KERAJAAN BERTEGAS MAYAT ATAU ABU CHIN PENG TIDAK DIBENARKAN DIBAWA MASUK KE MALAYSIA DALAM APA CARA SEKALIPUN


Samada mayat atau abu mayat Chin Peng sekalipun, kerajaan bertegas tidak akan membenarkan ianya dibawa masuk ke Malaysia.

Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengulangi penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Chin Peng bukannya rakyat Malaysia.

Malah, beliau menempelak pihak-pihak tertentu yang tidak sensitif dengan perasaan majoriti rakyat terhadap kekejaman komunis semasa zaman darurat, khususnya ahli keluarga bekas-bekas perajurit negara apabila menggunakan isu undang-undang bagi 'menghalalkan' kepulangan Chin Peng.

Pemergian pemimpin dan penyokong Pakatan Pembangkang ke Thailand bagi memberikan penghormatan terakhir kepada ‘bapa’ pengganas komunis di Malaysia itu adalah sesuatu yang menducakitakan rakyat Malaysia. Tetapi, itulah idealogi Pakatan Pembangkang yang mendukung perjuangan komunis.

Apa sahaja tekanan yang dicetuskan Pakatan Pembangkang dalam usaha membawa mayat atau abu mayat Chin Peng ke Malaysia tidak seharusnya dilayan. Dan, tindakan tegas kerajaan yang tidak melayan sebarang tuntutan pembangkang itu wajar diteruskan demi kelangsungan keseluruhan rakyat Malaysia.

"Kita (kerajaan) tetap dengan pendirian, seperti kata Perdana Menteri, Chin Peng tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia. Sebabnya, dia bukan warganegara Malaysia berdasarkan maklumat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Sudah tentu kita tahu, kalau mayat atau abunya dibawa balik, akan ada pihak yang mendewa-dewakan dia sebagai pejuang atau membuat tugu peringatan. Ini akan menyakitkan hati veteran-veteran anggota keselamatan dan ahli keluarga mereka atas kekejaman Chin Peng dan komunis.

Perdana Menteri sebelum ini membuat penegasan untuk melarang mayat atau abu Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia dan turut menafikan dakwaan kerajaan melanggar perjanjian damai dengan Parti Komunis Malaya (PKM) di Hatyai, Thailand pada 1989.

Berhubung perkara tersebut, Najib turut mengingatkan pihak yang berterusan 'berjuang' untuk membawa pulang jasad Chin Peng ke negara ini bahawa pemimpin komunis itu tidak pernah melakukan sebarang tindakan ke arah untuk menjadi warganegara Malaysia sepanjang setahun perjanjian itu dimeterai.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, kerajaan tidak gentar dengan tindakan pihak yang mahu menggunakan isu perundangan bagi mencabar penegasan kerajaan itu.

"Silakan (cabar). Undang-undang atau tidak, ini bukannya masa nak lihat dari segi perundangan sahaja tetapi renungkan aspek kekejaman komunis yang membunuh beribu nyawa termasuk anggota keselamatan. Renungkan perasaan ahli keluarga mereka, ahli keluarga anggota keselamatan yang kehilangan orang tersayang semasa zaman darurat," ujarnya.

Berhubung tindakan seorang peguam yang mempersoalkan bagaimana pihak berkuasa mahu "mencipta' kaedah atau bertindak mengenal pasti abu Chin Peng jika dibawa masuk ke Malaysia, beliau menegaskan, isu perundangan tidak sepatutnya diperbesar-besarkan.

"Sekali lagi jangan lihat aspek perundangan, kalau semua lihat undang-undang sahaja, saya fikir, bagaimana pula dengan perasaan ahli keluarga, khususnya anak-anak perajurit negara yang terkorban oleh kekejaman komunis?

"Nak bawa dia (Chin Peng) balik ke sini untuk tujuan apa? Adakah mereka ini terdiri daripada orang yang simpati dengan pengganas komunis?'' soalnya.


Kepada soalan tentang pertikaian pihak tertentu yang mendakwa kerajaan pilih kasih dengan membenarkan jenazah Allahyarham Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dikebumikan di negara ini, jawabnya ringkas: "Mereka adalah warganegara Malaysia.''
Share this article :
 

+ comments + 1 comments

Anonymous
September 23, 2013 at 11:59 AM

Kerajaan tak perlu melayan puak sasau ni yang sebenarnya bertujuan menghalang banyak program kerajaan.

Tumpukan perhatian sepenuhnya untuk membangunkan ekonomi Melayu-Islam dan bumiputera serta sesiapa sahaja yang menyokong kerajaan dalam PRU 13 lalu sehingga matlamat penguasaan ekuiti dan ekonomi Melayu-Islam, Bumiputera sebanyak 70% tercapai!.

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger