HANYA AMARAN KERAS DALAM ISU KENAIKAN HARGA MAKANAN DI KANTIN HOSPITAL UMUM SARAWAK


Isu ini bukan baru bahkan sudah berlarutan sejak beberapa bulan selepas wartawan Utusan Borneo menyiarkan rungutan rakyat di akhbar tersebut pada tahun lepas.

Difahamkan pihak pengendali telah diberi amaran keras oleh Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) sebelum ini agar menurunkan harga makanan sedia ada, tetapi amaran hanya tinggal amaran.

Malah, isu kenaikan harga makanan itu masih tidak selesai meskipun puluhan aduan dibuat oleh pelbagai pihak, namun pengendali kantin HUS didakwa masih berdegil, malah bertindak semakin melampau dengan mengenakan harga makanan berlipat kali ganda kepada pelanggannya.

Kakitangan HUS sudah kerap kali membuat laporan berhubung perkara itu kepada pengarah hospital, tetapi tiada sebarang tindakan dilakukan melainkan hanya amaran keras.

Bagaimanapun, sehingga kini, amaran serta peringatan yang dikeluarkan pengarah kepada mereka ibarat ‘mencurah garam ke dalam laut.

“Kami sudah tidak tahan, sebab itulah kami ingin perkara ini diberi perhatian sekali lagi dan diambil tindakan lebih tegas seperti memberhentikan kontrak pengendali sedia ada dan memberikannya kepada orang lain yang lebih prihatin dan layak.

Jelasnya lagi, pengendali kantin juga seperti tidak mengendahkan amaran yang pernah dikeluarkan kepada mereka dan menetapkan kadar harga makanan yang tidak fleksibel di kantin itu.

Sepatutnya, harga makanan yang dijual di kantin hospital tidak mahal berbanding di luar kerana ia menggunakan tender dan sebut harga.

Selain kakitangan HUS, orang ramai turut merungut mengenai tindakan pengusaha kantin mengenakan harga makanan yang tinggi.

“Saya ke sini (HUS) kerana melawat anak saya yang baharu melahirkan bayi semalam (kelmarin) dan ini bukan pertama kali saya makan di kantin ini.

“Harga yang dikenakan untuk lauk yang saya ambil seperti nasi, sejenis sayur dan sepotong ayam, ia mencecah RM6, belum termasuk bayaran minuman.

“Pada mulanya, saya agak terkejut, tapi apa boleh buat, saya terpaksa membayar harga makanan itu,” jelasnya.
Pelanggan itu turut melahirkan harapan agar pihak atasan bertindak segera bagi membendung masalah itu dari terus menular dalam kalangan pelanggan dan kakitangan HUS yang sememangnya menjadikan kantin sebagai lokasi makan wajib mereka di HUS.


Difahamkan, kantin yang terletak di kawasan pekarangan tempat letak kereta HUS itu dikendalikan oleh Kelab Perubatan Sarawak.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger