RAKYAT SARAWAK KINI MULA TUNJUKKAN SOKONGAN PADU KEPADA KETUA MENTERI SARAWAK


Belum lagi genap setahun Datuk Patinggi Tan Sri Adenan bin Haji Satem memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak Ke-5, kini rakyat Sarawak mula bercakap mengenai ketegasan beliau dalam memperjuangkan hak rakyat Sarawak.

Adenan dilantik ke jawatan Ketua Menteri Sarawak pada 1 Mac 2014 menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud yang kini dilantik sebagai Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Pada mulanya ramai pemerhati politik kurang berkeyakinan akan keupayaan Adenan memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak atas sebab faktor kesihatan.

Tidak cukup dengan itu, pemerintahan awal Adenan sebagai Ketua Menteri Sarawak masih dibayangi kepimpinan Tun Pehin Sri Abdul Taib yang memerintah Sarawak selama 33 tahun.

Bagaimanapun, Adenan dengan tenang menghadapi situasi ini biarpun menghadapi pelbagai macam tuduhan yang boleh menganggu tugas beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak.

Sebagai Ketua Menteri Sarawak beliau pastinya mempunyai mempunyai visi dan misi dalam membangunkan Sarawak sebagai usaha meneruskan dasar dan polisi bekas Ketua Menteri Sarawak yang terdahulu khususnya politik pembangunan.

Bercakap mengenai karisma yang ada pada Adenan, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin melahirkan rasa kagum beliau terhadap Adenan apabila "bercakap lurus".

Pemimpin pembangkang juga menyokong langkah yang diambil Adenan yang bukan sahaja cakap kosong bahkan mengambil tindakan sewajarnya.

Ketua STAR Sabah, Datuk Jeffrey Kitingan memuji ketegasannya berdepan Putrajaya dalam melindungi hak dan kepentingan Sarawak.

"Setakat ini dia mengatakan perkara yang betul dan melakukan perkara yang betul," kata ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Bagaimanapun, katanya: "Kami masih memerhatikan beliau secara objektif dan dengan fikiran yang terbuka."

Chong yang juga ahli Parlimen Bandar Kuching dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Sentosa berkata satu perkara yang disokong sepenuhnya ialah pendirian Adenan mengenai rasuah.

Pada Jun, Adenan bersetuju dengan cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membenarkan ahli keluarganya yang terdekat memohon tanah atau konsesi pembalakan negeri dengan menandatangani ikrar integriti.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Adenan menunjukkan yang beliau bukan hanya cakap kosong apabila memberi amaran kepada 6 syarikat pembalakan terbesar di Sarawak.

Selepas memberi amaran kepada kumpulan Big 6 itu, beliau memaksa mereka menandatangani ikrar integriti mengakui tidak melibatkan diri dalam amalan rasuah seperti dengan membayar pegawai hutan atau pegawai penguatkuasa.

Perkara lain yang dilakukan dengan 'betul' oleh Adenan dan diterima baik rakyat Sarawak ialah autonomi Sarawak dan kedudukannya setelah penubuhan Malaysia; Sarawak tidak mendapat hak sama sebagai rakan kongsi dalam persekutuan; janjinya menghalang fanatik agama, pelampau dan pengacau masuk ke negeri itu; hak rakyat Sarawak yang berbahasa Malaysia menggunakan Bible yang mengandungi kalimah Allah; janjinya tidak melaksanakan undang-undang hudud "semasa saya masih Ketua Menteri" dan permintaan popular menaikkan royalti minyak dan gas di Sarawak dari 5% kepada 20%.

Bercakap soal agama, Adenan dalam Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak di Betong, memilih pendekatan liberal dalam hal agama "bagi memelihara keharmonian agama dan kaum di negeri ini".

"Walaupun saya dilahirkan seorang Islam, saya menghormati mereka yang beragama Kristian, Buddha dan penganut agama lain.

"Sikap melampau dan ketaksuban tidak akan berkembang maju di Sarawak kerana saya tidak akan membiarkan elemen tersebut datang dan menyusup masuk ke dalam masyarakat kita," katanya.

Baru Bian, pemimpin PKR negeri itu, tidak menjangka Adenan akan bermula dengan satu kejutan.

Baru berkata, Adenan bermula pada nada yang berbeza dan kenyataan berani yang dibuatnya jelas berbeza daripada pemerintahan Tun Pehin Sri Abdul Taib.

Beliau juga mengalu-alukan keterbukaan Adenan yang mahu bertemu ahli politik pembangkang dan dengar suara mereka.

Adenan bertemu pemimpin pembangkang dua kali sejak memegang jawatan.

"Jadi, jelas yang ketua menteri ini melakukan perkara yang luar biasa. Beliau buat kerja tanpa ikut protokol.

"Beliau tidak buat kerja ikut buku. Kalau beliau rasa betul, beliau buat, seperti yang beliau selalu katakan akan buat,” katanya.

Imej bersih yang ditunjukkan Adenan dan caranya yang 'no-nonsense' (tidak main-main) juga membuatkan pembangkang bimbang menjelang pilihan raya negeri.

"Beliau memang bukan Taib," kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada sekumpulan wartawan Sarawak dalam lawatan ke Pulau Pinang baru-baru ini.

"Beliau tiada apa yang buruk hendak disembunyikan,” katanya.

Menambahkan lagi kepedihan yang dialami pembangkang, Adenan berkata beliau mempunyai beberapa "kejutan" untuk pembangkang dalam pilihan raya.

Jika Adenan benar-benar berjaya sebagai seorang yang melakukan perubahan, seperti yang ditakuti pembangkang, rakyat Sarawak boleh mengharapkan beliau terus memimpin mereka lima tahun lagi.

Lonjakan populariti Adenan, menjelang pilihan raya negeri yang dijangka pada 2016, meningkatkan harapan Barisan Nasional (BN) mendapatkan semula kerusi yang tewas kepada pembangkang pada pilihan raya lalu.

Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger