KEMELUT PKR SELANGOR SEMAKIN MERUNCING DAN TELAH MENGABAIKAN KEBAJIKAN RAKYAT SELANGOR


Kemelut PKR di Selangor yang melibatkan Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sejak akhir-akhir semakin meruncing dan kini semakin parah apabila perbalahannya dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali kian menyerlahkan kepincangan kemahiran politiknya.

Umum mengetahui Abdul Khalid sentiasa membawa perwatakan korporat dalam pentabiran kerajaan negeri, namun negeri maju itu memerlukan lebih daripada itu, bukan sekadar menguruskan sebuah syarikat sebaliknya menuntut kemahiran politik.

Namun prestasi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu semakin merundum akibat membuat keputusan terburu-buru tanpa mengendahkan pandangan dan teguran wakil rakyat Pakatan Rakyat lain di Selangor.

Kemuncak kemarahan itu tercetus baru-baru ini apabila Abdul Khalid cuba bermain sandiwara dalam usaha penyingkiran Azmin daripada menganggotai lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Langkah Abdul Khalid juga kian dicurigai apabila pengurus besar dan setiausaha eksekutif PKNS pula dijadikan 'kambing hitam' bagi mengaburi mata rakyat setelah insiden tuding-menuding memakan dirinya sendiri.

Biarpun dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Selangor baru-baru ini, ada beberapa pihak mengusulkan supaya kedudukan Abdul Khalid perlu dikaji semula, namun 'kekebalan' beliau menghalang agenda itu menjadi keputusan mesyuarat.

Sebaliknya tiga perkara menjadi keputusan mesyuarat dan diserahkan kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR untuk tindakan lanjut memandangkan sikap tidak ambil peduli Abdul Khalid telah menimbulkan kemarahan pemimpin parti di peringkat akar umbi.

Perkara itu juga disahkan oleh Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafie ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Beliau berkata, hasil mesyuarat pada 12 Januari lalu juga sebulat suara menyerahkan surat kepada MPP PKR akan ketidakpuasan hati mereka terhadap prestasi Abdul Khalid dalam beberapa isu.

Antaranya:

1) Keputusan Abdul Khalid untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan mengenai pengambilalihan konsesi air di Selangor dan membenarkan pembinaan loji rawatan air Langat 2 diteruskan.

2) Kenaikan kadar bayaran lesen perniagaan sehingga 400 peratus kepada pekedai dan kilang.

3) Pengguguran Mohamed Azmin Ali dari ahli lembaga pengarah PKNS.

"Ahli mesyuarat MPN Selangor sebulat suara menulis surat supaya kepimpinan pusat (PKR) membetulkan keadaan ini.

"Tentang pengguguran Abdul Khalid dari jawatannya tidak dibincangkan, namun ada beberapa suara yang membangkitkan hal itu," katanya.

Ditanya tentang pergolakan kepimpinan PKR Selangor boleh menjejaskan kepercayaan rakyat pada pilihan raya akan datang, beliau bagaimanapun tidak menafikan perkara itu mungkin memberi kesan negatif kepada PR.

"Jika kerajaan negeri rasa bertanggungjawab terhadap rakyat, mereka perlu memperbetulkan keputusan-keputusan yang tidak mengembirakan rakyat khususnya isu perlesenan, tanah Pusat GiatMara, projek Langat 2 dan PKNS," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan kerajaan negeri yang memindahkan dua pegawai pengurusan PKNS ke Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) itu merupakan tindakan kurang wajar.

"Sepatutnya kita beri mereka bercuti dan bergaji, supaya mereka tidak perlu hadir ke anak syarikat itu.

"Ia juga dapat menghindarkan perasaan tidak senang mereka yang terlibat yang boleh menjatuhkan moral dan semangat kerja kakitangan serta pegawai PKNS yang lain," katanya.

Tambah beliau, tindakan memecat Azmin dari PKNS itu boleh menjejaskan "mood" rakyat kerana impak pengguguran pemimpin nombor dua PKR itu sama seperti pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari jawatan timbalan perdana menteri pada 1999.

"Saya nampak hal ini tidak reda, bahkan semakin menular dan ia tidak baik daripada persepsi rakyat kerana pengundi akan membuat penilaian dan tidak baik buat PR," katanya.

Memandangkan banyak aduan rakyat di Dun Pelabuhan Klang mengatakan Abdul Khalid sukar ditemui di kawasannya baik ketika musibah atau majlis keraian, Shuhaimi mengesyorkan pentadbiran kerajaan negeri perlu direformasikan segera.

"Proses reformasi ini tidak boleh dilakukan tergesa-gesa dan mendadak, kerana ia perlukan tempoh tertentu untuk beberapa perkara sensitif seperti soal tanah.

"Isu pusat giatmara Selayang yang menduduki tanah kerajaan negeri itu, tanah itu perlu diambil dengan cara lebih berhemah dengan mengambil kira kepentingan rakyat," katanya lagi.

Sementara itu, menurut sumber dalaman Majlis Pimpinan Pusat PKR, hubungan dingin antara Abdul Khalid dan Azmin hanya dapat diatasi jika kedua-dua pemimpin PKR Selangor itu dapat duduk semeja dengan mengetepikan kepentingan peribadi.

"Jika Abdul Khalid dan Azmin punyai masalah, abaikan kepentingan individu, demi kepentingan rakyat, kita tidak mahu masalah peribadi jejaskan kepimpinan parti.

"Jika keputusan gugurkan Azmin itu kerana bersifat peribadi, hal itu amat malanglah, tetapi kita harapkan perkara itu diselesaikan dengan baik," katanya.

Selain itu, sumber dalaman turut mengesahkan wujudnya beberapa pihak mengusulkan kedudukan Abdul Khalid dikaji semula, namun ia tidak mendapat suara majoriti.

Katanya, majlis mesyuarat hanya berminat membincangkan beberapa keputusan Abdul Khalid dalam kerajaan negeri yang semakin pincang dan merugikan PKR di Selangor.

"Apabila prestasi Abdul Khalid dipertikaikan dalam mesyuarat, ada cadangan supaya dia ditukar dan digantikan, tetapi tidak mencadangkan siapa penggantinya, itu memang tiada.

"Mana-mana mesyuarat pun ada suara-suara yang tidak berpuas hati, itu lumrah, namun keputusan muktamad berhubung tiga perkara tersebut.

"Setiap ahli mesyuarat mempunyai hak menyuarakan pandangan masing-masing termasuklah supaya kedudukan Abdul Khalid dikaji semula," katanya.

Menyentuh kesukaran turun padang mengambil berat pengundi di kawasannya, sumber menasihatkan agar beliau menyusun jadual lawatannya dengan baik kerana ia melibatkan kepentingan pengundi.

"Asas utama untuk menjadi menteri besar mestilah menjadi Adun, untuk menjadi Adun perlu mendapat mandat pengundi.

"Dia kena buat tumpuan kepada kerja-kerja di Dun Pelabuhan Klang itu sendiri dengan lebih baik.

"Abdul Khalid perlu perbaiki kemahiran politiknya, kerana selama ini beliau lebih menonjol sifat korporatnya berbanding politik.

"Walaupun Abdul Khalid selalu ditegur oleh pimpinan Pusat (PKR), namun teguran yang tidak diendahkan itu menjadi kemarahan orang parti termasuk lambat mengambil tindakan," katanya lagi.


Sumber: Sinar Harian
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger