Mohamed Azmin.

"Jadi, kami minta Kak Wan dan Anwar berhati-hati dan saya dan rakan-rakan masih menganggap Anwar 'kereta kebal' terbaik melawan UMNO dan Barisan Nasional dalam pilihan raya akan datang," jelasnya.

Mohamed Azmin juga didakwa CheGuBard seakan-akan meniru stail politik bapa angkatnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang didakwa naik dengan cara menindas kawan dan lawan.

Terdahulu, Ahli PKR Cabang Hulu Selangor, Megat Khairul Anuar Razali (gambar bawah) pula mendakwa selepas isu gelaran ditarik, tidak mustahil jawatan Penasihat Ekonomi Selangor juga akan 'ditarik' perlahan-lahan oleh Mohamed Azmin.

"Rakyat perlu diperingatkan selepas berjaya lobi diri sendiri hingga memalukan Kak Wan dan Anwar tetapi imej baiknya konon terpaksa menjadi MB kerana menjunjung taat atas arahan istana, kerana sultan mahukannya.

"Hari ini dia (Mohamed Azmin) menjunjung taat setia kepada istana tarik balik gelaran kepada Anwar sehingga Anwar dicap sebagai penderhaka dan tidak mustahil akan menjunjung kasih menyingkir Anwar daripada terus berperanan di Selangor termasuk jawatan Penasihat Ekonomi Selangor," katanya.

Selepas itu, Mohamed Azmin akan bergelar Datuk Seri dan menyingkirkan Anwar daripada PKR dan menghimpit bekas bosnya untuk bersara awal dan beliau akan terus berselindung di sebalik istana.

"Silapnya di mana? Silapnya pada Anwar kerana sejak awal memberi payung emas menjadikan Azmin kebal.

Sejak PRU 2008, Azmin keluar TV3 kutuk Presiden sebagai pengamal nepotisme dan kronisme tetapi Anwar diam..kemudian 2010 dan terbaharu 2014 pemilihan penuh tragedi, berkilo-kilo bukti dipersembahkan dan Anwar diam...akhirnya anak emas ini menjadi dinasour tamak yang tak boleh dibendung lagi," katanya.

Megat Khairul mendakwa, sejak jadi MB, Mohamed Azmin telah memulakan proses pembersihan di mana meletakkan para penyokongnya di mana-mana.

"Ia akan melebar bukan sahaja dalam kerajaan Selangor tetapi dalam parti seluruh segara selepas ini atas alasan mudah disalurkan dana. "Kepada Kak Wan dan Anwar, kamu ibu dan bapa gerakan reformasi..bayak sudah pengorbanan kamu, kami bukan setia membabi buta tetapi kami sedar kamu sedang dihimpit teruk oleh Mohamed Azmin dan koncu-koncunya. Kami sedang diuji dalam dan luar parti. Bertahanlah, cuma permintaan kami jujurlah dan bertindaklah," pintanya.


Sumber: Malaysia Gazette
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger