ANAK SELANGOR TOLAK PENCALONAN WAN AZIZAH


Jika Pakatan Rakyat menggunapakai nama 'rakyat' dalam agenda politik, mereka seharusnya mendengar denyutan rakyat dalam membuat keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat dan bukannya atas kepentingan politik individu tertentu.

Atas kesedaran ini, seramai lapan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai anak jati Selangor, menolak keputusan Pakatan Rakyat yang mencalonkan Presiden PKR, Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar yang baharu.

Mereka yang menggelar diri sebagai 'Penyokong Abdul Khalid' mengadakan perhimpunan di pintu utama Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, kira-kira jam 11.00 pagi dan menganggap Wan Azizah tidak layak mengisi jawatan tertinggi negeri itu.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku di Selangor dan tercabar apabila mereka mahu melantik individu yang bukan kelahiran negeri ini sebagai menteri besar,” kata wakil kumpulan itu, Mohamad Kamal Hasbi yang ditemui pada perhimpunan itu.

Menurutnya, kehadiran mereka tidak mewakili mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi politik.

“Kami rasa tercabar apabila Sultan kami dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri dipermainkan oleh pihak berkenaan yang sewenang-wenangnya mahu tukar Menteri Besar Selangor yang sedia ada kepada orang luar,” katanya.

Meskipun lahir dari suara mereka yang kecil, beliau akui tindakan mereka adalah mewakili sebahagian besar rakyat jati Selangor.

Ketika perhimpunan, kumpulan itu membawa kain rentang dan sepanduk bertulis, ‘Kami Mahu Anak Selangor’, ‘MB Selangor Untuk Anak Melayu Selangor’, Perkara 53 (3) Menjelaskan MB Selangor Mestilah Warganegara Secara Kuat Kuasa Undang-undang dan Bukan Bernombor IC 71”.

Menurut Mohamad Kamal, meskipun bilangan yang berkumpul tidak ramai, beliau yakin mampu memberi kesan kepada pengundi muda yang lain.

“Mungkin kami dilihat tiada fungsi tetapi kami ini (pengundi muda) yang paling ramai di Selangor. Tak mustahil pada pilihan raya akan datang boleh mengubah sokongan,” katanya.

Selain itu katanya, sebagai anak jati Selangor, dia beranggapan tidak ada sebab kenapa menteri besar sedia ada perlu diganti.

Kumpulan itu turut melaungkan ‘Hidup Selangor!’ beberapa kali sebelum beredar dari perkarangan bangunan berkenaan.

Dengan situasi terbaru itu, jelas rakyat Selangor sendiri menolak kehadiran pemimpin luar dalam memerintah Selangor.

Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger