DAP SABAH DIJANGKA AKAN ‘TUTUP KEDAI’ PADA TAHUN BAHARU INI


Selepas keluar beramai-ramai pemimpin PKR Sabah tahun lepas, kini giliran DAP Sabah pula akan ikut jejak yang sama.

Apakah tahun 2014 merupakan tahun runtuhnya Pakatan Pembangkang di Sabah?

Bekas pemimpin kanan parti pembangkang itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Hiew King Cheu tidak menolak kemungkinan lebih ramai ahli DAP Sabah dijangka bertindak keluar daripada parti itu kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti yang penuh masalah.

Beliau yang merupakan antara individu bertanggungjawab melakukan penyusunan semula DAP Sabah pada tahun 2000 berkata, tindakan pemimpin Pusat terutama daripada pemimpin tertinggi mengeluarkan arahan tertentu dilihat menghalang wujudnya amalan kebebasan dalam parti.

"Antaranya apabila pemimpin DAP Pusat mengarahkan pemimpin negeri memberi sokongan kepada ADUN Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Bumburing untuk menjadi ketua pembangkang DUN Sabah, tindakan itu dilihat tidak wajar.

"Tindakan ini menyebabkan para pemimpin DAP negeri berasa tidak puas hati dalam kebebasan mereka menentukan barisan kepimpinan parti pembangkang, tambahan pula Bumburing bukannya daripada parti itu.

Selasa lalu, Timbalan Pengerusi DAP negeri, Fred Fung dan Ketua Wanita Bahagian Kota Kinabalu, Candy Wong bertindak keluar parti berkuat kuasa serta merta. Terdahulu pada September tahun lalu, King Cheu menggemparkan senario politik negeri ini apabila mengambil keputusan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-13, Mei tahun lalu, King Cheu yang bertelagah dengan beberapa pemimpin DAP Sabah susulan keputusannya untuk menyokong ADUN Klias, Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Ketua Pembangkang Sabah sedangkan parti itu menyokong Bumburing.

Dakwa King Cheu, tindakan DAP yang tidak menyukai golongan bumiputera berada dalam DAP yang dilihat suka membuat kacau dalam parti, antara punca mengapa lebih ramai ahli parti itu mahu 'angkat kaki'.

"Sudah tiada lagi satu hati dalam DAP, terutama apabila berlakunya arahan tertentu yang 'memaksa' kami mengikut keputusan yang dibuat oleh Pusat.

"Apa yang saya dengar, banyak lagi pemimpin dan ahli DAP Sabah yang akan keluar parti. Ia dijangka melibatkan golongan barisan kepimpinan awal penyusunan semula parti pada 2000, orang lama dan golongan bumiputera," katanya.

Beliau yang sudah patah hati dengan DAP berkata, hanya segelintir golongan pemimpin Bumiputera yang masih taat kepada pemimpin tertentu DAP negeri sehingga mampu bertahan dengan kerenah barisan kepimpinan parti itu.

Tambahnya, krisis kepimpinan DAP yang berlaku di peringkat Pusat dan negeri membuatkan ahli berasa bosan untuk terus berjuang dengan parti itu, malah sikap lepas tangan pemimpin tertinggi DAP pusat terhadap apa yang berlaku di peringkat negeri membuatkan mereka berasa kecewa.

Beliau berkata, barisan kepimpinan DAP Pusat seharusnya bertanggungjawab dalam sebarang permasalahan parti di peringkat negeri, bukannya dibiarkan berterusan tanpa bantuan khidmat nasihat atau bimbingan sewajarnya.


Yang pasti, isu dan masalah dalaman DAP Sabah ini tiada jalan penyelesaian dan memungkinkan DAP Sabah akan tutup kedai pada tahun ini.
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger