ANALISIS #PRKBalingian KEMENANGAN BESAR BN INSPIRASI PRN SARAWAK KE-11


Cabaran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu menyaksikan BN Sarawak memperoleh majoriti melebihi 6,000 undi pada PRK N.51 Balingian akhirnya terlaksana dengan komitmen petugas-petugas kempen BN sama ada di peringkat parti mahupun petugas sukarelawan.

BN memperoleh 8,194 undi berbanding PKR yang hanya mendapat 1,283 undi dan 146 undi ditolak menjadikan BN menang dengan majoriti 6,911 undi melebihi majoriti 5,154 undi terdahulu yang pernah dicapai sebelum ini.

Kemenangan BN semalam merupakan suatu kemenangan manis buat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem yang genap sebulan memegang jawatan Ketua Menteri selepas mengambilalih jawatan itu daripada Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Ujian pertama Adenan sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sarawak telah berjaya dilalui dengan jayanya dan ini sangat memberi peransang kepada BN Sarawak untuk mencapai kejayaan yang lebih banyak pada masa akan datang terutama persiapan menghadapi PRN Sarawak Ke-11 kelak.

Bagaimanapun kejayaan ini bukan suatu yang mudah tanpa bantuan banyak pihak terutama petugas kempen yang banyak membantu mempengaruhi pengundi untuk terus menyokong BN biarpun mendapat ancaman besar daripada PKR dan Pakatan Pembangkang.

Apakah dengan ketidakhadiran beberapa pemimpin kanan PKR yang tidak dibenarkan memasuki Sarawak mempengaruhi keputusan PRK N.51 Balingian?

Jawapan ini sedikit mempengaruhi biarpun secara total pengundi memilih calon BN disebabkan komitmen berterusan pemimpin BN dan kerajaan dalam memajukan Sarawak dan khususnys DUN Balingian.

Sebaliknya, penguatkuasaan imigresen ke atas pemimpin kanan PKR hanya sebagai amaran bahawa kerajaan Sarawak komited untuk menjaga keharmonian kaum yang kini dilihat sedang pincang selepas PRN Sarawak Ke-10 ekoran dipengaruhi pemimpin politik pembangkang.

Begitupun tidak semua pemimpin PKR mahupun Pakatan Pembangkang yang tidak dibenarkan memasuki Sarawak. Kehadiran Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor serta beberapa pemimpin PAS dan DAP dari Semenanjung menunjukkan kerajaan Sarawak masih berperikemanusian.

Keputusan PRK N.51 Balingian ini juga menunjukkan sokongan pengundi Cina telah mula beralih kepada BN biarpun mendapat tentangan hebat daripada fitnah pemimpin Pakatan Pembangkang semasa kempen di Boulevard City, Mukah.

Lebih memberansangkan apabila pengundi Bumiputera Sarawak terus menerus memberikan sokongan terhadap BN biarpun PKR meletakkan calon Melanau Islam pada PRK DUN Balingian ini.

Kelebihan calon BN yang merupakan anak tempatan dan kerjayanya sebelum ini yang banyak berlatarbelakangkan membantu rakyat menjadi teras mengapa pengundi memilih Yussibnosh Balo pada PRK DUN Balingian.

Di sebalik kemenangan besar BN ini kelemahan yang paling ketara yang boleh dilihat di sepanjang kempen PRK DUN Balingian ini ialah sikap ahli-ahli BN Mukah yang kelihatan bersahaja tanpa sebarang idea bernas dalam berkempen.

Lebih memburukkan keadaan masalah di beberapa ranting yang tidak memasang poster calon BN pada saat akhir dan kelembapan ahli-ahli parti menggerakkan pengundi juga tiada satu pun poster berkaitan calon BN melainkan poster dan flyers yang dihasilkan pengamal media sosial yang proBN dalam membantu kempen di dalam media sosial.

Dalam pada itu, calon BN selepas ini perlu pergi ke beberapa ranting dan kampung bagi meredakan ketidakpuasan hati mereka di mana semasa kempen beliau tidak pergi melawat ekoran kelemahan BN Mukah mengatur perjalanan kempen calon BN.

Namun, kelemahan jentera BN Mukah berjaya dibantu oleh sukarelawan penyokong BN daripada segenap ceruk daerah, bahagian dan negeri dalam bersama membantu kemenangan BN dengan sasaran majoriti melebihi 6,000 undi.


Selepas ini BN Sarawak perlu melakukan bedah siasat ke atas beberapa kelemahan berkempen khususnya mengenai cara berkempen, cara menangani isu yang dibawa Pakatan Pembangkang dan yang penting bagaimana BN ‘menyerang’ Pakatan Pembangkang dalam pelbagai isu seperti mana yang sedang dilakukan Pakatan Pembangkang ketika ini semasa berceramah di kempen PRK DUN Balingian.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger