KRISIS MB SELANGOR BERPUNCA DARIPADA ANWAR IBRAHIM


Beberapa IPTA telah mengadakan kajian awal berhubung Krisis MB Selangor yang telah melanda Kerajaan Negeri Selangor dan rakyatnya sehingga mengheret sama Sultan Selangor dalam krisis ini.

Kebanyakan respondan yang ditemui bersetuju mengatakan Krisis MB Selangor itu adalah berpunca daripada angkara Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim.

Penganalisis Politik Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata hasil kaji selidik pihaknya di 20 kawasan DUN Selangor, seramai 2,138 responden berpendapat pilihan raya kecil DUN Kajang pada Mac lepas, yang sengaja dicetuskan PKR, adalah punca berlakunya krisis itu.

"Melalui kaji selidik responden di beberapa kawasan DUN termasuk di Semenyih, Damansara dan Sekinchan, sebanyak 44.5 peratus bersetuju bahawa Anwar mewujudkan satu keadaan iaitu menukar menteri besar Selangor melalui pilihan raya kecil Kajang atau 'Langkah Kajang'.

"Bermula dengan Langkah Kajang, beliau digambarkan mempunyai kecenderungan untuk melebarkan kuasanya dengan meminta Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dengan cukup mudah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum 'Kemelut Politik Selangor: Angkara Siapa?' anjuran Majlis Perundingan Melayu.

Ismail yang juga pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, berkata selain Anwar, responden turut menyalahkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kemelut politik itu.

Beliau berkata rakyat Selangor berpendapat tindakan Abdul Hadi, yang sentiasa berdolak-dalik dalam membuat keputusan berhubung calon menteri besar baharu, menyebabkan kemelut tersebut berpanjangan.

"Hasil kaji selidik menunjukkan sebanyak 17.9 peratus reponden mengakui tindakan Abdul Hadi yang lemah dalam membuat keputusan menyebabkan krisis ini berlaku, manakala 15.2 peratus bersetuju Presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail patut dipersalahkan sementara selebihnya berpendapat Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR) sebagai punca," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemelut pertukaran menteri besar Selangor, Ismail berpendapat percaturan yang dibuat PKR untuk menukar menteri besar pada ketika ini adalah tidak tepat.

Beliau berkata sekiranya Abdul Khalid dianggap lemah oleh PKR dalam menerajui Selangor, Abdul Khalid sepatutnya tidak dicalonkan menduduki kerusi menteri besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas.

"PKR sendiri mendakwa Abdul Khalid lemah. Kalau Abdul Khalid lemah, kenapa calonkan beliau sebagai menteri dan Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri) Pelabuhan Klang.

"Apa yang saya lihat, kaedah yang digunakan Anwar dan PKR untuk menukar menteri besar pada waktu ini adalah tindakan yang tidak tepat," katanya.


Keputusan kajian itu tiada suatu yang mustahil memandangkan dari awal permulaan krisis ini lagi (Langkah Kajang) secara jelas penglibatan langsung Anwar Ibrahim yang mahu dirinya dilantik sebagai MB Selangor selepas cita-citanya mahu menjadi Perdana Menteri musnah dalam PRU-13.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger