KEKALAHAN KHALID IBRAHIM GARA-GARA BEKALAN ELEKTRIK TERPUTUS


Sejak Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim mengumumkan mahu bertanding dalam jawatan Timbalan Presiden PKR telah timbul desas-desus ada pihak yang mahu ‘menamatkan’ politiknya yang tidak senang dengan keputusan mahu mencabar Azmin Ali.

Untuk menamatkan karier politik Khalid Ibrahim, maka beliau harus ditewaskan dalam Pemilihan PKR di peringkat Cabang dahulu.

Atas sebab itu, maka wujud pertandingan dua penjuru antara penyandang, Abdul Khalid Ibrahim dan bekas Ahli Parlimen Kapar, S. Manickavasagam.

Selepas beberapa kontroversi akhirnya S. Manickavasagam berjaya menewaskan Khalid Ibrahim yang diadakan Sabtu lepas.

Manickavasagam memperoleh 701 undi, menewaskan Abdul Khalid yang mendapat 515 undi.

Keputusan tidak rasmi itu diperoleh selepas proses pengiraan undi yang dimulakan kira-kira pukul 1.00 pagi dan tamat kira-kira pukul 5.00 pagi ini di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya, iaitu suatu rekod dalam pengundian biarpun undinya tidak sampai 2,000 undi.

Bagaimanapun, bagi jawatan Timbalan Presiden, Abdul Khalid mendapat 517 undi, (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali mendapat 440 undi manakala Datuk Saifuddin Nasution Ismail 50 undi.

Difahamkan, undi untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dikira terlebih dahulu diikuti dengan jawatan ketua cabang.

Bagaimanapun, selepas Abdul Khalid 'menang' bagi jawatan Timbalan Presiden PKR, berlaku insiden bekalan elektrik terputus menyebabkan pengiraan undi bagi ketua cabang terpaksa ditangguhkan.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11.30 malam dan bekalan elektrik hanya pulih dua jam kemudian sebelum proses pengiraan undi diteruskan.

Dalam pada itu, sumber berkata, kekalahan Abdul Khalid itu dirancang oleh pihak tertentu bagi mengelak Menteri Besar itu memenangi kedua-dua jawatan.

Menurut sumber, ini dapat dilihat apabila berlakunya perkara-perkara yang meragukan semasa proses pengiraan undi malam tadi terutama kejadian terputus bekalan elektrik.


Difahamkan, Abdul Khalid akan membuat bantahan terhadap keputusan pemilihan yang belum diumumkan secara rasmi itu ekoran pelbagai insiden 'mencurigakan' itu.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger