MB SELANGOR: SULTAN SELANGOR DUKACITA SIKAP PEMIMPIN PKR DAN DAP


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dukacita terhadap tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu nama sahaja sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, tindakan kedua-dua parti itu disifatkan telah mengingkari titah Sultan Sharafuddin supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon menteri besar.
    
"Dimaklumkan bahawa D.Y.M.M Sultan Selangor telah menerima senarai nama calon menteri besar Selangor yang baharu daripada ketiga-tiga parti dalam PR seperti mana titah D.Y.M.M Sultan Selangor dalam surat bertarikh 27 Ogos 2014.

"Namun demikian hanya parti PAS yang akur dengan titah D.Y.M.M Sultan Selangor dengan menyenaraikan tiga nama calon Menteri Besar Selangor manakala DAP dan PKR masing-masing telah mengemukakan satu nama yang sama iaitu (Presiden PKR) Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Tindakan kedua-dua parti itu bukan sahaja menggambarkan kebiadapan mereka terhadap institusi beraja tetapi juga merupakan perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor.

Keadaan ini sangat mendukacitakan dan sewajarnya tidak berlaku dalam negara yang mengamalkan demokrasi.


Titah Sultan Selangor bagi mengemukakan senarai lebih daripada dua calon Menteri Besar Selangor adalah satu amalan atau konvensi yang dilaksanakan baginda bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal Menteri Besar Selangor dengan melihat bukan sahaja sokongan majoriti ADUN malah dari segi kemahiran, pengalaman, integriti dan kebolehan seseorang ADUN tersebut.
    
Ciri-ciri itu amat penting bagi menjamin perjalanan pentadbiran negeri Selangor agar berjalan dengan lancar dan baik bagi keharmonian negeri berkenaan, kata Mohamad Munir.
    
"D.Y.M.M Sultan Selangor berkeyakinan bahawa terdapat ramai calon dalam PR yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi seperti yang disebutkan bagi menerajui kerajaan Selangor," katanya.

Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor akan meneliti senarai nama calon yang telah diterima dengan mengambil kira segala aspek dalam menilai calon sebelum membuat sebarang keputusan.

"Dalam masa yang sama memandangkan kuasa melantik Menteri Besar Selangor terletak pada budi bicara D.Y.M.M Sultan Selangor, maka baginda akan meneliti nama-nama ADUN yang lain daripada PR yang berkelayakan dan pada fikiran D.Y.M.M Sultan Selangor mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Negeri," katanya.

Pada 27 Ogos lepas, Sultan Selangor bertitah agar parti-parti dalam PR iaitu DAP, PKR dan Pas mengemukakan lebih daripada dua nama sebagai calon menteri besar yang baharu.

Baginda bertitah demikian selepas menangguhkan untuk menerima peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sehingga proses pelantikan menteri besar baharu selesai. 

Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger