SEHINGGA JAM 12.00 TENGAH HARI SEBANYAK 54 PERATUS PENGUNDI PRK #PengkalanKubor KELUAR MENGUNDI


Peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Pengkalan Kubor adalah yang tertinggi dan terbaik dalam tempoh empat jam pertama berbanding semua PRK yang diadakan selepas PRU Ke-13.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata peratusan keluar mengundi sehingga pukul 12.00 tengah hari adalah lebih daripada separuh jumlah pengundi biasa iaitu sebanyak 54 peratus atau 12,945 daripada 23,929 orang.

"Saya berpuas hati dengan peratusan sehingga tengah hari ini yang jika trend ini berterusan sehingga tamat tempoh (pukul 5 petang), SPR jangkakan peratusan akan melebihi 70 peratus seperti yang kita sasarkan," katanya kepada pemberita ketika melawat pusat pengundian di Maktab Rendah Sains Mara Tumpat (MRSM) di sini hari ini.

Katanya sasaran SPR ialah hanya 10 peratus keluar mengundi pada setiap jam tetapi jumlah yang keluar mengundi kini kira-kira 15 peratus bagi setiap jam dan ini sangat positif.

Beliau bagaimanapun menjangkakan peratusan keluar mengundi itu akan sedikit menurun pada sebelah petang berikutan ramalan cuaca berlakunya hujan di Pengkalan Kubor dan sekitarnya.

Mengenai laporan polis sepanjang kempen PRK itu, Abdul Aziz berkata SPR menerima tujuh laporan polis itu iaitu empat berkaitan pemasangan bendera dan bakinya adalah mengenai poster dan ceramah.

Sementara itu Pegawai Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) PRK DUN Pengkalan Kubor ACP Dahlan Mohd Noor berkata keadaan PRK sehingga tengah hari berjalan lancar, cuma berlaku beberapa kekecohan kecil akibat provokasi antara penyokong parti.

"Tetapi semuanya dapat dikawal polis dan laluan trafik perlahan berikutan kehadiran penyokong kedua-dua parti yang berada di bahu-bahu jalan untuk merayu undi," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, peratusan keluar mengundi dalam kawasan DUN Pengkalan Kubor adalah 79 peratus.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary.


PRK itu diadakan ekoran kematian wakil rakyat daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas. Pada PRU ke-13 tahun lalu, Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan calon bebas, Izat Bukhary dengan majoriti 1,736 undi.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger