MASALAH KONTRAKTOR ALI BABA DI SARAWAK: DI MANAKAH PERANAN PEJABAT DAERAH DAN KERAJAAN?


Isu kontraktor Ali Baba bukanlah perkara baharu bahkan ianya menjadi duri dalam daging kepada Yang Berhormat kawasan dan kerajaan. Disebabkan kontraktor Ali Baba itulah banyak kerajaan di kawasan pedalaman dan luar bandar tergendala bahkan ada yang gagal disiapkan pada waktu yang ditetapkan.

Seolah-olah kerajaan tidak belajar daripada kesilapan lalu dan ambil sikap tutup mata, peranan kontraktor Ali Baba semakin berleluasa. Kesannya, banyak projek kerajaan yang mempunyai nilai untuk rakyat diperlekehkan kontraktor Ali Baba tetapi tiada sebarang tindakan susulan ke atas mereka.

Ini diluahkan ADUN Semop, YB Abdullah Saidol dalam perbahasannya di persidangan DUN Sarawak yang meminta kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas kontraktor Ali Baba ini yang menggagalkan projek pembangunan di kawasannya.

Melabelkan kontraktor Ali Baba ini sebagai kontraktor ‘tiada jiwa dan akal’ dan hanya mementingkan keuntungan, Abdullah kecewa dengan kontraktor sebegini.

Beliau merujuk kepada kegagalan pelaksanaan projek bekalan air dan elektrik dibina di Pulau Bruit yang terletak di Daerah Daro dalam kawasan DUN Semop yang jauh ketinggalan proses perkembangannya daripada jadual asal.

Kontraktor seperti ini tiada langsung dalam jiwa dan akal mereka betapa pentingnya projek kemudahan asas ini kepada penduduk pedalaman yang ingin merasai pembangunan yang diberikan kerajaan.

Persoalan sekarang, di manakah pemantauan di pihak kerajaan khususnya Pejabat Daerah yang dipertanggungjawabkan dalam menghadiahkan projek kepada kontraktor yang dilantik selepas berjaya dalam bidaan?

Apakah tindakan kerajaan dalam menangani permasalahan ini seolah-olah hanya tutup mata tanpa sebarang hukuman ke atas kontraktor Ali Baba ini.

“Mungkin kerana kontraktor-kontraktor yang dilantik sebenarnya kontraktor-kontraktor Ali Baba. Lesen-lesen mereka dilacurkan dan dikawal oleh seorang kontraktor.

Lebih memburukkan keadaan, kerajaan masih tetap memberikan tender kepada kontraktor ini biarpun prestasi kontraktor yang dilantik itu mempunyai rekod buruk.

Biarpun kontrak atau tender itu dibuat secara terbuka, tetapi disebabkan kesemua kontraktor ini dipegang oleh hanya seorang maka mana-mana kontraktor yang berjaya itu pasti akan melaksanakannya secara Ali Baba.  

Secara tidak langsung kontraktor Ali Baba ini boleh dikatakan sebagai pengkhianat kepada rakyat kerana gagal menyiapkan projek rakyat dalam usaha murni kerajaan memakmurkan kawasan luar bandar dan pedalaman.

Lebih memburukkan keadaan, projek pembangunan yang diagihkan kerajaan pada tahun lepas merupakan projek terakhir yang perlu disiapkan memandangkan Rancangan Malaysia Ke-10 akan tamat tahun depan.


Maka, tidak hairanlah projek pembangkang DAP seperti Impian Sarawak yang hanya bermodalkan sebanyak kurang RM10,000 lebih berjaya menarik perhatian penduduk berbanding projek kerajaan BN yang bernilai jutaan ringgit yang hanya memberi keuntungan kepada kontraktor Ali Baba.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger