SARANAN SABAH SARAWAK KELUAR MALAYSIA IDEA BASI DAN KUNO


KUCHING - Saranan "Sabah Sarawak keluar Malaysia" sebenarnya sudah lama wujud, malah sejak awal pembentukan Persekutuan Malaysia lagi.

Di sebalik polemik yang berlaku, tarikh keramat, 16 September, 1963 yang menyaksikan pembentukan Persekutuan Malaysia sudah terpahat kemas dalam lipatan sejarah negara.
   
Rakyat rata-rata sudah bersuara mahukan sebuah negara maju dan makmur dengan wawasan jelas.
   
Justeru apabila muncul semula isu keluar Malaysia ini, Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem turut melahirkan rasa kecewa.
   
Ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia di Miri pada 16 September lepas, beliau bukan sahaja menyelar saranan pihak tertentu itu tetapi menyifatkannya sebagai idea bodoh.

Katanya, selepas 51 tahun penubuhan Malaysia, adalah malang apabila masih ada pihak yang cuba membawa cadangan itu.
   
Menurut Adenan, mereka yang menampilkan idea itu adalah daripada kumpulan minoriti dan idea itu ditolak majoriti.
   
Sementara itu, pada majlis yang sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semangat serta kegigihan yang ditunjuk penduduk Sarawak dan Sabah menampakkan bahawa mereka bangga serta berpuas hati dengan langkah bijak pemimpin terdahulu yang memilih untuk merdeka bersama Malaysia.
   
"Kini kita tidak akan berpatah balik, kita akan pertahankan kedaulatan Sabah dan Sarawak di dalam Malaysia, dan saya sebagai Perdana Menteri, menjadi tanggungjawab saya, jika ada yang cuba menggugat keselamatan, kedaulatan negara, bersedialah untuk berhadapan dengan tindakan kekuatan undang-undang negara," katanya.
   
Komplot pemisah
   
Di Sabah, isu berkaitan cubaan membawa keluar Sabah dari Malaysia paling ketara mencuri tumpuan ramai sekitar 1990-1991.
   
Ini ekoran penahanan tujuh aktivis serta ahli politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (kini sudah dimansuhkan) kerana terlibat dalam komplot pemisahan itu.
   
Isu mengenainya dari semasa ke semasa terus disentuh, dibangkitkan atau diperkatakan secara tidak langsung.

Ia lebih ketara lagi setiap menjelang musim pilihan raya, dimanipulasi dalam setiap ceramah, syarahan pidato oleh mereka yang bertujuan meraih sokongan.
   
Pelbagai cara
   
Di Sarawak pula nadanya agak berbeza sedikit kerana saranan "Keluar Dari Malaysia" ini tidak dilaungkan secara jelas.
   
Bagaimanapun, idea seperti "Sarawak for Sarawakian" secara tidak langsung menyeru penduduk tempatan bangkit bagi mengemukakan pelbagai tuntutan daripada Kerajaan Persekutuan di mana idea yang mencabar pembentukan Malaysia dijadikan modal tuntutan.
   
Di alam siber pula, kumpulan penggerak idea itu mengambil peluang daripada ledakan teknologi maklumat yang memperkenalkan pelbagai laman sosial termasuk Whatsapp untuk mengetengahkan idea ini.
   
Paling ketara kewujudan Pertubuhan Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) dan United Borneo Front (UBF) yang banyak mengemukakan pelbagai hujah bagi menyokong idea bahawa perjanjian berhubung pembentukan Malaysia pada tahun 1963 tidak sah.

Ia juga pada dasarnya menolak dakwaan bahawa rakyat Sarawak ketika itu bersetuju dengan projek pembentukan Malaysia.
   
Tiga perkara utama
   
Adenan dalam ucapannya di Miri berkata rakyat Sarawak telah diajukan tiga perkara sebelum pembentukan Persekutuan Malaysia.
   
Perkara-perkara itu ialah pertama, sama ada mereka mahu merdeka dan bebas daripada cengkaman penjajah; kedua, sama ada rakyat Sarawak daripada pelbagai kaum, agama serta budaya mahu bersama Tanah Melayu, Sabah (North Borneo ketika itu), Brunei dan Singapura membentuk negara baru; dan ketiga, sama ada mahu membentuk Malaysia dan diberikan syarat-syarat tertentu.
   
Menurut beliau, rakyat Sarawak ketika itu memberikan jawapan "YA" kepada ketiga-tiga perkara berkenaan.
   
Sokongan yang diberi itu perlu dihormati memandangkan selepas pembentukan Malaysia, Sarawak memperoleh pelbagai manfaat dari segi ekonomi, sosial dan politik, jelas beliau lagi.
   
Cinta kepada negara
   
Empat hari selepas sambutan Hari Malaysia, ketika perlawanan bola sepak persahabatan antara Harimau Malaya dan Kemboja (Harimau Malaya menang 4-1), aksi hebat Joseph Kalang Tie selepas menjaringkan gol pertama negara menjadi topik perbualan hangat.
   
Beliau dilihat mengucup bendera Malaysia, Jalur Gemilang yang terdapat di jersi beliau selepas menjaringkan gol itu.
   
Pemain berusia 27 tahun itu menyifatkan aksi spontan beliau itu sebagai terjemahan rasa cinta kepada negara dan hadiah Hari Malaysia.
   
Ketika ditanya mengenai saranan Sarawak keluar dari Malaysia, pemain kelahiran Long Ikang, Baram, Miri yang menjadi ketua pasukan skuad Ngap Sayot bagi saingan Liga Super 2014 itu berpendapat ia adalah pandangan peribadi masing-masing.
   
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa keamanan serta keharmonian yang sudah dicapai seharusnya dikekalkan.
   
Sementara itu, mantan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Alli Kawi dalam satu pertemuan dengan Bernama baru-baru ini berkata, isu keluar dari Malaysia sepatutnya tidak ditimbulkan lagi.
   
Malahan, kata beliau, generasi muda seharusnya perlu menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan sehingga membawa kepada pembentukan Malaysia yang berjaya.
   
Katanya, rakyat Sarawak terutama generasi muda harus melihat bagaimana kemerdekaan yang dicapai berjaya membentuk Sarawak sebagai sebuah negeri yang berbeza dan rakyat yang mempunyai peluang lebih baik berbanding ketika di bawah penjajahan British.
   
Nasihat untuk generasi muda
   
Alli, 80, yang juga pengantara ketika Perjanjian Sri Aman 21 Okt, 1973 antara kerajaan negeri dengan Partai Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) bagi menamatkan insurgensi di Sarawak berkata bukan mudah untuk memperoleh kemerdekaan.
   
Beliau lalu menasihat generasi muda supaya tidak memperjudikan keamanan yang dicapai.
   
"Biarpun selepas kejayaan membentuk Malaysia pada 19 Sept, 1963, pasukan keselamatan di negeri ini seperti polis dan tentera berterusan menjaga keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di Sarawak daripada ancaman komunis", kata Alli.
   
Bagi Sarjan (B) Dihoi Nyawen, 58, anak tempatan yang berasal dari Bau yang pernah menabur khidmat di Semenanjung serta di negeri kelahirannya, Sarawak pula ketika dikemukakan isu itu memberi pandangan yang sama.
   
Beliau menekankan bahawa isu keluar Malaysia seharusnya tidak ditimbulkan lagi dan berharap rakyat bijak menilai baik buruk sesuatu perkara.
   
"Saya pernah berkhidmat di Semenanjung ketika negara menghadapi ancaman komunis. Ada juga tentera dari sana (Semenanjung) menabur bakti di Sarawak.
   
"Kamu lihat sejak kejayaan pembentukan Malaysia, Semenanjung dan Sarawak khususnya sudah banyak membantu antara satu sama lain. Cadangan supaya keluar tidak patut timbul, sebaliknya selepas 51 tahun hubungan kita sepatutnya lebih erat", katanya.
   
Menurut Dihoi, atas rasa cinta kepada negara, beliau juga menggalakkan dua orang anaknya menyertai perkhidmatan tentera.
   
Seorang daripadanya sedang berkhidmat di Johor manakala seorang lagi di Sampadi, Sarawak.
   

"Ini sumbangan kecil saya kepada negara apabila menggalakkan anak untuk berkhidmat dan seterusnya menjaga kedaulatan negara", katanya yang pernah menyertai operasi bersama mendiang Datuk Temenggung Kanang Langkau ketika Ops Jara Aman di Julau pada 1983. - Bernama
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger