#PRKDUNKajang BEKAS ADUN KAJANG LEE CHIN CHEH PATUT DIKENAKAN DENDA RM1 JUTA


Peletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh secara mengejut dan sekali gus memberikan laluan kepada Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bertanding dalam PRK DUN Kajang yang dijadualkan bulan Mac ini suatu yang “membazirkan wang rakyat”.

SPR dalam pengumuman rasminya mengatakan kos PRK DUN Kajang ini dijangka bernilai RM1.6 juta di mana ia melibatkan wang rakyat.

Ternyata mainan politik PKR telah mengheret rakyat khususnya pengundi DUN Kajang dan membabitkan wang rakyat dalam melaksanakan PRK ini.

Ini bukan yang pertama bahkan pasti bukan yang terakhir dalam situasi seperti itu. Lebih menjengkelkan keadaan ialah semua ini dilakukan oleh PKR dan Anwar Ibrahim, suatu trek rekod yang teruk.

Bagi mengatasi masalah seperti ini, SPR seharusnya mengetatkan undang-undang dalam pilihan raya supaya tidak sewenang-wenangnya meletak jawatan dan mengadakan pilihan raya.

Bekas ADUN atau Parlimen yang bermain wayang ini harus dikenakan hukuman berat seperti tidak dibenarkan bertanding pada pilihan raya di masa akan datang dan didenda sebanyak RM1 juta bagi mengelak kejadian yang sama berulang.

Seseorang wakil rakyat yang mengosongkan kerusinya tanpa sebab munasabah, perlu didenda sekurang-kurangnya RM1 juta, diwajibkan menanggung kos untuk mengadakan pilihan raya kecil dan disekat daripada memegang jawatan awam seumur hidup, kata penganalisis politik Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Beliau berkata sejajar dengan itu, undang-undang negeri dan persekutuan perlu dipinda untuk mengenakan hukuman lebih berat bagi mencegah penyalahgunaan proses demokrasi dan pembaziran wang pembayar cukai.

Hukuman sedia ada yang memperuntukkan larangan daripada bertanding dalam mana-mana pilihan raya selama lima tahun adalah tidak memadai dan hukuman lebih berat perlu diperkenalkan bagi mencegah perbuatan itu, katanya kepada Bernama hari ini.

Dekan Pusat Pengajian Kajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia itu berkata demikian apabila diminta mengulas peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh pada 27 Januari yang memerlukan satu pilihan raya kecil diadakan.

Tindakan wakil rakyat daripada PKR itu dikritik hebat oleh banyak pihak, termasuk ahli parti pembangkang, yang menyifatkan perbuatannya sebagai mengkhianati mandat rakyat.

"Peruntukan undang-undang persekutuan dan negeri sedia ada perlu dipinda, dengan menyenaraikan faktor seperti kesihatan, muflis, disabitkan kesalahan terhadap pertuduhan jenayah dan kesalahan berkaitan dengannya, sebagai sebab yang sah bagi membolehkan seseorang wakil rakyat meletak jawatan.

"Jika tidak, Ahli Parlimen atau Adun yang tidak bertanggungjawab ini patut dikenakan hukuman dalam bentuk penalti kewangan atau diharamkan daripada memegang jawatan awam seumur hidupnya kerana mereka telah menyalahgunakan dana awam dan mempermainkan amanah rakyat melalui tindakan mereka yang hanya mementingkan diri sendiri," kata ahli akademik itu.

Menurut beliau, mereka juga perlu diwajibkan menanggung kos mengadakan pilihan raya kecil kerana pilihan raya yang terpaksa diadakan secara mengejut boleh membebankan rakyat.

Sebagai contoh, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menyediakan kira-kira RM1.6 juta untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) Kajang.

Pada 2008, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail mengosongkan kerusi parlimen Permatang Pauh untuk memberi ruang kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi "Yang Berhormat", melalui pilihan raya kecil yang menelan belanja RM1.5 juta.

Tahun lepas, SPR membelanjakan kira-kira RM700,000 bagi mengadakan PRK Kuala Besut pada 24 Julai dan RM1.1 juta untuk PRK Sungai Limau pada 4 November.

Oleh kerana Kajang adalah kawasan bandar dan kadar sewa bagi semua kemudahanan adalah tinggi, maka pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menganggarkan PRK bagi kawasan N9 Kajang memerlukan perbelanjaan kira-kira RM1.6 juta.

Semalam, SPR menetapkan 23 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRK dewan undangan negeri Kajang, manakala penamaan calon ialah pada 11 Mac.

Azizuddin berkata undang-undang sedia ada dengan jelas tidak komprehensif kerana ia tidak memperuntukkan penalti terhadap wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab munasabah.

Menurut Perkara 68 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, seseorang ahli dewan undangan negeri boleh melepaskan kerusinya dengan menandatangani surat yang dialamatkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri itu.

Di bawah undang-undang sedia ada, seperti Perlembagaan Persekutuan (Perkara 48(6)) dan peruntukan dalam perlembagaan negeri (seperti Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri – Perkara 64(5)), seseorang yang meletak jawatan sebagai anggota Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, akan hilang kelayakan untuk menjadi anggota Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri sesebuah negeri selama lima tahun, mulai tarikh berkuat kuasanya peletakan jawatan beliau.

"Oleh itu, pindaan amat perlu dibuat terhadap perlembagaan persekutuan dan negeri untuk menghalang Ahli Parlimen atau Adun daripada meletak jawatan dengan sesuka hati atau tanpa sebab munasabah dan diwajibkan bertanggungjawab terhadap tindakan itu.

"Ini juga akan menjadikan sesebuah parti lebih berhati-hati dalam memilih calon pada masa akan datang," kata Azizuddin sambil menegaskan bahawa masanya sudah tiba bagi kerajaan untuk mengambil langkah sewajarnya dengan mencadangkan pindaan dibuat terhadap Akta Pilihan Raya 1958.

Ketika menyuarakan pandangan serupa, penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian mencadangkan agar SPR menyediakan garis panduan dengan menyebut isu kesihatan sebagai alasan yang membolehkan seseorang Ahli Parlimen atau Adun mengosongkan kerusinya.

"Seseorang Ahli Parlimen boleh mengosongkan kerusinya sekiranya mempunyai sijil daripada doktor yang menyatakan beliau menghidap penyakit atau masalah kesihatan yang kritikal seperti kanser, penyakit yang boleh membawa maut, lumpuh (hilang upaya untuk menggunakan kaki atau tangan) dan lain-lain," katanya.

Profesor Madya dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini juga mencadangkan agar mahkamah khas bagi membicarakan kes pilihan raya ditubuhkan untuk mengambil tindakan undang-undang, termasuk menjatuhi hukuman penjara, terhadap wakil rakyat terbabit sebagai pengajaran kepada orang lain.

"Saya berpendapat sudah tiba masanya perbincangan umum diadakan tentang isu ini dan kemudian cadangan mengenainya dikemukakan kepada SPR. Pihak SPR perlu mendapatkan maklum balas daripada orang ramai, sama ada majoriti daripada mereka bersetuju dengan pindaan yang dicadangkan ini," katanya.

Sivamurugan juga mencadangkan agar SPR menimbang untuk membenarkan calon yang memperoleh jumlah undi kedua terbanyak, menggantikan wakil rakyat yang meletak jawatan tanpa sebab yang sah.

Sementara itu, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Noor Abdullah menjelaskan bahawa Perkara 68 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor memberi hak kepada mana-mana pemegang jawatan awam untuk melepaskan jawatan lebih awal, tanpa perlu menyatakan sebab beliau berbuat demikian.

"Sebagai contoh, seseorang itu boleh dilantik menyandang sesuatu jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong, atau Sultan atau malah, Menteri Besar. Penyandang jawatan ini, boleh pada bila-bila masa, mengosongkan kerusinya. Itu adalah haknya dan beliau tidak boleh dipaksa berkhidmat hingga tamat tempohnya," kata beliau.

Beliau berkata kadang-kadang, seseorang Ahli Parlimen atau Adun meletak jawatan kerana sebab yang termasuk dalam Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan seperti berfikiran tidak waras, muflis dan jawatan yang disandangnya boleh meraih  keuntungan.

"Secara automatik, beliau hilang kelayakan dan perlu mengosongkan kerusinya sekiranya beliau disabitkan sesuatu kesalahan serta dihukum penjara selama tidak kurang setahun atau didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan atau secara sukarela mendapatkan taraf kerakyatan negara lain," katanya.

Ditanya sama ada Perlembagaan perlu dipinda untuk mewajibkan seseorang Ahli Parlimen atau Adun memberi sebab kenapa beliau meletak jawatan lebih awal, Mohd Noor berkata:

"Perkara ini melibatkan dasar. Tapi, di sisi undang-undang, peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan memberi hak kepada pemegang sesuatu jawatan untuk meletak jawatan, tanpa perlu menyatakan sebab beliau berbuat demikian."

Bulan lepas, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mencadangkan hukuman denda RM100,000 dikenakan terhadap Adun dan RM200,000 terhadap Ahli Parlimen yang meletak jawatan, kecuali atas sebab penyakit atau alasan lain yang menyebabkan mereka tidak dapat menunaikan tugas masing-masing.


Sumber: Bernama
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger