SUKA ATAU TIDAK MB KHALID IBRAHIM TETAP AKAN LAKSANAKAN KENAIKAN GAJI


Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim menegaskan sama ada setuju atau tidak, Kerajaan Selangor akan melaksanakan kenaikan gaji seperti yang dibentangkannya di DUN Selangor.

Nasihat beliau, sekiranya ada di kalangan ADUN Pakatan Pembangkang yang tidak setujua dan membantah kenaikan gaji ini bolehlah "mendermakan" lebihan gaji tersebut.

Kenaikan gaji di Selangor telah disokong ADUN Pakatan Pembangkang dan ADUN BN.

"Saya tak akan pertimbangkan. Ia telah diputuskan Dewan.

"ADUN Pakatan Pembangkang dan BN semua setuju. Semasa dibahaskan tiada bantahan daripada mana-mana pihak.

"Jadi kalau ada yang tidak bersetuju, boleh dermakan kepada sesiapa," katanya dipetik sebuah portal hari ini apabila diajukan sama ada pertimbangan akan dibuat ekoran bantahan yang diterima.

Abdul khalid semalam membentangkan di dalam Dewan berhubung kenaikan gaji itu dan dipersetujui sebulat suara oleh semua ADUN ketika Rang Undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Negeri (Saraan) Pindaan 2013 dibacakan.

Abdul Khalid berkata, usul itu dibawa untuk membolehkan peruntukan dipinda dan pembayaran gaji baru dapat dibuat mulai 1 Januari.

“Cadangan kenaikan itu dibuat berdasarkan beban tugas yang dipikul ahli dewan tanpa mengira waktu serta keberkesanan pembaharuan dilaksanakan menentukan badan eksekutif dan legislatif.

“Di atas keberkesanan melaksanakan tanggungjawab iaitu menunjukkan hasil dan pendapatan negeri meningkat, pertimbangan sewajar diambil atas permintaan Adun sekalian,” katanya.

Susulan itu, kenaikan gaji tersebut telah mendapat pelbagai reaksi daripada UMNO-BN, termasuk Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang menyifatkan kenaikan itu terlalu tinggi.


Terbaru, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC) Selangor,  Mohamed Azmin Ali turut  menggesa kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan kenaikan gaji bagi menteri besar, exco, speaker, timbalan speaker dan ADUN negeri ini agar penilaian semula.
 

VIRUS PKR SABAH MENULAR KE PKR SARAWAK


Tsunami keruntuhan PKR Sabah kini telah menular ke PKR Sarawak apabila Pengerusi PKR Roban, Saratok bersama setiausaha dan 108 ahlinya bertindak keluar parti dan menyertai Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

Sehubungan itu, Gani Eli yang mengetuai cawangan tersebut sejak 2011 semalam mengemukakan permohonan untuk menyertai SPDP.

Permohonan yang turut disertai ahli-ahli lain diterima oleh Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom pada satu majlis ringkas di ibu pejabat parti itu.

“Selepas Pilihan Raya Umum, PKR seolah-olah tidak ada hala tuju. Ramai lagi ahli dan penyokong PKR di Roban dijangka akan mengikut langkah kami keluar parti,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.

Turut kecewa dengan pucuk pimpinan PKR, bekas setiausahanya Abang Mokhtar Abang Zulkifli yang berkata beliau sedar parti pembangkang tidak berupaya mengubah nasib rakyat.

“Penyertaan kami ke dalam SPDP diharapkan boleh membawa pembangunan yang dapat memajukan rakyat.

Sementara itu, Mawan berkata, tindakan kumpulan tersebut ingin menyertai SPDP merupakan satu berita baik untuk BN.

Menurutnya, di sebalik cabaran dihadapi oleh SPDP beberapa tahun kebelakangan ini, ia masih berupaya menarik penyertaan ahli-ahli baharu.


Apakah selepas ini akan ada PKR di bahagian lain yang akan ikut sama tindakan PKR Roban?
 

ANWAR IBRAHIM PUNCA PKR SABAH REBAH DAN HANCUR


Keputusan pemimpin dari 11 cabang PKR Sabah keluar parti bukan disebabkan UMNO atau komponen BN lain tetapi disebabkan Ketua Umum PKR sendiri Anwar Ibrahim.

Terlalu banyak campur tangan kepimpinan di peringkat pusat dalam urusan parti di Sabah merupakan antara faktor mengapa pemimpin 11 cabang PKR keluar parti dan menyokong BN.

ADUN Matunggong Datuk Jelani Hamdan berkata soal autonomi yang dicanangkan pemimpin PKR di peringkat Pusat sebenarnya tidak langsung dipraktikkan, termasuk dalam urusan melantik ketua pembangkang negeri dan Majlis Pimpinan Negeri parti itu.

"Bukan soal pembangunan semata-mata. Tapi kita hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR khususnya di peringkat pusat dan negeri. Soal autonomi...beri kuasa kepada Sabah pilih pemimpin tapi authority datang dari seorang individu," katanya.

Jelani dan ADUN Kadamaian Jeremy Malajad, kedua-duanya, telah terlebih dahulu keluar parti pada 4 November lepas turut hadir pada sidang media itu.


Jelani yang mewakili pemimpin dari 11 cabang parti itu turut mendedahkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan individu yang terlibat campur tangan dalam urusan pentadbiran parti di Sabah.
 

PKR SABAH KIAN HANCUR DAN TENGGELAM ANGKARA PKR PUSAT


Seperti yang pernah diumumkan sebelum ini bahawa akan ada beberapa ADUN dan ahli-ahli PKR Sabah yang akan keluar parti secara besar-besaran.

Pada hari ini dan mengotakan janji, pemimpin di 11 cabang PKR Sabah mengambil keputusan untuk keluar parti dan menyokong BN.

Mereka terdiri daripada ketua cabang, timbalan ketua cabang dan ketua penerangan cabang parti itu dari Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Kalabakan dan Semporna.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang media di sini berkata mereka mengambil keputusan itu kerana sudah hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap kepimpinan PKR dan memberi kepercayaan kepada kepimpinan BN di peringkat nasional dan negeri.

Beliau berkata gelombang kedua akan berlaku tidak lama lagi apabila banyak lagi pemimpin PKR Sabah akan keluar parti dan menyokong BN.

"Dengan apa yang sudah berlaku dan akan berlaku bererti bahawa parti PKR di Sabah hampir lumpuh dan sebaliknya parti BN semakin kuat, semakin utuh dan semakin mendapat kepercayaan rakyat Sabah," katannya.

Mereka yang hadir pada sidang media itu ialah Akhmain Sabtu (Ketua Cabang PKR Kudat), Anthony Mandiau (Ketua Cabang Kota Marudu), Juhani Abd Halim (Ketua Cabang Silam), Mohd Jun (Ketua Cabang Kalabakan), Mustapha Tambuyung (Ketua Cabang Kinabatangan), Lokman Ureh (Ketua Cabang Semporna), Timothy Lim (Ketua Cabang Sepanggar), Apandy Sipin (Ketua Cabang Pensiangan) dan Aris Remigius (Ketua Cabang Batu Sapi), Angki Addek (Timbalan Ketua Cabang Kota Marudu) dan Soloh Yuna (Ketua Penerangan Kota Belud).

Hanya wakil Beluran tidak hadir.

Turut serta ialah dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang mengisytiharkan keluar parti pada 4 Nov lepas iaitu Adun Matunggong Datuk Jelani Hamdan dan Adun Kedamaian Jeremy Malajad.

Najib berkata turut sama mengisytiharkan keluar parti pada hari ini ialah bekas anggota Parlimen Bandau Henry Madatang dan calon PKR Parlimen Papar pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Jomi Kamadan.

Beliau telah dimaklumkan banyak lagi dalam kalangan penyokong pemimpin-pemimpin PKR itu akan turut serta keluar parti dan memberi sokongan kepada BN.

"Saya ingin ucapkan terima kasih kepada mereka atas keyakinan untuk mengalih sokongan kepada BN dan ini menggambarkan usaha kita untuk melakukan perubahan dan transformasi kepada negara khususnya Sabah, mendapat kepercayaan dan keyakinan mereka.

"Mudah-mudahan dengan ini BN akan dapat berkhidmat dengan lebih berkesan kepada rakyat Sabah," katanya.

Najib berkata tindakan mereka keluar parti tidak sekali-kali dipengaruhi BN.

"Tak mungkin, sebab mereka sudah hilang kepercayaan (kepada parti PKR), itu pokoknya," katanya.


Ditanya sama ada PKR akan terus lumpuh dengan perkembangan itu, beliau berkata PKR akan cuba mengumpulkan semula kepimpinan parti itu di Sabah tetapi kekuatan sebenar parti terletak kepada pemimpin yang keluar PKR hari ini dan mereka yang bakal keluar parti. 
 

PKR BIDAS KENYATAAN JEFF OOI DAN DIANGGAP BIADAP


Bukan hanya penjawat awam di Pulau Pinang yang berasa kecil hati dan marah terhadap kenyataan Jeff Ooi, tetapi juga rakan mereka dalam Pakatan Pembangkang yang turut mengutuk keras.

Apakah Jeff Ooi lupa bahawa dalam PRU-13, Pakatan Pembangkang juga mendapat undi daripada penjawat awam khususnya undi awal dan undi pos?

Atas sebab itu, Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad turut membidas Jeff Ooi yang disifatkannya sebagai keterlaluan.

Sebelum ini, Jeff Ooi dalam kenyataannya terhadap penjawat awam sebagai 'kucing kurap'.

Nik Nazmi dalam mikro twitter miliknya berkata, "tak patut seorang ahli Parlimen seperti Jeff Ooi menggunakan istilah 'kucing kurap' terhadap pegawai kerajaan”.

Nik Nazmi turut menambah dalam 'tweet'nya itu "sakit kot", merujuk kepada perbuatan Ooi.

Dalam insiden berkenaan, ahli Parlimen Jelutong - DAP itu mengaku memberi label 'kucing kurap' kepada kepada beberapa pegawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) kerana mereka tidak membawa perangkaan terkini mengenai kedudukan penjaja di kawasannya.

"You are insulting me by sending a lower officer itu 'kucing kurap' (anda menghina saya dengan menghantar pegawai pangkat rendah itu 'kucing kurap')... kita nak selesaikan masalah tetapi pegawai kanan itu serah kepada seorang yang lebih junior dan mereka tidak boleh buat keputusan," Ooi dipetik sebagai berkata.

Kelmarin, ketika lawatannya ke Pasar Jelutong dekat Georgetown, keadaan turut bertukar kecoh apabila seorang pekerja MPPP mendatangi Ooi dan menggesanya menggugurkan label 'kucing kurap' yang ditujukan kepada kakitangan bawahan MPPP.

Ooi bagaimanapun beredar daripada sidang media selepas diminta berbuat demikian dan menyerahkan majlis kepada Presiden Pertubuhan Kebajikan Insan Mulia, Aminah Abdullah.

Mohd Rofi Osman, 58, yang sudah berkhidmat lebih 30 tahun dengan MPPP berkata, beliau kesal dengan sikap Ooi yang seolah-olah tidak berasa bersalah dan memandang remeh permintaannya itu untuk menarik balik kenyataan itu.


Sementara itu, Pemuda PKR (AMK) Pulau Pinang hari ini turut tampil di Parlimen membidas kebiadapan Ooi terhadap penjawat awam berpangkat rendah dan MPPP.
 

ADUN PUJUT FONG PAU TECK DIANGGAP PERMATA YANG BERSINAR


Selain menganggap dirinya sebagai Permata Yang Bersinar, ADUN Pujut, Fong Pau Teck kini menganggap dirinya sebagai ‘Helang’ yang sedang mengalami ‘Transmutasi’ yang akan menuju ke arah yang lebih cerah dan bejaya.

Ini merujuk kepada keengganan menerima pemecatan yang dibuat DAP Pusat ke atas dirinya hanya kerana sebab-sebab remeh-temeh.

Berdasarkan status Facebook miliknya, Fong Pau Teck menyifatkan dirinya sebagai ‘WIRA’ yang hanya boleh dijatuhkan oleh segelintir golongan atasan DAP atas sebab beliau berani bercakap benar dan bertindak tegas.

Fong Pau Teck masih mempunyai 14 hari rayuan ke atas pemecatan dirinya oleh DAP Pusat dan menganggap pemecatan itu tidak sah hanya kerana dirinya bertindak atas kebenaran.

Biarpun kini beliau kelihatan terasing di dalam Persidangan DUN Sarawak dan seolah-olah dijauhi rakan-rakan DAP Sarawak namun beliau harus berpijak di bumi yang nyata.

Fong Pau Teck juga menyifatkan bahawa rayuan terhadap pemecatan dirinya itu sudah tidak bermakna kerana percaya ‘orang-orang’ DAP yang selama ini cemburu akan keberaniannya pasti tidak akan melepaskan dirinya begitu sahaja.

Dengan bersahaja Fong Pau Teck mengatakan dirinya tenang dan tidur lena tanpa sebarang gangguan termasuklah tempoh rayuannya.

Fong Pau Teck juga percaya kebenaran akan terserlah juga akhirnya biarpun bukan dalam DAP kerana percaya rakyat sentiasa bersamanya biarpun terpaksa berpisah dengan DAP kerana kekejaman politik dalaman.

Jika ini berlaku bermakna masa depan Fong Pau Teck dalam DAP akan berakhir dalam penggal ini.


Dan, demi untuk tidak mengecewakan rakyat dan penyokongnya, Fong Pau Teck terpaksa berhadapan dengan kekebalan DAP yang turut disokong DAP Sarawak.
 

PRESIDEN PKR: ANWAR IBRAHIM TERSEPIT ANGKARA MASALAH CIPTAAN SENDIRI


Seorang perwakilan PKR yang juga Setiausaha PKR Selangor, Amirudin Shari dalam Kongres Khas PKR 2013 mengusulkan supaya Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan Presiden PKR berdasarkan sumbangan dan pengorbanannya terhadap parti.

Usul itu sah mengikut undang-undang parti dan Anwar sendiri harus mengakui akan perlembagaan parti.

Ini berikutan PKR kini mengalami masalah dalaman yang serius sehingga menyebabkan PKR kini kian menanti belah.

"Inilah saat terbaik untuk Anwar mengambil alih dan menerajui kepimpinan PKR sebagai pemimpin utama parti.

Susulan itu, Anwar telah menyatakan akan menunggu perlembagaan yang dipinda diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum membuat keputusan.

Tetapi, Anwar perlu bertanding untuk dapatkan jawatan itu sebabnya ramai yang berminat untuk memegang jawatan itu sebab ia berpotensi untuk jawatan Perdana Menteri.


"Memang cadangan itu untuk menyelesaikan isu dalaman dalam parti yang semakin teruk tetapi, Anwar sendiri akan terjerat antara parti dan kepentingan peribadi.
 

PENGAMPU SAIFUDDIN KATA ANWAR IBRAHIM DIIBARATKAN SEBAGAI SUATU INSTITUSI


Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim adalah suatu "institusi", kata Saifuddin Nasution. Ini susulan daripada usul yang dibawa pemimpin PKR yang lain yang mahu melantik Anwar Ibrahim menjadi Presiden PKR pada Kongres Khas 2013 PKR.

Biarpun Anwar tidak menjawat jawatan sebagai Presiden PKR, tetapi dengan pengaruh yang ada padanya mampu menarik sokongan rakyat kepada PKR dan Pakatan Pembangkang.

Menurutnya, kedudukan Anwar adalah unik dan mampu meningkatkan sokongan rakyat walaupun tidak menjadi Presiden PKR.

Saifuddin juga berkata, Anwar sering kali mendapat perhatian daripada semua parti politik dan sering dikaitkan dalam sesuatu isu.

"Saya berpendapat kedudukannya unik, kedudukan yang berjalan macam sekarang itu pun telah berjalan dengan tertib dan aman, sokongan rakyat telah meningkat juga.

"Dia telah jadi institusi, tiada satu acara pun yang tak dikaitkan dengan beliau, seperti muktamar PAS semalam pun saya tengok ada gambar Anwar juga yang disiarkan dalam televisyen.

"Kalau begitu kedudukannya, saya anggap tak ubah sebarang politik seperti yang bergerak sekarang.

Terbaru, Setiausaha PKR Selangor Amirudin Shari mencadangkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih jawatan presiden kerana ia sah mengikut perlembagaan parti itu.

Amirudin yang juga pembahas dari Selangor dalam Kongres Nasional Khas 2013 berkata, cadangan ini bagi mengesahkan ura-ura kemungkinan Anwar akan mengambil alih jawatan presiden dalam pemilihan parti itu tahun hadapan.

“Organisasi dan kepimpinan yang jelas menurut perlembagaan adalah keperluan untuk PKR mara sebagai sebuah parti masa hadapan.

“Pelbagai rintangan dan cabaran telah dilalui untuk membina organisasi PKR termasuk untuk memposisikan Anwar sebagai pemimpin utama PKR. Inilah saat terbaik untuk Anwar mengambil alih dan menerajui kepimpinan PKR sebagai pemimpin utama parti.


Jika Anwar diangkat sebagai Presiden PKR bermakna melepaslah Azmin Ali yang sangat bercita-cita menjadi Presiden selepas berjaya memusuhi Khalid Ibrahim.
 

SIAPA CALON NAIB PRESIDEN PKR DARI SARAWAK?


PKR mengumumkan akan melantik seorang wakil negeri Sabah dan Sarawak mengisi jawatan naib presiden parti. Ini bermakna akan ada 2 orang jawatan Naib Presiden yang akan mewakili Sabah dan Sarawak.

Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail berkata, perkara itu akan digubal secara rasmi hari ini. Ini susulan daripada Deklarasi Kuching yang telah dilancarkan Pakatan Pembangkang sebelum ini.

Seperti biasa PKR menjual nama ‘autonomi’ bagi meraih simpati rakyat Sabah dan Sarawak biarpun menyedari kerajaan BN telah melaksanakan perkara yang baik daripada apa yang dibuat Pakatan Pembangkang.

"PKR tetap dengan pendirian yang mahukan autonomi diberikan kepada negeri Sabah dan Sarawak.

"Kita juga mahu struktur organisasi parti lebih inklusif untuk menggalakkan partisipasi terus oleh ahli dua negeri itu, sekaligus tiga orang naib presiden yang dilantik.

Sementara itu, menurut Wan Azizah, perkara itu juga termaktub di dalam pindaan perlembagaan fasal 21.7 serta fasal 24.3.

"Fasal 24.3 ada nyatakan Pengerusi Majlis Pimpinan Sabah dan Sarawak juga akan secara langsung menjadi ahli Biro Politik.

"Jadi kelangsungan keputusan dan ehwal negeri Sabah dan Sarawak akan terus didengari oleh pimpinan tertinggi parti.


Persoalan sekarang siapakah di kalangan pemimpin PKR Sarawak akan dilantik ke jawatan Naib Presiden PKR? Apakah Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang mewakili kaum minoriti di Sarawak, juga See Chee How atau Ali Biju yang mewakili kaum terbesar di Sarawak? 
 

PILIH NAIB PRESIDEN PAS PERLUKAN MASA DUA HARI UNTUK MENGIRA UNDI


Mengata orang paku serpih, mengata orang (SPR) dia (PAS) lagi lebih. Itulah perumpamaan yang sesuai dihadiahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan PAS dalam Muktamar PAS Ke-59 yang berlangsung di Shah Alam.

Sebelum ini PAS dan Pakatan Pembangkang sering menjadikan SPR sebagai kambing hitam mereka apabila mengutuk cara pengurusan SPR dalam pilihan raya. Ini berlaku lebih-lebih lagi kepada kawasan yang mereka jangka menang, tetapi kalah.

Begitupun, SPR bersikap profesional degan menjadikan tohmahan Pakatan Pembagkang sebagai suatu cara untuk meningkatkan tahap profesionalisme biarpun ia bersifat memfitnah.

Tetapi, dalam Pemilihan Naib Presiden PAS yang menyaksikan pertandingan 5 penjuru itu terpaksa ditangguhkan akibat kesilapan pada kertas undi.

Lebih memburukkan keadaan apabila PAS memerlukan 2 hari untuk mengira semula undi bagi jawatan Naib Presiden. Harus diingat bahawa dalam tempoh 2 hari apa-apa sabotaj boleh berlaku termasuklah menipu undi.

Selain PAS, DAP juga pernah mengalami nasib yang sama malah lebih buruk apabila Pemilihan CEC DAP 2012 terpaksa dibatalkan akibat tidak mengikut peraturan termaksuklah ketelusan dalam mengundi jawatan tertinggi parti.

Jika SPR berjaya menguruskan pengundi lebih daripada jutaan orang, tetapi PAS gagal menguruskan pemilihan undi yang hanya melibatkan kira-kira 1,000 orang perwakilan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi mengumumkan pengiraan semula perlu diadakan bagi jawatan Naib Presiden apabila keputusan menunjukkan saingan rapat antara calon-calonnya.

Begitupun keputusan Naib Presiden PAS telahpun diketahui apabila Mahfuz Omar dan Abu Bakar kalah dalam perebutan itu sebaliknya memilih Husam Musa, Sallehuddin Ayub dan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Naib Presiden.

Bagi perbuatan Timbalan Presiden, Mat Sabu kroni Anwarinas masih mengekalkan penguasaannya apabila berjaya mengalah Menteri Besar Kelantan daipada golongan ulama.


Ternyata kelibat dan pengaruh Anwar Ibrahim dalam PAS semakin kuat dan nescaya suatu hari nanti imej PAS sebagai sebuah parti Islam akan bertukar menjadi Islam Liberal yang mana menjadi pak turut kepada DAP dan PKR. 
 

PAS PERLU BELAJAR CARA SPR KENDALIKAN UNDI



Sebelum ini PAS dengan lantang mengutuk dan mengecam cara SPR mengendalikan pilihan raya di Malaysia.

Pelbagai macam tohmahan yang dilemparkan terhadap SPR hingga ada yang sanggup membawa rasa tidak puas hati itu ke mahkamah biarpun menyedari peluang untuk memenangi kes itu amat tipis.

Kini, apa yang selama ini dikecam dan dikutuk PAS terhadap SPR sudah terpalit ke muka pemimpin PAS sendiri apabila sesi pemilihan Muktamar PAS Ke-59 ini tergendala akibat daripada kesilapan yang berlaku pada kertas undi.

Pengerusi Pemilihan PAS Pusat, Asmuni Awi ketika mengumumkan perkara itu berkata pemilihan hari ini hanya akan dijalankan bagi jawatan Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Katanya pemilihan untuk anggota jawatankuasa akan diadakan esok. Ini susulan daripada kesilapan pada kertas undi yang dicetak.

Sebanyak 61 calon menawarkan diri bertanding bagi mengisi 18 kekosongan anggota jawatankuasa.

Mengikut jadual PAS, seramai 1,300 perwakilan dari seluruh negara mula mengundi bagi kesemua jawatan dalam Jawatankuasa Kerja parti itu.

Bagaimanapun proses mengundi yang sudah bermula lebih 30 minit itu berhenti selepas Jawatankuasa Pemilihan menyedari masalah berkenaan dan mengumumkan untuk menangguhkannya.

Asmawi berkata, perwakilan yang sudah pun mengundi perlu mengundi semula esok.

Bagi pemilihan hari ini, penyandang Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu akan berdepan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah bagi jawatan nombor dua parti.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula kekal sebagai Presiden PAS tanpa dicabar.

Sementara ketiga-tiga penyandang jawatan Naib Presiden iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub ditentang oleh Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik.


Susulan kesilapan yang berlaku, keputusan pemilihan itu dijangka diumumkan petang esok. 
 

PAS NAFIKAN MEREKA SEBAGAI PENUMPANG DALAM PAKATAN PEMBANGKANG


Presiden PAS, Abdul Hadi Awang menafikan sekeras-kerasnya tohmahan yang dilemparkan kepada mereka bahawa selama ini PAS hanya sebagai penumpang dalam Pakatan Pembangkang.

Sebaliknya, tegas Abdul Hadi PAS, DAP dan PKR sama taraf dan tiada sesiapa di kalangan mereka ini sebagai ketua atau dominan.

Dengan tegas, Abdul Hadi menyatakan kemenangan Pakatan Pembangkang adalah hasil agenda bersama biarpun PAS gagal mempertahankan jumlah kerusi yang dimenangi dan DAP kekal menjadi parti yang banyak memenangi kerusi berbanding PAS dan PKR.

Seperti biasa, Abdul Hadi yakin dan percaya sekiranya agenda kita turun kepada rakyat, bukan sahaja kita dapat undi popular, bahkan ia sudah cukup menjadi asas penting untuk kita fahami rakyat, itu sebenarnya, bukan (mementingkan) kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

Namun, itu hanya pandangan Abdul Hadi sahaja, tetapi tidak kepada ahli-ahli PAS di peringkat bawahan yang mahukan PAS mengkaji balik hubungan mereka dengan DAP dan PKR.

Banyak isu yang tergantung melibatkan ketidak sefahaman antara PAS dengan DAP dan PKR biarpun sama dalam satu Pakatan. Misalnya, isu Kalimah Allah, negara Islam, GST dan terbaru tindakan Karpal Singh yang mahukan PAS turut dibubar ekokran parti yang berasaskan agama dan kaum.


Ramai yang menganggap kenyataan Abdul Hadi Awang itu hanya bersifat cubaan untuk mmepertahankan PAS yang kini dilihat dikuasai profesional berbanding golongan ulama.
 

JANICE LEE YING HA TETAP BERTANDING DALAM PEMILIHAN DAP SELANGOR


Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai daripada DAP, Janice Lee Ying Ha hari ini mengumumkan untuk bertanding Jawatankuasa DAP Selangor pada 15 Disember depan.

Janice dalam sidang akhbar di pejabatnya di Taman Muda di sini berkata, walaupun telah dipecat daripada DAP, beliau masih lagi ahli parti itu kerana kes pemecatan beliau masih dalam peringkat rayuan.

"Saya sudah menghantar surat kepada pemimpin DAP Selangor agar hasrat saya untuk bertanding tidak dihalang kerana kita ahli DAP. Jika mereka larang kita akan membuat aduan kepada pihak berkenaan," kata Janice.

Tegas Janice, pemecatan keahlian beliau dan pembantunya, Dorothy Chong tidak sah kerana Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Tan Kok Wai kerana mempunyai percanggahan kepentingan.

Dalam sidang akhbar itu Janice mendesak agar Kok Wai yang juga Naib Pengerusi DAP menerima surat saman dari peguamnya berkaitan dakwaan memfitnah sehingga menyebabkan peluang beliau untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) terjejas.

"Kalau Kok Wai tidak mahu menerima surat saman ini kita akan mengiklankannya dalam surat khabar dan kos berkenaan akan dimasukkan dalam kos peguam," kata Janice.

Dalam sidang akhbar itu Janice sekali lagi mendakwa terdapat amalan berbeza-beza terhadap tindakan disiplin dalam DAP

"Dalam laporan Suruhanjaya Diraja Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock ada menyatakan bahawa ADUN (DAP) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah telah meluluskan peruntukan kerajaan negeri kepada syarikat yang dikaitkan dengan pak cik ADUN (DAP) Kuala Kubu Bharu Lee Kee Hiong, Lee Wye Wing.


"Adakah amalan seperti ini dibenarkan dalam DAP? Kenapa dalam kes saya diambil tindakan tetapi dalam kes kedua-dua ADUN ini tiada tindakan disiplin diambil?" soal Janice. 

 

NIK AZIZ DAKWA TUN DR MAHATHIR BERI AMARAN JANGAN LAKSANA HUDUD DI KELANTAN


Dalam satu perjumpaan dengan bloggers pelbagai kaum di Kuala Lumpur pada Januari 2011, bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat ditanya kenapa Pas seolah-olah tidak mahu melaksanakan hudud. Jawabnya: “Dr Mahathir datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan) Kelantan laksanakan hudud, kerajaan Pusat akan mengambil tindakan. Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran.”

Beberapa bloggers yang hadir hairan kerana Nik Aziz mengaitkan pelaksanaan hudud dengan Mageran (Majlis Gerakan Negara). Mageran di Kelantan pada 1977-78 adalah untuk menyelamatkan negeri itu yang dilanda sengketa politik. Ia bertujuan mententeramkan keadaan dan memulihkan pentadbiran sivil. Selepas reda, kuasa diberi semula kepada kerajaan pilihan rakyat untuk berfungsi. Mageran tidak ada kena mengena dengan hudud.

Dalam kempen pilihan raya, pemimpin Pas sering beri alasan bahawa perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menentang pelaksanaan hudud. Mereka ulang-ulang kenyataan Nik Aziz yang takut Mageran dikenakan di Kelantan jika hudud dilaksanakan. Padahal Tun Dr Mahathir hanya memberi ingatan secara umum agar pelaksanaan hudud tidak sebabkan kekecohan, tetapi pemimpin Pas telah memutar belit dan mengaitkan kegagalan dan ketidaksediaan kerajaan negeri dengan kenyataan bekas perdana menteri itu.

Surat Tun Dr Mahathir bertarikh 8 Jun 1994 tidak langsung menyebut Mageran atau sebarang tindakan khusus terhadap mana-mana pemimpin Pas. Dalam suratnya, Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa kerajaan Pusat akan berpandukan kaedah Islam dalam tindakannya, iaitu menjaga kepentingan ramai. Beliau menekankan perlunya kerajaan bertindak secara adil untuk mengelak berlakunya kezaliman dan huru-hara.

Oleh kerana ada kesangsian di kalangan pakar perundangan bahawa hukum hudud yang hendak dilaksanakan Pas adalah benar-benar adil dan menepati ajaran Islam, Tun Dr Mahathir mengingatkan tindakan Pas yang dianggap berat sebelah atau zalim akan memberi gambaran negatif kepada bukan Islam, sebabkan mereka menjauhkan diri daripada Islam dan tidak berminat memeluk Islam.

Bahagian penting dalam surat Tun Dr Mahathir kepada Nik Aziz ialah: “Hudud Islam bertujuan memberi keadilan kepada semua, bukan untuk kezaliman. Undang-undang Pas jika zalim tentunya bukan menepati Islam. Kerajaan Pusat tidak berhajat bersubahat dengan Pas (dan) akan terus mempertahankan ajaran dan nilai agama.

Jika Pas menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam, kerajaan Pusat akan ambil tindakan yang sewajarnya demi menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.”

Jelas, Tun Dr Mahathir tidak membantah hajat Pas. Beliau juga memperingati Pas agar memastikan undang-undang syariah yang hendak dilaksanakan mestilah adil, tidak berat sebelah atau menzalimi sesiapa. Kerajaan Pusat bertanggungjawab ke atas kebajikan dan kepentingan semua rakyat, justeru hanya bertindak jika pelaksanaannya menimbulkan huru-hara.

Tidak disebut pasal sekatan, bangkangan atau Mageran. Malah, dalam ucapannya di Nilam Puri pada tahun 1994, beliau menyebut: “Kita tidak tolak hukum hudud. Kita cuma tolak tafsiran dan undang-undang Pas yang tidak serasi dengan maqasid syariah. Menolak sesuatu yang salah adalah wajib.”

Ada pihak bertanya adakah hudud hendak diperkenalkan Pas Kelantan sama seperti di Arab Saudi atau pernah dilaksanakan puak Taliban di Afghanistan. Beberapa NGO bukan Islam juga bimbang hudud berwajah Pas, bukan berpandukan perundangan Islam. Sebelum ini, rakyat melihat bagaimana pemimpin Pas yang terbabit dengan skandal seks dan penyelewengan kuasa tidak diambil tindakan oleh pucuk pimpinannya. Manakala pemimpin yang cuba menegah penjualan arak di kedai dalam kawasan bermajoriti Melayu telah dipecat dari parti.

Ada kekeliruan sama ada hudud boleh dikenakan ke atas bukan Islam. Kebetulan, ada pemimpin Pas yang kata ya, ada yang kata tidak. Pada April lalu, Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez menyeru rakyat bukan Islam tidak undi Pas selagi perkara ini tidak dijelaskan.


Umumnya, orang bukan Islam melihat Pas sebagai parti hanya fokus kepada hudud sahaja, tapi kurang idea mengenai ekonomi dan pembangunan taraf sosioekonomi rakyat.
 

BAGAIMANA USUL KEPIMPINAN ULAMA DIKATAKAN MELANGGAR PERLEMBAGAAN PAS?


Usul disuarakan Pemuda PAS Kawasan Gombak yang mempertahankan kepimpinan Ulama terpaksa ditolak disebabkan alasan ia melanggar Perlembagaan PAS.

Pengerusi Tetapnya, Misbahul Munir Masduki terpaksa ditolak dalam dibincangkan dan diperdebatkan semasa Muktamar Pemuda PAS kali ke-54.

Misbahul dipaksa menolak usul itu berikutan beberapa perwakilan membantah usul yang dikemukakan untuk mempertahankan kepimpinan ulama dalam PAS.

Dalam usul yang dibawa Pemuda PAS Gombak, mereka mencadangkan kepimpinan tertinggi PAS seharusnya datang daripada golongan Ulama seperti mana jawatan Presiden PAS.

"Seorang Presiden secara realistiknya perlu menghampiri syarat-syarat al-alim al-faqih bagi membolehkannya mengutarakan pandangan dan membuat keputusan.

"Oleh kerana Presiden sepatutnya datang daripada golongan ulama, maka sewajarnya juga timbalannya datang daripada ulama untuk pastikan kesinambungan," kata usul itu.

Ketika dibahaskan, seorang perwakilan mengingatkan Perlembagaan parti tidak menyebut bahawa kepimpinan dalam parti mesti diterajui seseorang yang berstatus ulama.

Menurut Misbahul, jika mahu hanya ulama yang memimpin Pas, Perlembagaan parti perlu dipinda.

Selain usul kepimpinan Ulama, empat usul lain yang dikemukakan dengan dua daripadanya yang menyentuh soal Tahaaluf Siyasi dan menentang kekejaman terhadap gerakan Islam Bangladesh diluluskan tanpa dibahas.


Sementara usul menentang dasar Kabotaj di Sabah dan Sarawak dibahas sebelum diluluskan muktamar.
 

JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN PAS: GOLONGAN ULAMA TOLAK MOHAMAD SABU


Disengajakan atau tidak, Dewan Ulama PAS jawatan Presiden dan Timbalan Presiden selayaknya disandang golongan ulama.

Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib berkata, perkara itu bukan bermaksud Dewan Ulama mahukan kuasa tersebut tetapi lebih kepada prinsip dan perlembagaan parti yang meletakkan al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qias sebagai panduan dan rujukan Pas.

Justeru, beliau berkata mengikut logik golongan yang arif mengenai perkara tersebut adalah ahli Dewan Ulama PAS.

"Bukan hendak kepada jawatan, kerana prinsip dan dasar PAS itu memerlukan kepada ulama.

"Sebab PAS kata rujukan tertinggi pada PAS adalah Quran, sunnah, ijmak dan qias.

"Jadi berdasarkan rujukan tertingginya adalah sunnah, ijmak, Quran dan qias, jadi siapa lagi dari segi sudut logiknya siapa lebih memahami perkara itu.

"Jadi sekiranya mengikut kefahaman kami, jadi ulama yang lebih faham berbanding yang lain tetapi golongan profesional itu kita perlu ini rahsia kekuatan dan kekukuhan PAS.

Jika kepimpinan akar umbi mahukan perubahan dalam PAS, inilah masa yang sesuai dengan mengangkat kembali pemimpin ulama bagi menerajui PAS yang selama ini banyak dicampuradukkan golongan profesional.

Semenjak bersahabat dengan PKR dan mengamalkan tahaluf siyasi bersama DAP, pendekatan PAS kini sememangnya sudah jauh terpesong.


Boleh dikatakan setiap keputusan PAS telah dibayangi pemikiran golongan profesional yang banyak dipengaruhi DAP dan PKR. Inilah yang membuatkan ahli-ahli akar umbi seolah-olah menyedari bahawa PAS kini tidak seperti dahulu lagi sebaliknya sudah jauh tergelincir ke landasan kemungkaran.
 

KENAPA BEGITU MUDAH GOLONGAN ULAMA PAS MEMAAFKAN KARPAL SINGH?




Dewan Ulama PAS menyatakan akan "memaafkan" Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung isu gesaannya terhadap pendaftaran pertubuhan dan parti politik berasaskan agama dan kaum termasuk PAS.

Ketua Dewan Ulama, Harun Taib berkata, kemaafan itu diberikan ekoran menyifatkan Karpal sebagai seorang yang jahil dalam agama Islam.

Beliau juga berkata, tidak pernah dukacita terhadap kenyataan pemimpin nombor satu DAP itu.

"Saya sudah bercakap banyak kali, saya tak berdukacita dia bercakap demikian, sebab Karpal Singh tidak memahami Islam.

"Macam mana kita nak kutuk  dia (Karpal) tak faham lagi, kita bertahaaluf dengan DAP dan PKR ini kerana kita bertujuan untuk berdakwah mereka dan boleh faham Islam.

"Jadi Karpal Singh ini belum sempat lagi nak belajar Islam, jadi kita maaflah, kerana dalam Islam kata apabila orang jahil bercakap biar ke dia dulu, lawan orang jahil rosak kita.

Lihatlah sekarang golongan ulama pun sudah pandai memanipulasi fakta dengan reverse 360 darjah bagi menghalalkan apa yang dibuat musuh Islam DAP dan Karpal Singh itu.


Berdakwah kepada mereka yang bukan beragama Islam dianggap sebagai mulia dalam PAS, tetapi memfitnah sesama Islam dengan UMNO dianggap sebagai halal. Apakah PAS sudah termakan jarum cucuk DAP yang sememangnya sentiasa mengena seperti mana yang dilakukan mereka kepada Anwar Ibrahim dan PKR. 
 

PASANGAN PORNO ALVIN DAN VIVIAN GAGAL DALAM PROSIDING MAHKAMAH


Tindakan Mahkamah Tinggi menolak permohonan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee untuk membatalkan satu daripada tiga pertuduhan mempersendakan umat Islam dan bulan Ramadan disambut baik rakyat Malaysia.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan itu selepas berpendapat permohonan itu tidak mempunyai merit.
  
Dalam penghakimannya, beliau berkata pertuduhan terhadap pasangan itu mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan adalah sah, teratur dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
  
"Sepintas lalu membaca peruntukan di bawah Seksyen 298A(1)(a), mahkamah mendapati amat jelas, sejelas gelas kristal, bahawa peruntukan itu langsung tidak menyebut secara khusus bahawa ia ditujukan khas kepada penganut beragama Islam tetapi terpakai kepada penganut agama atau kepercayaan yang lain juga," katanya.
  
Pada 21 Ogos lepas, Alvin atau nama penuhnya Tan Jye Yee, 25, dan Vivian atau Lee May Ling, 24, memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan terhadap mereka berkaitan satu kandungan gambar dan komen bertajuk 'Selamat Berbuka Puasa (dengan Bak Kut Teh..wangi, enak, menyelerakan !!!)' yang dimuat naik ke laman Facebook.
 
Mereka memohon deklarasi bahawa Seksyen 298A(1)(a) tidak konsisten dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan serta tidak boleh dikuatkuasakan terhadap mereka dan jika pertuduhan itu sah di sisi undang-undang, ia hanya terpakai kepada orang Islam. 
  
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa memuat naik satu kandungan gambar serta komen beserta logo halal, yang mungkin menyebabkan perasaan permusuhan dalam kalangan penganut agama berlainan, di CAF-Syed Restaurant Jalan Dang Wangi di sini antara 11 dan 12 Julai lepas.   
  
Mereka juga didakwa memuat naik satu penerbitan menghasut di laman Facebook 'Alvin and Vivian-Alvivi' di pautan https://www.facebook.com/alvivi.swingers iaitu kandungan gambar dan komen yang sama pada tarikh sama di Kompleks Mutiara Jalan Ipoh, Batu 3 1/2 di sini mengikut Akta Hasutan 1948.
  
Mereka turut berdepan pertuduhan mempamer gambar lucah di http://alviviswingers.tumblr.com/ di tempat sama antara 6 dan 7 Julai lepas mengikut Akta Penapisan Filem 2002.
  
Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Alvin dan Vivian sekali lagi memohon maaf atas perbuatan mereka dan berjanji tidak akan mengulanginya manakala peguam Chong Joo Tian, yang mewakili pasangan itu, berkata pihaknya akan memfailkan rayuan dan mengemukakan representasi kepada Peguam Negara.
  
Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 5 dan 6 Disimber depan sebagai tarikh perbicaran kes itu.
  

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Haffiza Jemali.  
 

KARPAL SINGH DAKWA PEMUDA PAS TIDAK FAHAM BAHASA INGGERIS




Sebagai seorang peguambela yang terkemuka di Malaysia, Pengerusi DAP, Karpal Singh menganggap keceluparan mulut Pemuda PAS terhadapnya dalam isu pembatalan PAS sebagai parti politik berasaskan agama disebabkan tidak faham Bahasa Inggeris.

Begitupun PAS menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP itu sebagai angkuh dan bongkak.

Akibat daripada berasa terhina dengan kenyataan Karpal itu, Pemuda PAS menuntut permintaan maaf daripada pemimpin veteran dari parti sekutunya itu berhubung kenyataan yang dibuat pada sidang media yang mendesak agar pertubuhan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftarannya.

Karpal bertegas tiada permintaan maaf bakal dibuat dan sebarang tuntutan daripada pemimpin PAS tidak akan dilayan.

Naib Ketua Pemuda PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss dalam satu kenyataan hari ini berkata, tindakan Karpal memperlihatkan pemimpin itu tidak mahu mengakui kesilapan.

“Kenyataan media Karpal Singh bertajuk “Karpal: I will not say sorry (Unfazed: PAS leaders ignorant, don’t understand English, says DAP chairman)” memperlihatkan tindakannya tidak mahu mengakui kesilapan dan mengambil sikap positif dengan memohon maaf amat dikesali sama sekali.

“Saya percaya dan pimpinan PAS juga percaya bahawa tindakan Karpal ini sedikit sebanyak menjejaskan hubungan yang baik yang terbina selama ini sebagai seorang sahabat dan juga sebahagian di dalam satu pakatan,” katanya.

“Isu yang dibangkitkan oleh Karpal iaitu saya tidak memahami apa yang disampaikan oleh beliau pada 5 November yang lalu kerana tidak memahami bahasa Inggeris yang baik menyebabkan salah faham berlaku adalah satu kenyataan yang angkuh.

“Saya merasakan isu tersebut tidak timbul kerana saya telah mendapat pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Teknologi Mara yang medium pertuturan pengantar utamanya ialah bahasa Inggeris.

“Saya juga menamatkan pengajian saya di peringkat PhD di Universiti Manchester United Kingdom yang kesemuanya memerlukan pemahaman di dalam bahasa Inggeris,” katanya.


Justeru, jika Karpal masih tidak mahu memohon maaf kepada PAS, terpulanglah kepada kepimpinan PAS untuk meneruskan tindakan seterusnya termasuklah memikirkan kembali tahaluf siyasi bersama DAP itu.  
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger