BN WAJAR BERI PERHATIAN TERHADAP CADANGAN DAP PERLUASKAN PROJEK IMPIAN SARAWAK


Kemenangan DAP dalam beberapa kerusi Parlimen dan peningkatan sokongan terhadap DAP di beberapa daerah mengundi di kawasan pedalaman telah memberikan keyakinan kepada DAP untuk memperluaskan pengaruhnya di kawasan pedalaman.

Selain mengetengahkan calon Bumiputera, DAP juga cuba untuk mendekatkan diri dengan penduduk pedalaman apabila membuka cawangan DAP. Ini penting bagi mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara parti paling berkuasa dalam Pakatan Pembangkang Sarawak.

Justeru itu, DAP dijadualkan akan melancarkan sembilan lagi projek di bawah inisiatif Impian Sarawak pada suku pertama tahun ini.

Pengerusi DAP Negeri Chong Chieng Jen berkata, projek-projek yang dikenal pasti melibatkan kawasan seperti Pakan, Kedup, Marudi, Batu Danau, Repok, Tarat, Bawang Assan, Kidurong dan Lanang.

Seperti biasa, Pakan, Kedup, Marudi, Batu Danau, Tarat, Bawang Assan merupakan kubu kuat BN dan ini pastinya memberikan sedikit gangguan kepada persediaan BN dalam PRN Sarawak sekiranya tiada sebarang perubahan dilakukan BN.

Bagi kawasan Repok, Kidurong dan Lanang yang merupakan kawasan DAP semestinya mereka mahu mempertahankan dan mengukuhkan lagi pengaruh mereka.

“Sejak pelancarannya Oktober 2013, Impian Sarawak telah mencapai satu daripada objektif utamanya iaitu memastikan Barisan Nasional (BN) tidak mempersia-siakan pengundi luar bandar dan memainkan peranan mereka sebagai kerajaan yang memerintah hari ini dengan memperbaiki infrastruktur asas,” katanya dalam kenyataan semalam.

Chong berkata, bagi projek pertama di Pakan, Julau ia akan dilaksanakan di Ulu Wak di mana pasukan Impian Sarawak akan memasang sistem air graviti baharu bagi memastikan bekalan air yang konsisten kepada penduduk kampung.

Pasukan Impian Sarawak juga akan memasang sistem air graviti yang baharu bagi memastikan bekalan air konsisten ke kampung-kampung di Kedup, Serian, Sungai Arang di Marudi, Baram dan Rantau Kurra, Medamit di Batu Danau, Limbang, katanya.

Di Repok, Sarikei pula pasukan Impian Sarawak akan bekerjasama dengan penduduk memperbaiki dan menaik taraf rumah panjang kepada keadaan yang lebih selesa, tambahnya.

Pasukan juga, katanya, akan terlibat dalam menaik taraf dan memperbaiki jalan akses di Kampung Kiding dan Kampung Kakak di Tarat, Mambong bagi kebaikan penduduk ketika kecemasan dan memudahkan pergerakan anak-anak ke sekolah.

“Bagi projek di Sungai Rasau di Bawang Assan, Sibu, Impian Sarawak akan membantu membina dan menaik taraf jeti baharu bagi Rumah Pasang yang mana kini dalam keadaan yang daif,” katanya.

Chong berkata, di Batu Niah di Kidurong, Bintulu, Impian Sarawak akan membantu dengan kerja-kerja menaik taraf infrastruktur membabitkan sebuah rumah panjang di sana.

Projek kesembilan pula akan dilaksanakan di Salim Pelalang di Dudong, Lanang di mana pasukan akan membantu menaik taraf jambatan kayu sebuah rumah panjang bagi memastikan keselamatan dan jaminan akses kepada penduduk.

Dalam pada itu, sejak pelancarannya Oktober lepas, tiga projek telah dilaksanakan iaitu sistem air paip graviti di Kampung Sait Muk Ayun, Bengoh, menaik taraf Rumah Gawai di Serikin, Bau (Tasik Biru) dan projek bekalan benih kelapa sawit kepada pekebun di Sebujok, Ulu Undop, Sri Aman.


Apakah BN Sarawak akan memulakan langkah awal ini bagi menyeimbangkan projek Impian Sarawak atau hanya sekadar tunggu dan lihat?
Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger