PETISYEN PARLIMEN BARAM: PKR SARAWAK SUDAHLAH KALAH KENA PENALTI TARIK DIRI




Mahkamah Pilihan Raya telah mengekalkan kemenangan BN di kerusi Parlimen Baram setelah calon PKR, Roland Engan menarik balik petisyennya dengan alasan tidak mematuhi Peraturan-peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954.

Hakim Pilihan Raya Chew Soo Ho yang juga merupakan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu ketika membacakan keputusannya memberitahu bahawa mahkamah membenarkan permohonan itu dan menolak petisyen tersebut dengan kos.

Keputusan itu dibuat setelah peguam bela Roland, Baru Bian mengemukakan permohonan untuk menarik balik petisyen yang difailkan pada 12 Jun lalu setelah meneliti bantahan awal sambil mengemukakan surat permohonan menarik balik petisyen yang ditandatangani Roland.

Akibatnya, Hakim mengarahkan pihak pempetisyen membayar kos RM15,000 kepada Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau selaku responden pertama dan RM10,000 kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Joseph Belayong Punan selaku responden kedua.

Kos yang dibayar kepada kedua-dua responden bukan merupakan hukuman yang dikenakan ke atas pempetisyen tetapi setelah mengambil kira faktor banyak masa dan kerja yang telah dilakukan pihak responden untuk mencabar petisyen tersebut.

Pada PRU13 lalu, kerusi Parlimen P.220 Baram menyaksikan pertandingan tiga penjuru iaitu antara calon BN Anyi Ngau, Patrick Sibat (Bebas) dan Roland dari PKR.

Roland tewas kepada muka baharu, Anyi Ngau yang juga merupakan bekas Pegawai Daerah Limbang serta bapa saudaranya dengan memperolehi undi sebanyak 8,988 berbanding Anyi, 9,182 undi.

Manakala Patrick hanya mendapat 363 undi dan hilang wang deposit.

Pada prosiding semalam, Roland telah diwakili peguam belanya Baru Bian dan See Chee How, manakala Henry Ling Kuong Meng selaku peguam bela Anyi.

Responden kedua, Joseph Belayong Punan pula diwakili Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Mahiran Mohd Isa dan Asha Hoe.

Share this article :
 

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Wira Kenyalang™ - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger