Kejayaan penganjuran Ceramah Merdeka Rakyat di Desa Ilmu, Kota Samarahan
dengan kehadiran Anwar Ibrahim dan kelangsungan PAS mengadakan ceramah
Kebangkitan Rakyat Sarawak dan pengumuman calon PAS di Kampung Tanjung Bundung
dengan kehadiran pemimpin PAS, Nizar Jamaluddin telah mendorong PAS
melaksanakan Amanat Haji Hadi di Simunjan, Sarawak.
Setelah memperoleh Parlimen Samarahan, PAS kini bertekad untuk mendapatkan
kawasan Parlimen Batang Sadong. Kawasan ini merupakan kawasan pertindihan PAS
dan PKR kerana masing-masing mahu bertanding di kawasan ini berbanding BN
Sarawak telah bersetuju meletakkan calon BN-PBB. Justeru, kini masing-masing
(PAS dan PKR) hendak berebut kawasan Parlimen ini.
Demi untuk merealisasikan hasrat PAS dan PKR, mereka ini sanggup
menyebarluaskan Amanat Haji Hadi di Sarawak dengan berbohong kepada penduduk
Kampung Sungai Ba yang menjadi mangsa penipuan Pakatan Pembangkang. Dengan
taktik yang kerap kali dilakukan di Semenanjung Malaysia dan kini menular ke
Sarawak, penduduk Kampung Sungai Ba dikatakan sudah berpaling tadah dan
menyokong Pakatan Pembangkang.
Menurut Ketua Wanita PBB Ranting Kampung Sungai Ba, Mahani Mohamad, 52, yang
juga seorang daripada mangsa penipuan Pakatan Pembangkang mendakwa penipuan
yang digunakan oleh pihak pembangkang ialah dengan menyatakan bahawa jalan raya
yang merupakan kemudahan asas yang sudah lama diidamkan rakyat di kampung itu
akan dibina tidak lama lagi.
“Kami dimaklumkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu bahawa
jalan raya menuju ke kampung kami akan dibina dan perkara itu akan diumumkan
oleh pemberita dari sebuah televisyen swasta yang dikatakan ingin berjumpa
dengan kami di sebuah pondok kebun di sini untuk membuat liputan.
“Kami sekampung datang ke tempat yang dimaklumkan kerana tidak sabar
menantikan berita gembira yang akan diumumkan pemberita itu, namun kami
terperangkap dan teraniaya dengan pembohongan itu,” katanya.
Mahani menjelaskan, penduduk yang datang kebanyakannya tidak tahu membaca
sehinggakan mereka dimanipulasi oleh pembangkang untuk membawa sepanduk yang
tertulis perkataan memburukkan kerajaan.
“Kami yang tidak tahu apa-apa dan tidak tahu membaca disuruh membawa
sepanduk yang tertulis sesuatu yang memburukkan kerajaan sebelum mereka ini
mengambil gambar dan menyebarkannya dalam laman sosial Facebook.
“Saya dan penduduk kampung menyedari bahawa ia satu pembohongan selepas
menerima panggilan telefon daripada pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan ini
yang bertanyakan apa yang telah berlaku sehingga boleh berpaling tadah
menyokong pembangkang,” luahnya yang kesal atas perbuatan tidak
bertanggungjawab yang diamalkan oleh pembangkang.
Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri melahirkan rasa kesal terhadap
perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
“Mereka datang ke Kampung Sungai Ba baru-baru ini untuk menabur janji dan
melakukan pembohongan serta memburukkan kerajaan.
“Oleh itu, apa yang berlaku kepada penduduk di sini harus dijadikan iktibar
kepada penduduk di kampung lain terutama di pedalaman agar tidak mudah termakan
propaganda yang dibawa pembangkang,” katanya.
Tegasnya lagi, masyarakat luar bandar juga harus berhati-hati untuk
mempercayai setiap maklumat dari laman sosial agar tidak menjadi mangsa penipuan.
“Pembangkang akan cuba menggunakan apa jua cara untuk mendapatkan sokongan
termasuk menggunakan media sosial seperti Facebook.
Nampaknya, Pakatan Pembangkang kini terdesak untuk meraih undi pengundi penduduk
tempatan Sarawak demi kelangsungan politik mereka. Sanggup melakukan apa sahaja
biarpun perbuatan itu bertentangan dengan norma-norma kehidupan dan ajaran
Islam.