KRONOLOGI MAHKAMAH RAYUAN JATUHKAN HUKUMAN KE ATAS @anwaribrahim


Sebaik sahaja Mahkamah Rayuan memutuskan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, keadaan di dalam mahkamah mulai kecoh.

Anwar dan anaknya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah serta penyokong-penyokongnya mula membuat bising sehingga ditegur oleh polis mahkamah.

Keadaan menjadi lebih panas apabila Hakim Datuk Balia Yusof Wahi tetap meminta supaya pihak pembelaan dan pendakwaan mengemukakan rayuan dan hujah masing-masing sebelum hukuman dijatuhkan (mitigasi).

Peguam, Karpal Singh yang mewakili Anwar sebelum itu memohon agar mitigasi dan jatuh hukuman itu ditangguhkan sehingga Jumaat depan atas alasan ingin menyediakan laporan kesihatan Anwar.

"Pada Isnin ini, Anwar perlu hadir perasmian pembukaan mesyuarat penggal pertama Sidang Parlimen yang akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong. Selasa pula, akan bermula perbahasan titah Seri Paduka. Penyediaan laporan itu juga akan mengambil masa," jawab peguam terbabit.

Penangguhan tersebut bagaimanapun dibantah oleh peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan terbabit dengan menyatakan, pihaknya juga tidak mempunyai masa untuk menyediakan hujah namun bersedia untuk berbuat demikian.

Ketika ini, Anwar mencelah dengan berkata "Tak payah, saya nak sekarang, sekarang boleh juga" dan disambut laungan "Allahuakhbar" oleh penyokongnya dalam mahkamah.

Selepas diberikan masa sejam untuk pihak-pihak menyediakan hujah berkaitan mitigasi, Karpal sekali lagi berusaha mendapatkan penangguhan dengan menyatakan Anwar telah memberikan arahan untuk mengemukakan laporan perubatan bagi membolehkan rayuan yang efisien dibuat.

HAKIM: Jadi, awak tidak mahu membuat mitigasi? Kamu mahukan penangguhan. Atau awak tidak berupaya untuk membuat mitigasi pada masa ini.

KARPAL: Kami tidak mengetepikan hak kami untuk membuat mitigasi. Adakah Yang Arif menyatakan dalam kes ini, laporan perubatan tidak diperlukan? Bolehkah saya mohon supaya direkodkan bahawa mahkamah ini berpendapat bahawa laporan perubatan tidak diperlukan?

Pada ketika ini, galeri awam menjadi kecoh dengan pelbagai komen terhadap mahkamah.

Walaupun peguam tersebut tetap berkeras, Hakim Balia menyatakan, ketiadaan laporan perubatan tidak akan menghalang responden untuk membuat rayuan dan seterusnya meminta Muhammad Shafee memulakan hujahan sebelum hukuman dijatuhkan.

Muhammad Shafee dalam hujahnya memohon mahkamah mengambil kira bahawa mangsa, Mohd. Saiful Bukhari Azlan ketika itu masih muda, berusia 23 tahun dan merupakan bekas pekerja Anwar yang telah diambil kesempatannya di atas kepercayaannya pada majikan.

Menurutnya, walaupun telah melakukan kesalahan terhadap Mohd. Saiful Bukhari, Anwar tidak pernah memohon maaf daripada mangsa sebaliknya menuduh pemuda itu sebagai seorang penipu serta mencemarkan nama baik pemuda tersebut.

Tidak cukup dengan itu, Muhammad Shafee menyatakan, kesalahan tersebut itu telah dirancang terlebih dahulu.

"Perbuatan itu bukan sahaja tidak bertimbang rasa, cuai dan berbahaya kerana tidak mengambil kira langsung mengenai risiko penyakit kerana tiada kondom digunakan," katanya yang disorak oleh pengikut Anwar di galeri awam.

Keadaan yang kecoh itu makin lama mencabar kesabaran panel tiga hakim itu menyebabkan Hakim Balia mengeluarkan amaran bahawa mana-mana individu yang membuat bising akan dibawa keluar mahkamah.

Teguran yang turut memohon agar pengikut Anwar menghormati mahkamah telah menyebabkan komen seperti you don't deserve it! (kamu tidak layak menerimanya) dikeluarkan oleh pengikut Ketua Pembangkang itu malahan ada yang keluar dari mahkamah kerana enggan menghormati institusi kehakiman itu.

Bagai mencurah air ke daun keladi, amaran tersebut tidak diendahkan menyebabkan Hakim Datuk Aziah Ali pula mengeluarkan amaran.

"Hakim nak marah-marah saja, mana boleh," sindir Anwar.

Muhammad Shafee kemudian menyatakan, Anwar pernah dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah disabit bersalah atas tuduhan salah guna kuasa pada 1999 bawah Seksyen 2(1) Ordinan 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970.

Selepas kedua-dua pihak berhujah, panel terbabit kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada Anwar yang disambut dengan kenyataan: "Jelas ini merupakan satu lawak dalam penghakiman. Saya fikir anda semua akan lebih berani."

Pada ketika itu, Nurul Izzah dan ibunya Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilihat menangis manakala pengikut-pengikut yang lain turut membuat kecoh.

Mereka yang berada di dalam mahkamah juga dapat mendengar sorakan kuat pengikut Anwar di luar mahkamah.


#kreadit Utusan Malaysia
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger